Cikgu suka main bola.
Hari-hari cikgu main bola.
Itulah yang ditulis oleh Cikgu Shaari atas papan hitam dalam filem Masam-masam Manis. Petikan filem kegemaran Cikgu Mad. Mohamad bin Hamidon, cikgu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan SK Padang Merbok. Berpengalaman dalam bidang kecergasan dan kesihatan kanak-kanak. Bercita-cita untuk menurunkan kadar obesiti di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun melalui pendekatan gaya hidup sihat. Namun setakat ini, cita-cita beliau masih lagi tergendala kerana kuasa Cik Kiah kantin tiada tolok bandingan.
Bola sepak adalah sukan kegemaran Cikgu Mad. Namun kerap kali beliau bermain sendirian, kerana anak muridnya yang gendut-gendut itu lebih suka memerhati sambil menjilat aiskrim Abang Abu Kemboja. Sambil menikmati aiskrim mereka akan menjerit bersama-sama 'Cikgu suka main bola..! Hari-hari cikgu main bola..!' disusuli deraian hilai tawa mereka. Cikgu Mad sekadar tersenyum, padanya kalau dimarahi lagilah tiada yang nak mendekati padang, apatah lagi meningkatkan tahap kecergasan.
'Hey...! Tak baik kamu kata begitu pada cikgu kamu tau...! berdosa...!' marah seorang gadis manis bertudung litup. Jamilah, bekas cikgu gantian matapelajaran Sejarah di sekolah yang sama. Jamilah memang suka memerhati Cikgu Mad bermain bola. Walaupun Cikgu Mad berbuat acuh tak acuh, namun Jamilah tetap setia menunggu Cikgu Mad di padang. Ada masanya Jamilah kecil hati kerana Cikgu Mad buat tak tahu sahaja. Namun dia tetap tunggu Cikgu Mad.
***
Petang itu, merupakan petang terakhir Cikgu Mad bermain bola di padang sekolahnya. Dia mengumpulkan anak muridnya untuk bermain bersama-sama sebelum dia berangkat ke Kelantan. Iya, Cikgu Mad akan mula bertugas di Kelantan minggu hadapan. Dia akan ke SK Pengkalan Chepa, mengekalkan jawatan yang sama denga misi dan visi yang serupa.
Dalam remang senja itu Cikgu Mad duduk di bangku tepi padang sambil memegang bola sepak di tangannya. Jamilah datang mendekati, namun Cikgu Mad tetap melangutkan pandangannya jauh.
'Sampai hati Abang Mad nak tinggalkan Milah, tak bagitahu sepatah pun. Milah faham, mungkin abang marah sebab dulu Milah yang tinggalkan abang. Tapi abang kan dah janji kalau berpindah pun tak mahu jauh daripada sini. Abang tahukan Milah tak boleh ikut abang sampai ke Kelantan sana? Kenapa abang setuju untuk pindah? Abang dah tak sayangkan Milah?'
Cikgu Mad diam membatu. Lama, barulah dia berkata dalam keluhan.
'Maaf Milah. Abang tak dapat terus ada di sini. Abang terpaksa pergi jauh. Pasti Milah takkan faham dengan tindakan abang, tapi percayalah Milah tetap ada dalam hati.' Ringkas jawapan Cikgu Mad. Tidak memandang pun dia walau sesaat kepada Jamilah. Cikgu Mad berlalu pergi meninggalkan Jamilah yang teresak keseorangan di bangku tepi padang.
***
'Selamat datang Cikgu Mohamad. Kami memang menanti-nantikan kehadiran cikgu. Pasti aktiviti sukan dan kecergasan sekolah ini bertambah baik nanti..!' kata alu-aluan daripada Tn Hj Bahar, Guru Besar SK Pengkalan Chepa. 'Oh ya cikgu, di sekolah ni kita ada Pendidikan Khas. Kalau boleh, saya mahu cikgu kelolakan juga aktiviti riadah untuk pelajar-pelajar ni. Mari saya bawa cikgu kesana.'
Cikgu Mad menuruti Tn Hj Bahar daripada belakang, menuju ke kelas Pendidikan Khas. Cikgu Mad juga difahamkan kelas Pendidikan Khas di situ dikunjungi oleh Jurupulih Carakerja setiap hari. Mereka berdua disambut mesra oleh Jurupulih yang kebetulan baru selesai melakukan sesi pertama terapi.
'Jemput masuk Tn Hj dan....'
'Oh kenalkan ini Cikgu Mad, cikgu Pendidikan Jasmani sekolah kita' sambung Tn Hj Bahar pantas.
'Selamat berkenalan cikgu. Saya Faezah, Jurupulih Carakerja di sini' sapa Faezah mesra.
Namun Cikgu Mad terlongo. Mindanya seakan mati kerana yang dilihat di hadapannya adalah Jamilah, bekas cikgu gantian matapelajaran Sejarah di SK Padang Merbok yang hilang tanpa jejak ketika mereka berpacaran tiga tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment