Friday, February 28, 2014

Rindu. Sungguh aku rindu.

Sangatlah dah lama tak menulis. MasyaAllah, rindu sangat nak membebelkan idea dalam bentuk yang boleh dibaca.

Aku sedar, aku bukanlah ada peminat tapi inilah media untuk aku mewaraskan fikiran saat karenah dunia sekeliling gagal aku bendung dan biarkan.

Baru-baru ini terfikir begini,
"Mampukah kita menjadi insan yang membuka peluang kedua dalam cinta dan kehidupan berkeluarga untuk orang lain sedangkan kita sentiasa mengharapkan pengalaman pertama bersama-sama...? Apabila perkahwinan adalah satu lonjakan masa buat kita, saat akad disambut terus kita punya anak sudah dewasa... apakah kita masih mampu bergantung pada hikmah yang dirahsia Allah...?"

Aku tak ada jawapan namun jujur, ingin sekali aku kupaskan perasaan sebegitu.

Dalam hati ada suatu rindu. Aku rindu untuk menulis.

Senyum untuk semua.

Wednesday, November 6, 2013

Awek Converse

Pagi yang sibuk seperti selalu di KL Sentral. Semua orang seperti biasa berjalan tidak menghiraukan sekeliling, mahu merebut ruang dalam tren. Tidak mahu terlewat. Dalam kesibukan normal itu, aku, seorang wanita berpakaian gaya eksekutif mengutip cebisan kertas yang bertaburan daripada beg bimbitnya. Orang lain sibuk begegas nak rebut tren, aku sibuk mengemas kertas pembentangan untuk pagi ni. Rambut pulak sibuk, masa ni lah nak terjulur. Itulah, boyfie dakwah pakai tudung aku tak nak. Dia suka rambut panjang, aku nak rambut pendek. Sekarang bila dah macam ni, semua jadi menyakitkan hati. Nasib baiklah orang lain yang lalu lalang; walaupun tak tolong apa-apa, sekurang-kurangnya tolong mengelak daripada pijak carta dan graf yang aku dah siap cetak.
"Bagus. Pagi-pagi yang indah macam ni dah musibat," aku memang suka bebel dekat diri sendiri.
"Nah!"
Satu suara ceria je bunyinya, mungkin dipunyai oleh pemilik kaki berseluar jeans biru gelap, gelang kaki berloceng dan bersepatu Converse merah saga. Aku dongak.
"Ini awak punya kan?" Awek Converse tersenyum manis.
"Iya. Terima kasih."
"Rilekslah, hari ni semuanya akan ok..!"
Awek Converse tu lembut je tepuk deltoid kanan aku. Senyum, lepas tu dia blah. Muka dia, serupa betul macam...
"Intan..!!"
Awek Converse tu paling. Dia datang dekat, biar betul ni Intan.
 "Sorry, tapi saya bukan Intan. Saya Sarah," dia hulur tangan, nak salam.
Aku sambut sambil perkenal diri, "saya Wirda."

Sarah. Muka kau sebijik macam Intan. Kalaulah aku boleh bagitahu kau aku rindu sangat dekat kawan baik aku tu. Tapi nanti aku takut kau ingat aku ni sewel pulak. Orang lain dalam tren ni pandang aku semacam pulak. Aku betulkan rambut, tak mengerbang pun. Aku cek baju, cantik je, tak ada pulak butang terbuka sampai nampak bra berenda ungu. Dah kau orang ni kenapa? Ke sebab aku sengih memanjang? Agaknya kot. Rindunya dekat Intan. Nak bagitahu Azrul si boyfie lah pasal hal ni. Kita wassap dia lah seround pagi ni. Mesti terkejut.


 Guess who I met early this morning? :)
Boyfie poyo: Your boss? 
No lah... Saya jumpa INTAN..!!!
Boyfie poyo: Eh, awak biar betul...

Betul awakkk... ada budak sebijik sebijan rupa macam dia tau... Rindu sangat dekat Intan...

Boyfie poyo: Dekat saya rindu tak?
Mesti ke tanya soalan tu?
Boyfie poyo: Mesti ;)
Kalau nak tahu belanja saya makan ptg ni, boleh?
Boyfie poyo: Ollloooo...

Please... I need to tell u pasal budak ni... God, I miss my besty sgt2 :(

Boyfie poyo: Ok ok... Petang ni, kg baru jom!

Sett...!! Oh, saya tak la rindu awak tapi... Errrmmm saya sayang awak. Kbai.


Intan. Hurm... tiba-tiba je jadi sebak. Berat je rasa kelopak mata ni. Intan, aku minta maaf. Sungguh-sungguh ni Intan.

***
"Baju semua dah pack..! So bila nak gerak..?" Tanya Intan teruja.
"Kejap ah," aku jawab acuh tak acuh.
"Did I do something wrong?" tanya Intan bila nampak aku macam malas nak layan.
"Aku malas lah nak pergi. Hilang mood," aku sengaja berkasar dengan Intan. Sedap hati dia je buat apa yang dia suka. Tahulah dia tu baik, semua orang suka. Nak dibanding dengan aku ni, kasar nak mampus, jalan pun macam gangster.
"Bengang pasal apa ni? Kan kita dah plan daripada minggu lepas nak pergi Seremban jalan-jalan? Tak paham la aku dengan kau Wirda," Intan protes.
Aku makin sakit hati. Dia ni sengaja buat tak tahu ke atau nak buat aku lagi hangin?
"Yang kau pandai-pandai bagi nombor aku dekat Azrul tu kenapa? Aku tak sukalah mamat tu!"
"Mate, aku tak bagi. Dia cilok tengok masa aku tengah mesej dengan kau. Dah la... Tak mau gaduh..." Intan keluarkan ayat mengalah. Intan selalu sangat macam tu. Kalau gaduh ke, bertekak ke, mesti nak mengalah. Bajet baik.
"Sekarang apa jaminan kau yang Azrul takkan kacau aku??" aku sengaja membentak, biar Intan berapi. Biar kami sama-sama terbakar dirasuk syaitan.
"Kenapa kau ni?? Dah masalah Azrul pulak. Kau memang sengaja nak kasik aku marah ke ape..??!!!"
"Haaaaa tahu pun kau marah. Kau jangan ingat sebab kau ni baik kau boleh senang-senang hati nak padankan aku ni dengan pilihan citarasa kau je. Boleh tak kau jangan menyibuk hal aku? Carilah kawan lain yang lagi bagus yang sama ayu macam kau! Heish rimas.!!"

Intan diam. Aku jeling, nampak dia kesat mata dia dengan hujung lengan baju kurtanya. Bila aku toleh, dia pandang ke lain. Aku memang lemah betul kalau dia menangis. Dengan orang lain aku tak boleh nak berkawan, tapi dengan Intan macam mudah je berkawan dengan dia. Intan ni budak sekolah asrama, pakai tudung, rajin mengaji, sembahyang tak tinggal. Aku, baca Al-Fatihah pun gagap. Kalau difikir logik, kami ni macam dua dunia yang berbeza, tapi hakikatnya Intan ni jenis berani gila. Lagi berani daripada aku.

"Nangislah puas-puas. Nak aku pujuk ke? Harapan..."
"Diamlah! Engkau peduli apa," Intan balas sambil mengetap bibir.


Aku kenal Intan masa belajar dekat UKM, cawangan KL. Masa tu aku balik waktu embun, aku pergi gig. Sampai dekat pintu pagar, pakcik jaga dengan rela hati bagi kuliah tahajjud pukul 2 pagi dekat aku. Aku buat tak layan je, tengah sedap pakcik tu berleter tiba-tiba ada motor berhenti sebelah kami.
"Bukak helmet kau! Nak jadi apa balik waktu macam ni?" maki pakcik tu dekat penunggang motor.
Aku pandang, bukan budak lelaki ni. Kaki menjengket, pakai kasut converse merah saga, saiz kecik. Mengagumkan!
"Assalamualaikum pakcik," buka helmet nampak muka bersih mulus, senyum. "Bagilah kami masuk pakcik, esok kami ada kelas. Esok saya jumpa pakcik semula, explain. Ok?."
Macam kena pukau, pakcik tu pun jawab, "Kau angkut sekali budak perempuan ni. Malam-malam merayau, apa nak jadi pun tak tahulah. Ingat sikit korang tu perempuan. Tunggu, aku nak ambik buku tulis nama korang."
Pakcik jaga tu berpaling, terus menuju ke dalam pondoknya. Dalam saat-saat genting, budak motor tu terus pandang aku, bagi isyarat suruh naik motornya cepat. Melompat aku naik, belum sempat cecah punggung, terus motor tu dipecut laju.
"NAMA SAYA INTAN PAKCIK...!!!" laung penyelamat aku, Intan.
Entahlah pakcik tu dengar atau pun tak, sebab aku yakin bunyi motor Intan lagi kuat daripada suara dia.


"Kau ni Intan, kadang-kadang berani mengalahkan jantan. Bila gaduh dengan aku, nangis?" sengaja aku menganjing Intan.
"Sebab aku sayang kau sampai syurga, bodoh!" Intan dah tak sorok dah dia menangis
"Cakap bodoh tak masuh syurga, ayok tak tahu. Cakap bodoh tak masuk syurga," aku ulang-ulang ayat tu sambil berdekah ketawa. Tak jadi menangis, Intan pun ketawa sama. Ketawa yang akan aku rindu sampai bila-bila.

***
Hari hujan. Aku pulak lupa bawak payung. Nak mintak tolong Azrul ambil dari stesen LRT Kampung Baru, dia pun tersadai bawah flyover AKLEH. Duduk jelah dulu sengih sendiri. Dulu masa belajar, memang sinilah port aku turun naik LRT dengan Intan. Intan tu nama je ada motor, tapi rempitnya daripada asrama sampai stesen LRT. Ayat dia lagi sedap, "menyokong industri pengangkutan awam Malaysia," lepas tu sengih lebar-lebar.
"Kenapa awak panggil saya Intan tadi?"
Aku toleh. Aku nampak Intan, maksud aku Sarah. Dia duduk sebelah aku.
"Saya Sarah la, yang tolong awak pagi tadi dekat KL Sentral," ucap Sarah sambil sengih.
Aku terpaku.
Bila nampak aku tak ada respon kecuali pandang tak berkelip dia pun kata, "Sori, mungkin saya salah orang."
Aku nampak muka Sarah dah terkulat-kulat menahan malu. Lekas-lekas dia bangun mengubah tempat duduk. Aku cuma perhati, nak tegur ke tidak, nak tegur ke tidak. Ahhh tegur jelah.
"Errr betul-betul. Saya yang awak tolong pagi tadi, eheh," aku cuba ketawa kecil, selit rambut belakang telinga.
"Oh mati-mati tadi ingat salah orang..!hahahahahaha..." Sarah ketawa menepuk dahi sendiri, melebur beku antara kami yang baru berkenalan.

Sarah kembali duduk sebelah aku. Dia pakai uniform Secret Recipe. Rupanya dia kerja dekat Secret Recipe KL Sentral. Dah 2 bulan kerja, katanya jadi pelayan je. Banyak cerita, aku dengar jelah sambil sengih-sengih. Aku mana pernah ada ramai kawan. Hakikatnya kawan pun aku tak ada. Mujurlah Azrul jenis yang tak kisah kalau aku nak ikut dia pergi mana-mana. Itulah kawan yang sekarang naik pangkat jadi kekasih. Geli pulak sebut perkataan kekasih tu.

"So, Intan tu siapa eh?" tanya Sarah sekali lagi.
"Oh, Intan. Intan tu kawan baik saya," ringkas aku jawab. Dada aku rasa berat.
"Dia serupa sangat ke dengan saya?" tanya Sarah beria.
"Ahha. Muka sama. Dia pun ada kasut yang sama macam awak. Saiz 5," aku jawab, pada masa yang sama mata aku rasa panas.
"Eh! saya pun pakai saiz 5 lah!" sekali lagi beria. Dah budak ni kenapa beria sangat.
"Mesti awak rindu sangat dekat Intan tu kan? Sabarlah, ada hikmahnya. Allah lagi sayang dia. Eh ok lah, saya nak balik. Tu, kereta kuda saya dah sampai." Sarah berjalan menuju ke kereta kancil putih yang berhenti di seberang jalan.
Aku tergamam. Siapa Sarah ni sebenarnya? Apa yang dia tahu pasal Intan?

***
"Sudahlah, awak jangan fikirkan sangat. Mungkin sebab budak Sarah tu perasan yang mata awak berkaca, sebab tu dia teka Intan dah meninggal," kata Azrul dengan asap berkepul keluar daripada mulut.
Benci pulak aku tengok rupa Azrul macam ni. Dah macam gangster jadian.
"Bila nak berhenti hisap rokok?"
"Saya hisap rokok cuma waktu hujan je. Sejuklah," sekali lagi keluar asap, kali ni dari serombong berkembar atas mulut.
Aku mengibas tangan depan hidung. Busuk betullah bau rokok murah ni. Kalau yang mahal-mahal tu tak la teruk macam cap kretek ni.
"Mungkin juga. Entahlah. Rindunya dekat Intan," aku terus melihat sekeliling. Cuba menyembunyikan rasa pedih dalam hati. Akhirnya pandangan aku jatuh ke wajah Azrul.
"Saya pun kadang-kadang teringat juga dekat dia."
Kali ini giliran Azrul yang melontar pandangan jauh-jauh, aku tahu hati dia juga turut pedih.


"Mate, aku tahu kau tak suka Azrul, tapi aku rasa dia tu sesuai dengan kau," kenyataan selamba Intan, hampir membuatkan aku tercekik double mozza burger.
"Dah tak ada manusia lain ke kau nak kenenkan dengan aku?"
"Azrul tu, sama-sama lone ranger macam kau. Macam kita ni la. Aku kenal dia daripada matriks lagi. Kau kenal la dulu dengan dia Wi," bersungguh Intan kempen.
"Apasal kau tak ambik untuk kau je?"
"Tak boleh. Aku takut nanti aku kecewakan dia."
Amboi pandainya kau jawab Intan. "Dah tu kau pikir aku ni tak mampu kecewakan orang la?"
"Kau bukannya kejam sangat Wi, aku tahu. Tu ha Azrul, pergi la kawan dengan dia," Intan tunjuk ke arah meja belakang kami. Rupanya Azrul dah habis sebiji burger dah, duduk menguping kami berbual. "Meh la duduk sini!" pelawa Intan. Binawe punya kawan.

Azrul tersengih-sengih datang ke meja kami. Dia tak duduk sebelah aku, takut agaknya.
"Eh, korang borak-borak, berkenalanlah. Aku nak balik," Intan terus bangun capai helmet dan jaket.
Bingkas aku bangun, "Woi Makcik! aku ikut kau balik sekali..!!"
Azrul terpinga-pinga. Intan terus bertindak, "Kejap eh bro, kejap. Aku settle kejap,"
Intan terus tarik tangan aku, jauh daripada Azrul. "Wirda Akmal Azham. Kalau kau sayang dekat aku, tolonglah. Kali ni je aku mintak, bagi peluang dekat diri kau untuk kenal Azrul. Lepas ni kalau kau tak mahu apa-apa kaitan dengan Azrul aku tak kesah," sungguh-sungguh Intan merayu dengan aku.
"Dengan kau pun aku tak nak ada kaitan lepas ni, kau faham!" bengang betul aku dengan perangai gila Intan.
Aku nampak muka Intan tersentak. Tapi dalam sekelip mata dia pasang senyum paling manis, "Aku terima, tapi kau jangan rindu aku pulak lepas ni. Ok, pergi dulu eh."
Intan melambai-lambai dekat aku dengan Azrul. Aku balik semula ke meja, duduk depan Azrul. Sikit pun aku tak pandang muka dia.
"Intan pesan, suruh temankan awak balik semula ke KL naik komuter. Kalau nak balik sekarang pun takpe," Azrul sengih tunggu jawapan aku.
Hati aku betul-betul panas. Nak balik terus ke atau nak duduk sini habiskan burger. Mana-mana pun aku tetap kena menghadap muka si Azrul ni.

"Tolong...!! Tolong...!!! Ada budak perempuan kena langgar kereta..!! Tolong..!!!"

Berderau darah aku. Azrul panik, meluru dia keluar daripada A&W. Aku nampak Azrul berlari ke arah tempat kejadian. Orang ramai dah mula berkerumun. Azrul hilang dalam kelompok orang yang ramai-ramai. Tiba-tiba Azrul muncul semula. Dia bercakap-cakap dalam telefon, wajahnya nampak pelik. Azrul menangis ke? Waktu tu, pandangan aku dan Azrul bertemu. Azrul berjalan menuju ke tempat aku, Intan dan dia duduk 5 minit yang lalu. Entah kenapa masa tu, aku rasa macam semuanya bergerak perlahan. Bunyi sekeliling berdengung macam bunyi lebah. Bila Azrul datang dekat dengan mata merah berembes basah, tekak aku jadi pahit. Mata aku jadi kabur.
"Intan excident!"
Waktu tu aku tak tahu samada bumi berpusing terlebih laju atau aku yang berpusing atas kerusi. Tapi aku rasa pening.


"Dah lah, saya hantar awak balik," pelawa Azrul.
Dia menyuakan helmet extra yang selalu dia bawa kemana-mana. Helmet aku sebenarnya tu. Sambil memakai helmet, aku melihat tingkah Azrul. Sibuk dia menyusun barangnya dalam bakul motor, nak memberi ruang pada beg aku yang agak besar.
"Saya tahulah awak sayang saya, tapi janganlah pandang sampai macam tu sekali," tegur Azrul sambil tersengih.
Aku senyum. Malu pulak rasanya. "Awak nak tahu kenapa saya sayang awak?" Sengaja aku bagi soalan yang jiwang kepada Azrul.
"Geli pulak dengar soalan macam tu hahahahaha..."
"Geli ke tak, dengar sini. Sebab bila dengan awak saya tahu Intan setuju."
Aku terus paut bahu Azrul, aku tak nak Azrul nampak aku nangis untuk kesekian kalinya bila cakap pasal Intan.

***
Hari ini hari ulangtahun Intan tinggalkan kami. Dah 3 tahun dia pergi. Bukan kami je yang dia tinggalkan. Seisi dunia ni pun dia tak bawak sama. Dia mati. Yang orang lain tahu, dia mati sebab kemalangan belakang Seremban Parade, dihentam van. Hakikat yang aku tahu selepas dia mati ialah dia ada aneurysm dalam otak. Aneurysm tu mungkin pecah sebelum dia kemalangan, sebab tu walaupun dia pakai helmet tapi hidung dengan telinga dia keluar darah. Banyak lagi perkara yang aku tak tahu pasal Intan tapi Azrul yang ceritakan. Selepas Intan mati, Azrul yang banyak ambil peranan jadi kawan aku. Bila setiap kali jumpa, mesti dia cerita pasal Intan. Intan itulah, Intan inilah. Sampailah satu hari aku naik bosan dan aku hamput "Cuba kau cerita pasal diri kau pulak. Kawan baik Intan sebenarnya aku ke engkau?!"

Selalu kami mulakan hari sedih ni dengan menziarahi kubur Intan, selepas tu kami pergi makan di mana-mana A&W yang terdekat. Kami akan beli menu kegemaran Intan, dan habiskan masa lepak dekat A&W sampailah rasa nak balik. Kalau kerja pun, kami akan cuti. Tapi kali ni aku nak kelainan. Aku nak celebrate dekat Secret Recipe KL Sentral. Nak tunjuk pada Azrul muka Sarah yang sebijik macam Intan.

"Intan tak pernah pun makan Secret Recipe," komplen Azrul. Belum sempat duduk dah membebel.
"Sebab itulah saya ni kawan baik Intan, bukan awak. Intan suka beef lasagne dekat sini tau!" eksyen je aku jawab.
Aku nampak Azrul tertinjau-tinjau ke bahagian dalam kedai. "Tak sabar nak jumpa kembar Intan nampaakkkk."
"Eh, mane ade.. saya cool je." Terus Azrul membelek menu. Eleh, nak cover le tuh!

Tengah Azrul leka membelek menu sambil membebel makan mahal lah, tak kena selera lah, aku nampak Sarah mengambil kertas order dan bergerak menuju ke arah kami. Aku senyum. Sarah pun senyum.
"Ingatkan dah tak kerja sini lagi?" sapa aku selamba.
Sarah cuma tersenyum.
Azrul yang tengah sibuk menghafal menu, terus pandang aku bersedia nak memesan makanan. "Saya nak order Chicken Cordon Bleu..."
Aku angkat kening, bagi isyarat suruh Azrul pandang ke kanan, ke arah Sarah. Azrul ternganga.
"Ok, Chicken Cordon Bleu... Wirda nak order apa?"
Azrul masih menganga. Kali ni bukan pandang muka Sarah, tapi pandang kasut Converse merah yang dipakainya.

Kami makan, sekejap-kejap pandang ke arah Sarah. Memang nampak macam penyangak. Pakai baju sempoi-sempoi, makan sikit tapi lepak macam kedai bapak sendiri. Azrul siap bagi cadangan suruh panggil Sarah, nak ajak berkawan. Tapi aku peduli apa. Kang tersangkut si Azrul dekat budak Sarah, tak ke mengundang perang dunia ke 3.
Bila nak bayar Sarah tegur, "Hari ni ada celebrate apa-apa ke?"
Antara nak tak nak aku jawab jugak. "Hari ni kitorang celebrate 3 tahun Intan tinggalkan kitorang. Ok, jumpa lagi."

Azrul pandang muka aku, matanya bertanya aku ok ke tidak. Aku balas senyum kelat. Kami berlalu, belum pun Secret Recipe jauh kami tinggalkan Sarah melaung panggil nama aku. Dia berlari sambil ditangannya ada beg kertas.
"Nah! Erm, ni sebenarnya kasut Converse Kak Intan. Dia kakak angkat masa sekolah dulu. Dia bagi kasut ni 2 minggu sebelum dia meninggal," Sarah menghulur beg kertas dengan kedua-dua tangannya.

Aku tak tahu nak suka ke nak sedih. Tapi yang aku tahu, Sarah cuma pakai selipar kejar aku dengan Azrul.

Sunday, October 20, 2013

SKANDAL: 8

Datuk Roestam memandang dengan redup penuh rasa kasih. Gerak bibir Suraya yang merah bak delima merekah diperhatikan penuh minat. Mata Suraya yang berwarna perang terang cukup sempurna dilengkapi bulu mata panjang lentik dengan sedikit sentuhan maskara. Kulit cerah kuning langsat. Andai dipandang sekali imbas, boleh tersasul memanggil Fazura.

Rupa Suraya lah yang membuatkan Datuk Roestam terpikat. Pada awal proses mengorat, memang fikiran Datuk Roestam dihiasi imej-imej nakal. Sebab itu dia sengaja menggesel tangan, tersenggul peha, tersentuh dada, tercuit pipi dan macam -macam jenis 'ter' lagilah. Semua itu untuk santapan ringan nafsunya. Tapi perasaanya berubah selepas peristiwa dihempuk beg tangan Suraya ketika dia sedang memandu. Egonya tercalar. Cuti yang diberi seminggu kepada Suraya sepatutnya disusuli dengan surat penamatan perkhidmatan. Cuma entah kenapa, selepas 2 hari Suraya bercuti dia dihurung rasa resah. Dia cuba ke kelab eksklusif bersama rakan yang sama jahanam perangai, mencari wanita untuk geli-geli tapi jiwanya memberontak mahukan Suraya. Sudahnya, dia sekadar memerhati Datuk yang lain-lain menjamah wanita pelayan seenaknya. Saat itulah dia merasa perasaanya pada Suraya bukan sementara. Tak pernah ada perempuan yang marah padanya. Aida isterinya tak pernah marah, cuma mengugut tatkala keadaan menjadi luar kawalan. Pada kebanyakan masa dia dan isteri tak ambil peduli antara 1 sama lain. Kemesraan cuma berlaku beberapa kali setahun iaitu pada hari raya bila berkumpul beramai, bercuti dengan anak-anak dan hari keluarga syarikat. Kemarahan Suraya membuahkan 1 rasa baru dalam jiwa Datuk Roestam yang selama ini hambar.


"Datuk? Datuk...?" Suraya melambai-lambaikan tangannya di hadapan mata Datuk Roestam. "Ada apa-apa yang tak kena ke?"
Datuk Roestam tersentak, dia kembali daripada angannya. "Tangan awak tu tak kena dekat pipi saya," balasnya tersengih.
"Huh? Maksud Datuk..." 
"Tak ada apelah. Seharian saya cari awak, awak kemana?" tanya Datuk Roestam lembut.
"Tadikan saya... dah explain... yang saya... ikut Hashim..." Suraya menyebut satu persatu perkataan dengan harapan Datuk Roestam dapat menangkap semula penjelasannya. Tak kuasa dia untuk menjelaskan panjang lebar sekali lagi.
"Oh yes yes... So malam ni, awak free?" Datuk Roestam memberanikan diri. Bukan memberanikan diri mengajak Suraya, tapi memberanikan diri untuk menyelinap keluar tanpa pengetahuan isterinya.
"So far tak ada apa-apa agenda."
"Good. Tonight temankan I minum kopi ye," Datuk Roestam mempelawa dengan kuntuman senyum.
"Your wife..." Suraya sengaja tidak menghabiskan pertanyaannya.
"Oh Datin Aida...? Dia yang ajak you minum sekali actually,"jawapan gelabah yang menjerat Datuk Roestam. Ahh tak kisahlah, nanti pandailah dia bagi alasan pada Suraya bila Aida tak ikut sekali.
"Oh..! Kalau macam tu saya perlu turun pukul berapa ye?" Suraya agak teruja. Dia yang masih rasa bersalah akibat tindakan membidas Datuk Roestam dengan beg tangannya berasa gembira apabila kehadirannya di dalam syarikat itu masih dialu-alukan. "Saya sorang atau perlu ajak Dilla sekali?"
"Oh it's our personal invitation. Saya pun tak pasti Datin Aida akan invite siapa lagi. So jumpa malam ni pukul 10?" 
"Ok, jumpa malam ni." Suraya berlalu pergi dengan gembira. Gembira dengan jemputan; yang separa penipuan oleh Datuk Roestam, dan gembira yang Datuk Roestam tidak lagi marah padanya.

Datuk Roestam juga gembira. Sangat gembira kerana Suraya teruja menerima pelawaannya. Cuma sekarang dia perlu berfikir alasan apa dia nak bagi pada Aida, atau pun dia teruskan saja plan 'personal invitation' yang tak semena-mena perlu dia laksanakan.


***
Rehat Datin Aida sambil membaca majalah Glam! terganggu dek kerana tingkah suaminya yang resah entah kenapa. Siaran tv diubah-ubah. Mula-mula siaran sukan, selepas itu saluran filem kemudian ubah kepada rancangan aksi. Sekejap duduk tepi katil, kemudian pindah ke sofa sudahnya masuk ke bilik air. Akhirnya duduk menghadap cermin membelek misai dan bulu hidung.
"Roestam, if you planning to meet someone tonight and its a girl you can just forget it," tegas Datin Aida. 



Teguran Datin Aida sekadar di balas senyuman sinis. 
"Amboih...! Senyum macam tu kenapa?" Datin Aida melenting dengan tindakan suaminya.
"Dekat rumah you tak kisah pulak kalau I tak masuk tidur sekali eh. Hari ni dapat arahan tidur sama? Ada upah ke malam ni?" balas Datuk Roestam sambil mendekati isterinya.
"Roestam..." 
Datin Aida menarik selimutnya, suaminya semakin mendekati.
"Roestam... No..."
Datin Aida merapatkan duduknya ke kepala katil.
"Roestammm..!!!" serentak dengan itu melompat Datuk Roestam ke arahnya. Dipeluk kuat Datin Aida yang kemas berkelubung di bawah conforter sambil ketawa berdekah-dekah.
"Get off you...!! I tak sukalah..!!!" marah Datin Aida.
"Alah... Nak gurau sikit pun tak boleh. Bila nak kahwin lain tak kasi pulak, hehehehehe..." usik Datuk Roestam sambil berbaring sebelah isterinya.
"Kahwinlah kahwin..! Ingat sikit eh siapa yang tolong you selama ni..!" 
"Iya I ingat. You pun kena ingatlah, I ni lelaki. Kalau bini tak layan, I ada lesen untuk tambah lagi," balas suaminya selamba.
"My goodness..!! You ingat I main-main ke..??"
"You always serious honey. I knew that."
"Malaslah bercakap dengan you..! Buat sakit hati," balas Datin Aida sambil bingkas bangun menuju ke meja tepi tv mengambil minuman. Dia duduk sebentar di set sofa sambil meregang tubuhnya yang letih akibat melayan aktiviti seharian.



"I kena tolong Rosza," ucap suaminya tiba-tiba.
"Maksud you...?" Datin Aida kehairanan. Kenapa tiba-tiba nama adik ipar kesayangannya masuk dalam topik mereka malam itu.
"Ingat tak budak perempuan yang you kata nampak macam ada affair dengan Hashim? I dapat tahu Hashim sungguh-sungguh nak dekat budak tu. So I dah pun ajak budak tu minum kopi sama, untuk bagitahu pasal Hashim. And I think I have to terminate her. It's for the sake of Rosza and the family," terang Datuk Roestam dengan tenang.



Datin Aida tergamam. Hashim, manusia yang pernah menodai adik iparnya kini mencari mangsa yang baru.
"I nak ikut."
"I don't want thing to get messy. Let me talk to her first," tegah Datuk Roestam.
"How can I trust you?" soal Datin Aida.
"You know how much I love my sister and what I'm willing to do for her. Trust me this time," balas Datuk Roestam sambil memandang tepat ke wajah Datin Aida.


Datin Aida mengangguk, membenarkan suaminya pergi berjumpa dengan 'budak perempuan' yang dimaksudkan.


***
Suraya keluar daripada pintu biliknya, terus menuju ke lobi lif. Jam tangannya tepat menunjukkan pukul 10 malam. Dia mengatur langkah pantas, sedar dirinya sudah terlewat.


Sesampainya ke lobi lif langkahnya terhenti. Datuk Roestam berdiri tegak lagi segak, menoleh mendang dirinya yang terlongo.


Pintu lif terbuka, Datuk Roestam menghulurkan tangannya minta bersambut.
"Shall we..?"


***








Thursday, October 10, 2013

SKANDAL: 7

Rosza menggengam telefonnya kuat. Semacam mahu diremukkan dengan kudratnya. Sungguh dia tidak menyangka Hashim juga akan mengikut perangai abangnya yang pantang nampak perempuan berdahi licin. Rosza memandang keluar jendela pejabatnya, nafasnya laju menaha marah. Entah kenapa kali ini dia naik marah, dia pun tak faham. Hashim hanyalah suami pada nama. Kasih pada Hashim pun tiada, apatah lagi cinta. Kalau nak kata rindu, berjumpa sekadar hujung minggu, itupun bila perlu. Hashim punya rumah sendiri, Rosza pun menetap di kondominum mewahnya seorang diri. Mungkin cemburu. Tapi kenapa Rosza nak cemburu?

"Rose..? Hey! Mengelamun ke?" tegur Azhari, rakan kongsi firma guaman milik Rosza.
"Nothing. Just, sakit hati kot," jawab Rosza separa berminat dengan pertanyaan Azhari.
"Tell me," Azhari menawarkan diri. Dia terus mempelawa dirinya ke dalam pejabat Rosza dan duduk di kerusi yang disediakan. 

Rosza tidak menjawab, telefonnya dibelek cuba mengelak daripada menjawab soalan Azhari.

"Har pelik. Kenapa Rose still keep lagi marriage ni sedangkan sikit pun Rose tak layan Hashim? Hashim pun lagilah Har pelik, apasal dia tak lepaskan je? Korang ni sebenarnya macam mana boleh kahwin?" soalan bertubi-tubi daripada Azhari sambil membelek kukunya. 
"Tak payah tahulah Har. I tak berminat nak cerita."
"Luckily kita ni associates, kalau nak cari lawyer untuk settle penceraian korang, jangan cari Har," Azhari mengangkat tangan menandakan tanda surrender, dia terus berlalu keluar daripada pejabat Rosza. Sebelum dia menghilang, sempat dia berpesan, "Rose, cerai jelah. Kita start over. Remember those nights we've spend masa dekat Aberyswyth? I miss your skin next to me."
"You're disgust me," balas Rosza sendiri. Kenyataan Azhari hanya menambahkan sakit hatinya. Kalau tidak kerana kesilapan dia dan Azhari dulu, pasti dia tidak terikat pada Hashim secara rahsia begini. 

***
"Abang, Rose nak balik," ringkas sapaan panggilan telefon yang diberikan kepada abangnya, Roestam.
"Bila?"
"Secepat mungkin. Bila boleh dapat tiket flight?" jawab Rosza tanpa berselindung.
"Amboi! Macam tu je kau mintak tiket dekat abang? Yang kau ni nak balik tiba-tiba ni kenapa? Kena buang universiti ke?" tanya Roestam. Dia pelik, selama ini walaupun hari raya adiknya sikt pun tak nak balik Malaysia. Selalunya dia yang beli tiket siap-siap dan keluarkan arahan balik, barulah adiknya balik. Itupun selepas diugut duit elaun sara diri dipotong. 
"Nak bagi tiket ke tak nak ni?!" rungut Rosza.
"Kau punya chambering nanti macam mana?"
"Pandailah Rose uruskan dekat Malaysia nanti. Cepat tau beli tiket tu. Kalau esok lagi bagus," pesan Rosza sebelum memutuskan panggilan. 

Rosza nekad, dia akan pulang ke Malaysia. Titik. Dia kecewa apabila melihat Azhari seenaknya tidur berdakapan tanpa pakaian dengan teman serumahnya Jessica. 
Cerita Jessica; mereka tidak sengaja bersenggama kerana kedua-duanya sama mabuk. Azhari yang mengangkatnya masuk ke bilik tidur dan perkara yang berlaku di luar kawalan mereka. Pendapat Rosza, memanglah luar kawalan sebab dah dikawal syaitan.
Menurut Azhari pula; Jessica yang menggodanya, mengajaknya minum sehingga lewat malam. Sudahnya Jessica terlampau mabuk, maka perkara jadi di dluar kawalan. Pendapat Rosza, Azhari memang dasar syaitan.
Tambah kecewa, Azhari ibarat nyawa Rosza di bumi Wales itu. Azhari punya pakej yang setaraf dengannya. Sama cantik sama padan. Berharta dan keluarga masing-masing punya perusahaan bernilai jutaan ringgit. Sama-sama mengagungkan gaya hidup sekularisme barat. Mereka menyulam cinta. Ke kelas bersama, makan bersama dan tidur berdua pada kebanyakan masanya.
Lebih mengecewakan, perbuatan Azhari dan Jessica itu diiringi dengan kejutan keputusan ujian kehamilan Rosza. Dia hamil, anak Azhari.

***
Melihat kelibat Hashim, lekas datuk Roestam meenyudahkan makan malamnya. 
"Roestam, you nak ergi mana tu?" tegur isternya yang baru mula menyuapkan makanan.
"I nak jumpa Hashim kejap, ada hal. You makanlah," ucap Datuk Roestam ringkas. Pandangan lekat kepada Hashim. Dia perlukan penjelasan Hashim.

Laju Datuk Roestam menyusun langkahnya. Apabila Datuk Roestam tiba di belakang hashim, serentak Hashim berpusing ke arahnya. Mereka bertemu mata. Hashim sedikit tersentak, terkejut. Dia tidak menyangka akan berhadapan dengan majikannya dalam keadaan jiwanya sendiri bergolak.
"Ikut saya," arah Datuk Roestam, sambil bergerak di hadapan Hashim menuju ke luar dewan. Hashim menurut patuh.
Tiba sahaja di tempat yang agak tersorok, Datuk Roestam berhenti. Tangannya di masukkan kemas ke dalam poket seluar. Badannya ditegakkan, cuba menunjukkan kuasa superior kepada Hashim. Mereka berhadapan.
"Ada apa Datuk?" tanya Hashim.
"Apa yang kau buat ni? Cuba bagitahu aku. Kau dah tak faham arahan aku ke?" tanya Datuk Roestam serius sambil berkerut dahi. 
"Saya tengah cuba pujuk Suraya..."
"Hashim, pujuk Suraya tu kerja aku. Kau tak boleh adjust ke masa yang aku nak?" Datuk Roestam mencelah. Kini dia berpeluk tubuh, menanti alasan seterusnya daripada Hashim.
"Saya tak sempat Datuk..." jawab Hashim sambil memegang tengkuknya, cuba menunjukkan keletihan yang dialami dek kerana hari keluarga yang perlu dia kendalikan.

Datuk Roestam kembali berdiri tegak. Wajahnya tiba-tiba meredup. Matanya tertumpu kepada seseorang. tertumpu kepada Suraya yang keluar daripada dewan makan itu sendirian. "Tolong panggilkan dia sekarang," arah Datuk Roestam tanpa memandang pada Hashim.

Hashim mengeluh berat. Dia berjalan cuba mengejar Suraya, untuk 'dihidang' kepada bosnya. "Suraya...!" laung Hashim. Hashim mempercepatkan langkahnya menuju ke arah Suraya yang kini berdiri. "Itu, Datuk Roestam nak jumpa," ujar Hashim. Mereka sama-sama menoleh ke arah lelaki tua segak yang tersenyum manis. Pastinya bukan untuk Hashim. Hashim sekadar melihat Suraya dan Datuk Roestam saling bertukar pandangan. Hashim perasan, Suraya menguntum senyum, walaupun hanya sedikit, namun ia cukup ketara. 
"Orang tua bangsat," getus Hashim sendiri. Kalaulah didengari dek Datuk Roestam, pastinya Hashim akan dilucut daripada segala keistimewaan yang dia miliki atas tiket adik ipar.

***
Pukul 2 pagi. Penerbangan Emirates daripada Cardiff ke Kuala Lumpur telah 30 minit mendarat. Hashim yang mengantuk menantikan adik majikannya sudah mula tersengguk di kerusi menunggu balai ketibaan. Dia terpaksa menjadi balaci Datuk Roestam, kerana pemandu dan majikannya berada di luar kawasan. Hashim tidak yakin dia mampu mengecam Rosza. Dia cuma pernah melihat Rosza sekali sahaja, ketika jamuan hari raya di pejabat. Hashim meraup wajahnya perlahan, cuma membuang rasa mengantuk. Matanya digosok beberapa kali. Dia tidak perasan, seorang wanita berdiri di hadapannya.
"Hashim right?" wanita yang bertanya adalah Rosza.
Lekas-lekas Hashim berdiri, "Cik Rosza, silakan," Hashim menunjukkan arah, memberi laluan kepada Rosza.
"Tolong tolakkan troli I," arah Rosza ringkas, terus menonong menuju ke arah lif.

Hashim menolak troli sehingga ke kereta. Mengantuknya gagal di tahan. Dia kerap kali menguap. Tingkahnya diperhatikan Rosza.
"Boleh bawak kereta tak ni?" tanya Rosza, nadanya garang.
"Tipulah kalau boleh, tapi terpaksa nak buat macam mana," jawab Hashim berseloroh, ditambah sekali lagi menguap. Masakan tak penat, dia menunggu di pejabat sambil menyudahkan kerja, terus ke lapangan terbang pada jam 1 pagi.
"Let me drive," balas Rosza sambil menadah tangannya meminta kunci kereta. 
"Takpe ke ni?"
"Nak mati sama-sama ke atas highway?"
"Ikutlah... tapi kalau saya tertidur jangan marah," ujar Hashim sambil menyerahkan kunci keretanya.

Masuk sahaja ke dalam kereta, Hashim menanggalkan kotnya. Butang bajunya dibuka sedikit, untuk lebih selesa. Dia bersandar, dan terlena saat keluar daripada tempat meletak kereta KLIA.

Hashim membuka matanya perlahan. Dia melihat keadaan sekeliling. Asing. Dia tidak berada dalam biliknya. Matanya di gosok, cuba mengingat kembali apa yang beraku sebelum dia tidur. Ingatannya menjadi jelas apabila melihat kemejanya berlonggok di tepi katil bersama-sama dengan seluar dan boxr yang dipakai semalam. 
Melompat Hashim bangun daripada katil. Dia panik. Pakaianya disarung cepat, terus dia menuju ke pintu dan keluar daripada bilik yang tidak dikenalinya. "Mustahil, mustahil..!" Hashim cuba meletakkan jauh-jauh kemungkinan yang berlaku antara dia dan Rosza. 

Keluar sahaja daripada bilik, Rosza sedang menangis di atas kerusi. Abangnya, Datuk Roestam; juga majikan Hashim, merah padam menahan marah. Hashim terpaku. Datuk Roestam datang mendekati Hashim. Matanya buntang kemerahan. PANGG! Satu das penampar hinggap di pipi Hisham.
"Kau kena bertanggungjawab!" 

