Semalam ku bermimpi haiii dengan satu bintang
Berkata-kataku di jendela
Kulihat kanda tersenyum memandang
Asmara menggoda meresap ke dada....
Mabuk. Mabuk cinta. Itulah gelaran paling sesuai untuk disandang oleh Jamilah. Bagai dipanah cupid bertalu-talu tepat di bulls eye hatinya. Siapa sangka, dia akan jatuh cinta pandang pertama. Lebih mengujakan, yang dicintai juga berasa yang serupa.
Gila. Ini memang betul-betul gila. Tak perlu disangkal dari mana datangnya cinta, kerana terbukti dalam kes Jamilah ini cinta bertaut apabila pandangan mata bersambut lantas turun ke dasar hati.
Abang dan adik. Itulah bahasa ganti diri yang mereka gelarkan. Pada Jamilah, setiap kali Abang menyapa lembut dirinya dengan perkataan Adik, dunia dirasakan ibarat syurga. Perkenalan mereka yang singkat ibarat telah diatur Ilahi. Ibu Jamilah tidak henti-henti membebel kerana risau anak daranya yang begitu memilih pasangan hidup. Pada Jamilah, tanpa cinta apa ertinya berumahtangga. Bagi Abang pula, kerjaya yang sudah stabil, tubuh badan yang sihat serta kewangan yang kukuh menguatkan iltizam untuk berkahwin. Namun apakan daya, hati belum terbuka. Masih menanti magis cinta katanya
Esok bermulalah lembaran hidup baru bagi Jamilah. Dia akan mula mencari pekerjaan lain setelah kontrak 3 bulan sebagai guru gantian tamat. Dalam banyak-banyak pengalaman kerja, pasti inilah yang paling diingati. Tempoh singkat itulah yang menemukan dia dan jodohnya. Iya, Abang Mad adalah jodohnya. Tak mungkin dia mencari yang lain. Mengimbau kembali saat perkenalan mereka, seminggu selepas Jamilah melaporkan diri.
***
'Berapa kak?' tanya Jamilah kepada Kak Kiah kantin harga sarapannya.
'Ada oghang dah bayokan Milah. Cekgu Mad PJ. Itu yang pakai baju sokan tuu', balas Kak Kiah sambil mulutnya muncung menghala ke arah Cikgu Mad.
Jamilah berjalan menuju ke arah Cikgu Mad. Melihat Jamilah berjalan ke arahnya, Cikgu Mad berdiri. Kelakuan Cikgu Mad yang begitu gentleman itu membuatkan hati Jamilah tiba-tiba berdebar. 'Eh, kenapa aku berdebar ni?' tanya hati Jamilah pada diri sendiri.
Cikgu Mad tersenyum manis. Susuk tubuhnya yang tinggi berotot, rambut yang disisir rapi dan pandangan mata yang redup menambahkan lagi debaran dada Jamilah. 'Errr... Terima kasih tolong bayarkan sarapan saya... Errrr Cikgu Mad...'
'Sama-sama Dik. Tak payahlah bercikgu-cikgu dengan saya. Panggil Mad.' balas Cikgu Mad ringkas.
Pandangan mereka tertancap antara satu sama lain untuk beberapa detik, seperti saling menghantar isyarat telepati.
'Jamilah...'
'Abang Mad...'
Ucap mereka serentak. Ketawa kecil berderai. Hangat terasa wajah Jamilah. Cikgu Mad sekadar memegang tengkuk, untuk berasa selesa.
'Baiklah.. Jamilah kan..? Petang ni kalau adik free, lepas saya habis latihan bola sepak, boleh tak kita keluar minum sama-sama?'
'Saya kena bagitahu mak dulu...'
'Baik, kalau mak bagi nanti roger saya ye. Takpun tunggu tepi padang. Ok, saya gerak dulu.' Jamilah ditinggalkan dengan senyuman menawan. Cair. Sumpah cair, hati Jamilah kali ini.
***
'Johan, first aid kit dah settle? Minum dengan makan budak-budak semua ok dah?' tanya Mad kepada Johan, cikgu matematik SK Padang Merbok.
'Siap dah semua. Eh, pasal Abu Kemboja yang jual aiskrim tu, betul ke kau nak dia ada petang ni? Bukan ada ramai pun budak datang tengok. Kang rugi pulak si Abu Kemboja tu.' soal Johan kehairanan.
'Bukan untuk budak-budak, tapi untuk adik sayang...' balas Mad.
Petang ini, Mad bercadang mahu melamar Jamilah. Dia tidak mahu berlengah lagi. Ketiadaan Jamilah buat pertama kalinya di sekolah betul-betul membuatkan hatinya jadi tak menentu. Dia yakin, Jamilah pasti suka akan kejutannya petang ini.
***
'Mak, petang ni Abang Mad ajak tengok game bola dia. Ada lawan final untuk area Bangsar. Milah pergi eh mak...?'
'Jaga diri elok-elok. Jangan nak mengada-ngada sangat pulak tepi padang nanti. Bagitahu pada Mad, kalau menang kena lekas-lekas pinang kau.' Memang itulah modal Mak Senah kalau bercakap dengan anak daranya. Kahwin, kahwin dan kahwin. Tapi kini, harapan Jamilah dan ibunya serupa.
Selesai bersiap, Jamilah mengatur langkah ke padang SK Padang Merbok. Hari ini hatinya tergerak untuk memakai blaus dan skirt labuh berona ungu. Dipadangkan dengan tudung Aidijuma 3 tona. Dia seperti dapat merasakan Abang Mad ada satu kejutan besar untuknya kerana begitu bersungguh-sungguh mahu dia hadir. Katanya, hari ini akan pasti akan mengukir sejarah.
Jarak daripada rumah Jamilah ke sekolah hanyalah 1 km dan mengambil masa setengah jam berjalan kaki. Berpayung warna pelangi, Jamilah berjalan kaki sendirian. Separuh jalan, dia terasa langkahnya diekori. Dia menoleh ke belakang, tiada apa yang mencurigakan. Dia meneruskan perjalanan, kali ini lebih pantas. Selang beberapa langkah, tubuh Jamilah direnggut keras. Mulutnya ditutup kemas dengan kain. Jamilah meronta kuat namun tidak mampu untuk melepaskan dirinya. Bau sengit yang menusuk hidung melemahkan dirinya saat demi saat. Dia diheret masuk ke dalam sebuah kereta, dan terus dibawa pergi dari situ, laju. 'Abang Mad, tolong....' ucap Jamilah lemah sambil airmatanya mengalir.
***
GOOOLLLLL....!!!
Jaringan kemenangan saat-saat akhir yang terhasil daripada rembatan kencang tendangan sudut Mad. Dia dihambat dan didaki rakan sepasukan yang sangat teruja. Pasukan mereka berjaya mengungguli liga bola sepak kawasan Bangsar. Dalam kegembiraan itu Mad sempat memandang ke bangku penonton padang. Melilau matanya mencari Jamilah. 'Ish, mana Milah ni? Janganlah tak datang, aku dah plan baik ni..!' kata hati Mad sedikit panik.
'Abu, baliklah dulu. Maaf, tak jadi pula rancangan saya petang ni.' Mad menghulurkan RM10 sebagai tanda gantirugi masa Abu. Abu menolak, dia hanya menyatakan agar menghubunginya semula jika perlukan sebarang bantuan kelak. Mad melangkah longlai menuju ke bangku penonton bersendirian. Rakan-rakannya semua sudah pulang. Dia menyemak telefon bimbitnya. 12 panggilan daripada Mak Senah, namun tiada satu pun daripada Jamilah. Hatinya dihambat rasa bimbang.
'Assalamualaikum makcik, Mohamad ni. Ada apa ye?'
'Mohamad...! Jamilah ada dengan kamu tak..? Petang tadi dia kata nak ke padang tengok kamu. Makcik risau dari tadi telefon dia tak berangkat..!' jelas bunyi risau pada suaranya.
'Makcik tunggu di rumah. Saya datang sekarang.' Berlari Mad ke keretanya. Dia pasti ada yang tidak kena pada Jamilah.
***
Jamilah melihat Abang Mad berlari menuju ke keretanya. Keretanya terus dipecut laju. Nampak jelas Abang Mad dalam keadaan tergesa-gesa.
'Abang Mad nak kemana...? Maaf, Milah terlambat...'
Hanya Jamilah yang mampu mendengar ungkapannya sendiri.
No comments:
Post a Comment