Saturday, February 2, 2013

Penjual Kereta Terpakai

Hj. Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Hj. Man merupakan seorang penjual kereta terpakai yang terkenal di Subang Jaya. Tempat penjualan keretanya cukup dikenali ramai. Seandainya melalu Lebuhraya Persekutuan sepanjang jalan daripada Kelana Jaya hingga ke persimpangan masuk Lapangan Terbang Sultan Abd Aziz Shah tersusun berbaris-baris kereta jualannya. Ibarat Proton City di Tanjung Malim.

Kakitangan Hj Man tidaklah ramai, kebanyakannya tukang lap kereta dan kakitangan pentadbiran. Dikhabarkan daripada sok sek sok sek orang ramai, Hj Man masih lagi menjalankan penjualan kereta. Pernah ada yang bertanya mengapa Hj Man tidak menjual kereta baru, dengan mudah beliau menjawab 'Saya memberi peluang kedua kepada kereta dan pemilik jiwanya untuk bertemu.' Terlopong yang bertanya. Namun Hj Man sekadar senyum dan berlalu pergi. Kerap kali mereka yang tanpa arah tuju atau panduan hendak membeli kereta terpakai, apabila bersalaman dengan Hj Man akan membeli apa yang dipilih olehnya. Biasanya Hj Man akan bersalaman dan berkata 'Mari, saya tunjukkan teman awak yang sesuai.' Hj Man seolah mengerti keperluan kereta dan pembeli walaupun kereta yang disarankan bukanlah pada kebanyakan masanya yang jenis import dan mahal harganya. Kelebihan Hj Man ini yang membuatkan lebih ramai pembeli datang padanya. Percayalah pada pilihan Hj Man, pasti ragam-ragam kereta 2nd hand itu akan hilang, ibarat memandu kereta yang menenangkan dan menjamin nyawa.

Hal kehebatan Hj Man ini bukan baru namun sudah bertahun. Sudah menjadi buah mulut orang ramai. Sehinggakan pernah ada yang datang mahu bersalaman dengannya dan berharap Hj Man memilihkan kereta namun dia menolak dengan berkata 'Maaf, disini tiada yang sesuai. Carilah di tempat lain. Teman awak tiada disini.'

Kelebihan Hj Man menjadi buah mulut di kalangan penjual kereta terpakai yang lain. Jidin, juga seorang penjual kereta terpakai di Kelana Jaya kerap terdengar akan berita ini. Lama Jidin bersabar kerana perkembangan perniagaan Hj Man menganggu kemajuan perniagaannya. Lantas Jidin bercadang membeli kereta yang dipilih Hj Man dan merosakkan kereta tersebut. Kononnya Hj Man sudah kehilangan magisnya. Perkara ini telah dirancang dengan anak sulung harapan pewaris jiwa kejinya, Bujal. 

Suatu pagi Ahad yang nyaman, Jidin bersendirian ke tempat penjualan kereta terpakai Hj Man. Terlhat Hj Man dari jauh terus dia mendekati dan menghulurkan tangannya. Namun tangan Hj Man kebetulan penuh dengan barangan lantas dia berkata 'Maaflah, kalau nak beli kereta saya tak menjual hari ini. Datanglah semula esok, untung-untung ada yang sesuai untuk tuan'. Terus Hj Man berlalu pergi. Tak ditolehnya Jidin yang ternganga sambil terkaku tangan terhulur. 'Tak apa Hj Man, esok aku datang balik. Tunggulah.'

Keesokannya Jidin kembali. Dek kerana sakit hati dengan tindakan Hj Man semalam, kali ini dia bertindak melihat-lihat kereta sekeliling. Harapannya jika Hj Man terlihat kelibatnya, datanglah Hj Man padanya dan terus mencadangkan kereta. Panjang umur Hj Man, baru disebut Jidin dalam hati, terus muncul tubuhnya. 'Awak yang datang semalamkan? Tengoklah dulu, kalau nak beli hubungi yang baju putih sana tu. Dia boleh cadangkan yang sesuai', kata Hj Man sambil menunding ibu jari ke arah salah seorang jurujualnya. 'Semalam saya datang Hj kata tak berniaga, hari ni saya datang nak Hj yang pilihkan. Hj kan boleh baca kereta mana yang sesuai', balas Jidin separa menyindir. Selamba Hj Man menjawab 'Maaf, tapi saya tak rasa awak perlukan kereta dari tempat ni. Semua kereta dingin bila awak masuk meninjau.' Tersentak Jidin. Merah padam mukanya, terus dia keluar dari situ.

'Celaka kau Hj Man. Tak apa, esok aku hantar Bujal. Biar macam mana sekalipun kau mesti jual pada aku..!' Jidin membentak sendirian sambil menghentak stereng keretanya. Sampai sahaja Jidin di rumah, Bujal dipanggil masuk ke biliknya. Setengah jam kemudian, Bujal keluar sambil telefon di telinga, cakap berdegar-degar seperti ada misi membunuh. Kelihatan di dalam bilik, Jidin tersenyum bangga melihat tingkahlaku Bujal yang mengambil penuh patuh amanahnya.

'Haji...! Haji Rahman..!! Haji...!!' pekik Bujal. Hj Man keluar, berdiri tegak di hadapan pintu kabinnya. Bujal mengatur langkah kehadapan, kini mereka hanya dipisahkan jarak sehasta lengan. Leher baju Hj Man dicekaknya, 'Berani kau ye tak nak jual kereta..??!! Nak pilih pelanggan ye....??!! Sekarang aku nak beli sebijik kereta dekat sini, kau mesti pilih, jualkan pada aku....!!'
Hj Man tetap tenang. Bujal melepaskan cekaknya, Hj Man berkata 'Saya akan jual, sekarang ikut saya.' Hj Man berjalan sehingga ke hujung lorong garaj keretanya. Kelihatan sebuah kereta dalam kelambu. Hj Man menyelak kelambu itu, terserlah sebiji kereta Kancil 850 MAN 3471 berwarna putih. 'Kau ambil kereta ni, RM6500. Bayar pendahuluan RM500, bawak balik. Esok baru kita tandatangan perjanjian jual beli.' Tersengih Bujal, dirasakan misinya berjaya. Diletak RM500 disitu juga, dan kereta tersebut terus dibawa pergi. Esok baru dia tunjukkan kereta itu kepada ayah, malam ini biarlah dia meraikan kejayannya dahulu.

***
'Aku rasa budak semalam yang datang sini mengamuk nak beli kereta tu mabuklah. Tengok ni, terpampang dalam Metro, PEMUDA LANGGAR AYAH, MAUT DI TEMPAI KEJADIAN. Yang melanggar mati, yang dilanggar pun mati. Padahal dekat depan rumah sendiri dah tu, laju macam mana la dia bawak...' bebel Samad sendirian. Hj Man mendengar daripada jauh. 'Kenapalah kau kasi mati dua-dua sekali, aku tak suruh bunuh pun....' kata Hj Man sendirian sambil memandang ke arah Kancil 850 bernombor plat MAN 3471, jauh di hujung garaj.

No comments: