Tuesday, January 29, 2013

RS: 2


DUA.

Sarah kelihatan mundar-mandir sendirian di tepi tangga blok A pada waktu rehat. Tak seperti pelajar lain yang berebut ke kantin. Biasalah umur remaja, badan memang nampak slim tapi kalau makan seekor kuda pun boleh habis. Sarah semakin resah menunggu Linda, 'Lambatnya..! Linda ni nak jadi lauk aku ke ape...??!!' bentak Sarah sambil memandang jam di tangannya. 'Lagi 10 minit nak habis rehat ni, haduuiii...'
'Sarah....!' laung Linda dari jauh. Berlari Linda mendapatkan Sarah. Dia faham sangat perangai Sarah, kalau lambat makan memang serupa singa betina. 'Weyh, sorilah. Tadi ada perjumpaan dengan Pengetua la... Betul-betul masa keluar rehat tadi. Aku tak sempat nak pesan dekat orang lain. Mana bekal Kak Jura kirim..?'
Sarah masih bengang dengan Linda. Walaupun dia tahu, ada juga budak kelasnya dipanggil berjumpa Pengetua dan dia juga yakin pasti Linda terlibat sama. 'Basi, kau lambat sangat', balas Sarah ringkas.
'Oh, kalau dah basi tak apelah, lagipun tadi aku dah jamah kuih masa perjumpaan tu. So, sekarang ni nak lepak mana?'
'Balik kelas jelah, lepak amende dah tinggal lagi 5 minit. Budak cerdik macam kau mana boleh masuk kelas lewat, karang cikgu pandang slack pulak, tak berkat ilmu', Sarah melepaskan geramnya.
Linda faham, Sarah marah padanya dan perkara tu memang selalu berlaku. Tak perlu ambil pusing sangat, kalau dilayan memang lagi parah. 'Dahlah Sarah, tak payahlah nak marah-marah. Jom pergi koperasi, aku belanja aiskrim'.
'Aiskrim tak kenyang', balas Sarah sambil mengetap bibir. 'Kalau tak nak sudah', balas Linda selamba. Linda terus berjalan ke koperasi. Selang lima langkah, Sarah muncul di sisinya, 'Aku nak Mat Kool pisang yang boleh selak kulit tu eh', ujar Sarah sambil senyum tayang gigi.
'Orait..!' Dua sahabat itu pun bergegas ke koperasi dalam kesuntukan masa rehat yang berbaki seminit lagi.

***

'Linda, subjek matematik tambahan kelas kau dah masuk topik fungsi trigonometri ke belum eh?' tanya Sarah. Setiap petang, Sarah akan mengajak Linda mengulangkaji pelajaran di rumahnya.
'Dah nak habis dah pun. Kenapa? nak tiru kerja rumah?'
'Ish, kau ni... Aku nak mintak tolong ajar je, belum lagi sampai tahap nak pinjam homework kau hehehehe... Tapi kalau kau nak cut the chase, haaa bak sini buku kau tu'.
Belum sempat Sarah mengambil buku matematik tambahan Linda, tiba-tiba dia ditegur 'Hey adik, kalau asyik nak meniru tak merasalah nak belajar luar negeri macam abang...'
Alangkah terkejutnya Sarah apabila melihat abangnya, Khaidir berdiri dihadapan matanya. 'Abanggg...!!!' berlari Sarah ke arah abangnya. 'Ibu cakap abang balik minggu depan..! Ni ibu tahu tak abang dah balik ni..?'
Khaidir sekadar menggelengkan kepalanya, 'Jangan bagitahu ibu dan ayah lagi tau, kita buat suprise eh'.
Gelagat dua beradik itu diperhatikan penuh minat oleh Linda. Linda hampir terlupa yang Sarah mempunyai seorang abang yang menuntut di Amerika Syarikat. Sarah jarang bercerita tentang abangnya, kerana perbezaan umur mereka agak jauh. Namun jelas sekali Sarah nampak sangat gembira dengan kepulangan abangnya. Linda sekadar tersenyum sendiri sambil memerhati, alangkah seronoknya ada adik beradik. Jadi anak tunggal memang sempurna, tapi kalau ada adik beradik pasti lebih meriah.
Melihatkan Linda memerhati sambil tersenyum, Khaidir memandang tepat ke arah anak mata Linda. Pandangan mereka bertemu. Khaidir tersenyum dan mengangkat keningnya, tertanya tentang reaksi Linda. Lekas Linda menggelengkan kepala, fokusnya dikembalikan kepada buku-buku dihadapannya. Wajah Linda bertukar merah, nyata dia malu.

***

Khaidir merasa sungguh lega sekembalinya dia ke tanah air. Dia bersyukur melihat perniagaan ayahnya semakin baik, ibunya gembira dan adiknya sudah betul-betul remaja. Tak sangka, dalam masa 6 tahun dia di perantauan begitu banyak perubahan yang berlaku. Kalau dulu, waktu dia meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana, Sarah masih bersekolah rendah. Terbayang-bayang lagi Sarah merajuk seminggu tidak mahu bercakap dengannya apabila dia memberitahu akan pergi jauh ke Amerika. Sarah kata Khaidir tidak sayang keluarganya lagi, sebab tu Khaidir nak pergi jauh. Dalam Khaidir mengelamun, dia dikejutkan oleh sapaan Cikgu Anuar dari laman bersebelahan, 'Assalamualaikum Khaidir. Wah, segak betul kamu sekarang. Balik bercuti ke balik terus dah?'.
'Back for good Cikgu, alhamdulillah' balas Khaidir ringkas sambil tersenyum. Pandangan matanya yang redup beserta raut wajah yang bersih dan bertubuh sederhana memang jelas menampakkan ketampanan Khaidir.
'Alhamdulillah. Apa perancangan lepas ni? Teruskan ke PhD atau kerja dulu?' tanya Cikgu Anuar berminat.
'Kerja dulu Cikgu. Universiti dah panggil masuk kerja dah. Insya'Allah, Isnin depan saya mula. Dekan fakulti saya dah bising suruh lapor diri. Padahal saya ada cuti seminggu lagi' ujar Khaidir. Dia suka berbual dengan Cikgu Anuar. Perbualan yang selalunya dipenuhi dengan pengetahuan am dan hal ehwal semasa.
'Biasalah, dah hantar belajar mestilah penaja nak tengok hasilnya kan? Hahahaha... Oh ya Khaidir, kalau ada masa Cikgu nak minta tolong kamu sikit. Tolong nasihatkan dan bagi kata-kata semangat pada Linda. Minta pendapatlah berkenaan memilih kursus, universiti mana yang baik. Tak kesahlah, asalkan nasihat yang bermanfaat. Anak tunggal, kadang-kadang cakap mak ayah ni dia dah lali. Kalau orang macam kamu, pensyarah muda impaknya lain sikit kan.' Kata-kata Cikgu Anuar kedengaran berharap.
'Saya cuba semampu saya Cikgu'.
Linda... Khaidir tersenyum. 

No comments: