'Bas 645... bas 645... haaa ini dia...' Rahmat berjumpa dengan bas yang bakal dipandunya. Dia merupakan pemandu baru bagi Syarikat Bas Boon Kai atau orang ramai menggelarkan sebagai Bas Bangkai.
Bas Bangkai merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas sehingga ke kawasan Pos Betau, Pahang. Jalan menghala ke Cameron Highlands. Banyak laluan Bas Bangkai telah ditamatkan perkhidmatan namun bas 645 masih lagi beroperasi seperti biasa. Hal ini kerana ramai orang di Pos Betau tidak mempunyai kenderaan.
'Lamat, lu jangan ponteng kilija hor... Lu punya bas mesti lalu sampai pos betau sana hor... last mesti kasik lalu pukul 6 tau, tak ada olang pun mesti mahu kasi lalu... jangan lupa hor...' pesan tauke Lim kepada Rahmat sebelum dia memulakan hari pertamanya.
Rahmat amanah orangnya, kalau tidak kerana perlu menjaga orang tuanya di kampung, pasti dia masih lagi memandu bas Rapid Kuantan.
Untuk trip hari pertama, adalah 2 ke 3 orang sahaja yang naik. Jam di tangan baru pukul 4, kalau ikutkan hati memang Rahmat nak balik je, bukannya ada orang sangat pun. Namun Rahmat gagahkan juga. Trip terakhir jam 6 diteruskan.
Rahmat bersiul-siul girang kerana sedang memandu dalam trip terakhirnya. Sebelum tiba ke stesen, basnya ditahan seorang gadis orang asli.
'Driver baru ye? Siapa namanya?'
'Rahmat dik... adik nak ke mana?'
'Stesen bang, seringgit dua puluh sen kan?'
'Iya dik...'
Gadis itu memilih untuk duduk di kerusi pertengahan bas. Rahmat terjengah-jengah melalui cermin pandang belakang. 'Boleh tahan juga anak orang asli sini. Cantik.' Rahmat kembali bersiul.
***
'Mak, anak orang asli memang lawa-lawa ke mak?' Rahmat berbual sambil mengurut kaki maknya.
'Kenapa...? Ada yang kau berkenan...?' soal maknya kembali.
'Taklah, petang tadi ada anak dara asli naik bas. Boleh tahan cantik. Tapi ye la kan, anak orang asli... Idak le wangi hahahaha...' Suka Rahmat sendiri.
'Jangan ketawakan sangat Rahmat, nanti bau itu yang kau cari... Mak tak tanggung..'
'Alah mak ni, koi gurau ajelah... Serius pulak...' Tersengih-sengih Rahmat ibarat kerang busuk minta dilempar.
***
'Hoi Lamat...!! Mali masuk lalam opit...!!' laung Tauke Lim.
Rahmat berjalan memasuki pejabat bosnya. Apabila dibuka sahaja pintu pejabat itu, masyaAllah busuknya bau...!! Macam bau bangkai..!
Merah mata dan hidung Rahmat menahan bau pejabat Tauke Lim. Tapi dilihatnya tauke Lim selamba je bergerak melilau di dalam pejabat.
'Lu punya pefomen ala baik hor... Itu Latok Batin ale mau suloh lu bawak bas sampai pukoi 7 la... Boleh hor..?'
'Jangan macam ni tauke, saya nak balik gelap nanti.' Rahmat menjawab dalam loya. Mahu terjeluak, namun ditahankan.
'Latok batin ale cakap, lu bawak bas masuk kampung, kampung tale masalah bas. Latok batin kate, lu ale ong punya olang.' Balas Tauke Lim.
'Ikut sukahatilah tauke. Janji bayar lebih. Dah, wa nak start trip dah ni.' Laju Rahmat meninggalkan pejabat Tauke Lim. 'Simpan mumia ke hape dalam pejabat? Gile busuk kohong..!! lluuueekkk... haish....'
***
Semenjak Rahmat memandu Bas Bangkai 3 minggu yang lepas, tak pernah sekali pun gadis asli penumpang petang (gelaran yang Rahmat bagi) itu tidak menaiki bas. Tapi petang ini kelibat gadis itu tidak kelihatan. Ketika melalui tempat yang selalu ditunggu gadis itu, Rahmat memperlahankan basnya untuk melihat-lihat jika mungkin gadis itu belum sampai lagi. Setelah berpuas hati, Rahmat meneruskan pemanduan.
'Memang tak ada kot budak tu petang ni...' ujar Rahmat sambil menjeling cermin pandang belakang.
'Eh...!!!!' gadis itu melintas saat Rahmat mula memandang ke jalan dihadapannya..!
Rahmat menekan brek sekuatnya lantas memutar stereng ke arah lorong bertentangan. Bas 645 yang dipandu Rahmat berpusing di tengah jalanraya dan seterusnya terbalik melintangi jalan yang sunyi tanpa kenderaan. Berasap.
'Abang, mari...' gadis asli itu menghulurkan tangannya, cuba membantu Rahmat keluar daripada bas 645 yang telah terbalik.
Rahmat menyambut.
***
'Lu mula kilije, pukoi 8 pagi sampai trip pukoi 7 malam hor... Jangan ponteng kilije, sebab kalau jadi ape-ape syalikat tak akan tanggung...' Taukeh Lim menghulurkan kunci bas 645 kepada Salim. Salim berlalu, Tauke Lim melihat ke arah set kerusi usang dalam pejabatnya, 'Sikalang sulah ala 2 olang, lagi satu olang gua bole jadi olang balik lah hahahahahaaaaa...' pandangan Tauke Lim, gadis asli dan Rahmat bertemu.
2 comments:
kumpul hantu sbb nk jd org balik ea. sungguh x patut
ala-ala voldermort gitu heheee...
Post a Comment