Milah menetapkan jam pada nokia 3310 nya kepada pukul 5.30 pagi. Dia telah dimaklumkan lebih awal bahawa rakan baiknya Jijah akan tiba daripada Kedah dalam lingkungan waktu tersebut. Jijah seperti biasa menaiki Bas Ekspres Hasry, satu-satunya pengangkutan daripada Sahab Perdana ke Bachok Baru Bachok Maju.
ko da nek bas ke? agk2 smpy pkul bpe?
SMS Milah senyap tidak berbalas. Pelik. Hanya sms awal yang mengatakan bas yang dinaikinya bakal bertolak jam 8.30 malam. Itu pun dihantar kepadanya petang, ketika dia masih di pejabat.
5.00 pagi.
'Milah, bangun wooii... Aku dekat depan pintu rumah kau ni...' nada Jijah separa berbisik dalam perbualannya melalui telefon untuk mengejutkan Milah. Milah yang cekap membuka pintu jurus mata tertutup, terus membenarkan Jijah masuk tanpa soalan. Dia sekadar menunjukkan ruang sudut biliknya untuk Jijah meletakkan barang dan melabuhkan kepala. Sebelum Milah kembali terlelap, hidungnya ditusuk bau yang kurang menyenangkan, seperti bau setanggi. 'Jah... kau bawak balik ape nih....? Bau kemenyan, jumpa dukun ke ape...?'
'Eh bau eh...? bau badan aku kot... Bas tu tadi, ada bau setanggi...' Jijah meneruskan membuka begnya, mengeluarkan baju untuk disalin sebelum tidur sebentar menanti subuh.
6.15 pagi.
Milah mengejutkan Jijah untuk sembahyang subuh. Milah sudah siap berpakaian untuk ke pejabat. Jijah tidur berkelubung hingga ke kepala. Milah menyelak, Jijah kelihatan pucat. Tersentak dengan rupa paras Jijah, Milah berundur sedikit. Jijah disepak-sepak manja dengan kakinya. 'Jah ooiii... bangun subuh, kang Allah marah kau tak bangun', sengaja disebut nama Allah, moga-moga jika Jijah bertukar hantu tidaklah dia terus dicekik mati.
Bingkas Jijah bangun...! Terbuntang matanya...! 'Dah pukul berapa...??? Subuh ada lagi tak...???'
Bersilat Milah terkujat. 'Allahuakbar...!! Allahuakbar...!! Jangan dekat wahai syaitonnnn....!!!'
Melihatkan Milah bersilat penuh bunga dengan mulut terkumat-kamit ayat penghalau jin dan syaitan membuatkan Jijah tambah berdebar. Cepat dia capai tualanya, lari ke bilik air.
Milah dengan pantas berlari ke arah tv. Dia mencari-cari alat kawalan jauh Astro. Mahu diubahnya siaran ke saluran 106, kalau ada mengaji pasti hantu Jijah akan keluar dari rumahnya. Dalam kepalanya sudah diatur, sampai pejabat dia akan berjumpa Ustaz Ariffin untuk di-exorcist rumahnya itu.
Assalamualaikum. Berita pagi.
Sebuah bas ekspress Hasry yang dipercayai dalam perjalanan daripada Alor Setar ke Bachok Kelantan telah menjunam memasuki gaung di kilometer 95 laluan Grik-Jeli. Bas yang dipercayai memuatkan 40 orang penumpang itu masih lagi terperangkap di dalam gaung dan setakat ini tiada penumpang yang terselamat. Pihak penyelamat masih lagi bertungkus lumus untuk turun ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa. Punca kejadian juga masih belum dikenalpasti.
Milah ternganga.... Sahlah..! Sahlah..! Malam tadi hantu Jijah yang datang menumpang rumahnya...
'Toooooollloooooooonnngggggggg.....!!' memekik Milah sambil berlari keluar rumahnya. Tertinggal semua handbag dan beg kerjanya. Dia berniat untuk memecut terus ke pejabat sambil memegang erat remote Astro ibarat baton.
***
'Milah....!! hoi....!!' Jijah berkemban keluar daripada bilik air apabila didengarnya Milah memolong meminta tolong. Sempat dia menangkap sedikit berita berkenaan Bas Ekspres Hasry yang sepatutnya dia naiki malam tadi. 'Eh...? hurm, lupa nak bagitahu Milah aku naik Bas Sani.... Nasib kau lah Milah, penakut kihkihkih....'
1 comment:
siot.. naik bas sani rupenye...
Post a Comment