Hashim terpinga. Dia yang masih separa sedar seperti tak mampu untuk membela diri. Dia masih gagal memgingat kembali apa yang telah berlaku. Mustahil untuk dia menodai Rosza, lebih mustahil apabila dia langsung tidak ingat apa-apa. Apa yang mampu dihadam mindanya hanyalah dia bangun tidur berbogel di rumah majikannya, dia perlu bertanggungjawab; kepada Rosza atau entahlah siapa, dan dia rasa sakit di lempang.

*** 

Sunday, September 29, 2013

SKANDAL: 6

Suraya melangkah longlai menuju ke biliknya. Wajahnya masih kemerah-merahan menahan rasa malu bertentang mata dengan Datuk Roestam sebentar tadi. "Ish, takkan rindu kot. Don't Suraya, please don't!" marah Suraya sendiri dalam hati. Sedang Suraya mengelamun sambil berjalan menju ke biliknya dia ditahan Dila.
"Su..! Nak pergi mana tu? Majlis baru je mula ni. Jom duduk sama-sama dekat situ," Dila menunjukkan sebaris kerusi kosong di bahagian belakang tempat mereka berkumpul.
"Oh, takpelah Dila. Nak balik bilik lah, rasa macam tak berapa sihat. Erm, En. Hashim pun dah bagi kebenaran kalau nak berehat sekejap," Suraya memberikan alasan. Hakikatnya dia cuba berselindung, sebab dia yakin kalau sekali lagi dia melihat Datuk Roestam berdiri di hadapan memberikan ucapan perasmian, pasti dia menjadi tak keruan.
"Su ok tak ni?" tanya Dila mengambil prihatin.
"Ok je kalau nak ke bilik. Takpelah, saya naik sendiri," Suraya menolak pertolongan Dila secara baik.
"Ok then. Eh, nanti Dila pun nak naik jugalah. Nak tukar kasut dengan track bottom, sebab lepas ni kena join team building. Oklah, naik bilik elok-elok tau," pesan akhir Dila sebelum menuju ke tempat duduk yang telah tersedia.

Suraya meneruskan langkah ke biliknya. Sementara menunggu lif, kedengaran sayup-sayup suara Datuk Roestam memberikan ucapan penuh teruja. Suraya tersenyum sendiri.

Sesampai sahaja di bilik, Suraya terus mencapai tuala dan mandi. Alang-alang tengah bersendirian dalam bilik yang dikongsi ni, bolehlah dia mandi lama-lama sikit. Bila dah beramai nanti, kena bertimbang rasa pula masa mandi untuk orang lain. Usai mandi, sambil berkemban mengeringkan rambut, pintu biliknya diketuk.
"Kejap Dila...!" laung Suraya sambil membetulkan tualanya. Dia berlari anak menuju ke pintu, penyelak pintu dilepaskan dan pintu dibuka luas.

Hashim berdiri tegak, terbuntang matanya melihat keadaan Suraya.

DAMMM! Pintu bilik dihempas kuat.
"NAK APA..??!!!" marah Suraya dari dalam bilik. Terkejut, malu dan marah bercampur baur apabila dia mengetahui yang mengetuk pintu biliknya adalah Hashim. Suraya menepuk dahi sendiri, "Bodoh, bodoh, bodoh... Bodoh, bodoh, bodoh, bodoh..."

Hashim menahan gelak. Dia tak menyangka yang Suraya akan membuka pintu tanpa bertanya terlebih dahulu. Yakin betul Suraya buka pintu dalam keadaan separa bogel.
"Su, put some clothes on! Pakai baju lengkap teruslah, saya nak ajak awak keluar cari barang untuk gala dinner esok!" Suara Hashim separa menjerit, takut-takut Suraya tak dengar daripada dalam biliknya.

"CARI ORANG LAINLAH!!" balas Suraya kasar. Dia masih lagi dibelenggu rasa marah dan malu. Terbayang wajah Hashim yang bulat mata memandangnya tadi. "DAHLAH KETUK BILIK ORANG TAK BAGITAHU NAMA!!!"

Mendengarkan balasan Suraya, Hashim tahu orang bawahannya sedang marah. Pastinya kerana malu. "Su, saya tak nampak apa pun lah. Cepatlah siap. Saya tak cakap dekat orang lain. Cepat ok, saya tunggu dekat parking lot. Pergi naik kereta saya."
Hashim berlalu pergi. Dalam perjalanan turun dia tersermpak dengan Dila.
"En. Hashim dari mana ni?" tanya Dila.
"Yang awak tu nak ke mana? Majlis dekat bawah dah settle?" Hashim mengelak daripada menjawab pertanyaan Dila.
"Saya nak balik bilik kejap, nak tukar kasut dengan track bottom. Lepas ni nak join team building. En. Hashim tak join sekali ke?"
"Saya nak keluar kejap cari barang untuk gala dinner esok. Oh, please inform Suraya saya tunggu dekat parking lot," arah Hashim kepada Dila.
"En. Hashim ni dari bilik saya ke tadi?" tanya Dila curiga.
"Saya yang suruh dia naik bilik tadi. Dia nampak macam nak pengsan, so mestilah dia ada dekat bilik kan? Tolong bagitahu eh," balas Hashim ringkas, terus meninggalkan Dila dalam kekeliruan.

***
Hashim menunggu sendirian di dalam kereta, "Lambatlah pulak makcik nih." Sempat dia mendengar bebelan juruhebah, iklan produk pelangsingan badan dan kecantikan wajah juga 2 buah lagu rock kapak sebelum Suraya muncul dan terus menuju ke tempat duduk belakang keretanya.
"Kenapa duduk belakang?" tanya Hashim kehairanan.
"Semalam kan saya dah bagitahu, saya fobia naik kereta dengan lelaki," jawab Suraya sambil matanya memandang ke luar.
"Ikut suka kati awaklah," Hashim terus menukar tombol gear ke D dan keretanya dipacu keluar daripada kawasan taman tema air tersebut.

"Kenapa tak ajak Dila je tadi? Kan jumpa dia masa dekat luar bilik?" soal Suraya, matanya masih lekap memandang ke luar tingkap.
"Saya memang tak plan nak ajak dia. Dia yang paling banyak tahu dalam segala hal," balas Hashim ringkas.

Suasana sunyi kembali menyelubungi mereka.

"Kalau ikutkan hati, saya tak nak dah ikut. Saya malu," Suraya mengaku. Walau dia cuba menyembunyikan perasaanya, perkara dah berlaku. Hashim dah pun nampak apa yang tak sepatutnya.
"Saya bukan nampak apa pun."
"Tipu..." nada Suraya rendah, seolah bercakap sendirian.
"Sukahati awaklah. Kalau tak nak percaya bukannya saya boleh paksa," balas Hashim sambil membelokkan keretanya ke sebuah kedai cenderamata. "Mari turun sekali, tolong angkat goodies. Ada banyak tu."

Suraya menuruti perintah ketuanya, dia turun dan berjalan di belakang Hashim. Sepanjang proses Hashim membayar dan mengambil tempahan cendemata, dia hanya diam membatu. Sekadar menunggu arahan yang seterusnya.

Perjalanan mereka diteruskan dengan membuat hentian di beberapa buah kedai lain. Akhir sekali Hashim berhenti di stesen minyak Esso, berdekatan dengan UMP. "Suraya nak apa-apa tak? Air ke?" pelawa Hashim.
"Boleh jugaklah," balas Suraya, masih tidak memandag ke wajah Hashim. Hatinya ditahan daripada memandang ke mata Hashim. Peristiwa tengahari tadi masih bermain-main dalam fikirannya. Malu sungguh!
"Hai la Suraya, Bangla yang bersidai tepi tembok tu lagi handsome daripada saya rupanya hahahahaha.." Hashim menggelakkan Suraya sebelum menuju ke dalam kedai untuk membayar petrol dan membeli minuman.
"Kurang ajar!" marah Suraya sendiri.

***
Suraya dan Hashim sama-sama mengangkat kotak-kotak daripada kereta Hashim menuju ke dalam dewan. Beberapa orang kakitangan lain turut membantu mereka. Selesai proses memindahkan segala barangan yang perlu, Hashim dan Suraya menaiki kereta menuju ke parking yang berdekatan dengan tempat penginapan mereka.

"Su, duduk depan. Saya nak cakap sikit," ujar Hashim dalam nada serius. Suraya akur.
"Firstly, saya nak mintak maaf kalau sebelum ni sebarang statement saya pasal awak dan Datuk Roestam menyinggung perasaan awak. Niat saya cuma nak selamatkan awak daripada terperangkap."
"Tak faham," balas Suraya.
"Dengar ni, Datuk Roestam kali ni dia tak main-main. Dia betul-betul nak dekat awak. Tapi saya rasa awak pun boleh tahu Datin Aida tu macam mana orangnya. Jadi, apa yang saya buat hari ni untuk selamatkan awak. Untuk esok, saya tak boleh jamin," terang Hashim.
"Pandailah saya jaga diri. En. Hashim tak payah risau. Saya tahulah apa nak buat. Saya pun sedar Datuk Roestam tu majikan saya, suami orang."
"Ok, saya cuma nak tolong je," ujar Hashim.
"Saya tak mintak pun pertolongan En. Hashim, in fact En. Hashim yang selama ni jual saya pada Datuk kan? So why now?" Suraya memberanikan diri bertanya dan memandang tepat ke mata Hashim.
"Saya mengaku saya silap. Sekarang saya cuba nak betulkan balik kesilapan saya," Hashim menjawab dalan nada mengeluh.
"En. Hashim tak terfikir ke kalau semua ni dah too late? What if kalau saya dah jatuh hati dengan Datuk Roestam?"

Kenyataan Suraya membuat Hashim terpaku. Untuk seketika dia hilang kata-kata. "I'm trying to save. You will thank me one day."
"Thank you for your act today!" balas Suraya keras. Terus dia keluar daripada kereta Hashim dan menghilang menuju ke penginapannya.

Hashim meletakkan kepalanya pada stereng kereta. Dia betul-betul mahu membantu Suraya bebas daripada perangai buas Datuk Roestam. Datuk Roestam sendiri pernah berkata padanya, "This time I'm not fooling around Hashim. She's different. I must get her and you must help me."
"SHIT!" jerit Hashim sambil menghentak tangannya ke stereng. "Apa kau dah buat ni Hashim...!!"

Saat fikirannya masih berkecamuk, telefonnya berdering. Tanpa melihat ke skrin, Hashim menjawab dalam nada keras, "Hellowh..! HELLO..??!"
"Don't you yell at me," suara wanita kedengaran di hujung talian, tenang.
Hashim terkedu, skirn telefonnya di pandang. Tertera nama Rosza.
"Sorry, I tengah serabut," Hashim menjawab acuh tak acuh.
"I dapat tahu you ada affair dengan staff jabatan you. Betul?" pemilik suara itu; Rosza, bertanya dalam nada tegang.
"You pedulik apa?" Hashim naik berang.
"Ingat Hashim, apa yang you dah buat dekat I dan apa yang abang I dah buat dekat you untuk selamatkan you. You patut bersyukur," nada Rosza kini mengugut.
"Eh! Apa you cakap ni? Mengarut apa ni?" Hashim protes.
"I cuma nak ingatkan you, don't you dare ada perempuan lain selagi I ni isteri you."
"Bullshit lah..! Isteri apa benda yang you merepek ni?" Hashim membentak.
"Wow...! You dah pandai marah sekarang kan? Amazing Hashim. Ingat, walaupun orang lain tak tahu yang you dah kahwin dengan adik Datuk Roestam, whom is me, sebab you rogol I dulu, jangan ingat you boleh buat sesuka hati you!"
"Siapa rogol siapa nih?!" balas Hashim keras.
"Heh, lucklily Roestam masih percaya dekat you," balas Rosza ringkas, memutuskan panggilan.

"Aaarrrgghhh!!" Hashim betul-betul bengang. Bersepai telefonnya yang dicampak ke cermin hadapan. Wajahnya merah menahan marah.

***
Hashim menunggu buat kali kedua untuk hari yang sama di hadapan pintu bilik Suraya. Dila telah diarahkan awal-awal lagi untuk menyelenggara urusan makan malam untuk hari itu. Dia sekadar memaklumkan kepada Dila yang dia akan turun lewat daripada waktu hidangan disediakan.
"En. Hashim nak apa lagi daripada saya?" keluh Suraya yang membelakangkan Hashim sambil mengunci pintu bilik.
"Betul yang awak jatuh hati pada Datuk Roestam?" tanya Hashim terus terang.
"Itu hak saya, tak perlu pun bagitahu semua orang kan? Apa hak En. Hashim nak tahu perkara ni daripada saya?" soal Suraya kembali kepada Hashim.

Hashim sekadar diam membatu. Dia hanya mengikut Suraya menuju ke lif untuk turun ke tempat hidangan jamuan makan malam. Hashim seolah-olah hilang hala tuju. Niatnya untuk melindungi Suraya daripada Datuk Roestam turut dibayangi perasaan sukanya pada Suraya. Namun dia buntu. Entah macam mana Rosza; isteri yang hanya pada nama, mengetahui berkenaan hal dia dan Suraya. Lebih malang lagi apabila Datin Aida memerhati gerak geri dia dan Suraya yang berlaku sebentar tadi.

Sampai di pintu masuk ruang makan, Hashim memandang tepat ke arah wajah Suraya, dengan harapan Suraya mengerti niatnya untuk membantu Suraya daripada dikejar Datuk Roestam. Suraya menyambut dengan pandangan 'leave me alone'.

***