Nama: Akmal Ehsan
Tarikh lahir: 13 Feb 1985
Pekerjaan: Akauntan
'Saya mencari pasangan yang dapat menambahkan debit cinta, mengurangkan kredit sunyi dan mengimbangi akaun kehidupan saya'
Salah satu profil Jejaka Idaman dalam laman sesawang Pautan Cinta yang dilayari oleh Mala. Mala, pembantu kajiselidik atau RA di UKM. Kini sudah memasuki tahun ke empat dia menyandang jawatan tersebut. Dia turut menyambung pelajaran peringkat sarjana pada masa yang sama. Kini di peringkat akhir pembetulan tesis dan menanti viva sebelum ditauliahkan dengan ijazah sarjana berkepujian.
'Mala, kalau belajar tinggi-tinggi sangat nanti susah nak jumpa yang sesuai dan memahami. Kahwinlah dulu, baru selesaikan belajarnya,' pesan ibu Mala.
Tapi Mala degil. Padanya kalau dah ada laki mesti ada kebarangkalian akan beranak. Lelaki ni konon je setuju, tapi kalau dah terlajak katanya rezeki. Lagi pulak benda halal. Seram rasanya.
Telefonnya berdering, ibunya memanggil.
'Panjang umur mak.' Sambil tersenyum dia menjawab panggilan.
***
'Samad, hujung minggu ni kau free tak?' tanya Mala kepada junior RA makmalnya.
'Kenapa kak Mala? Nak belanja saya makan sebab tolong akak hari tu ke?' Menyengih Samad membayangkan habuan yang bakal dia terima.
'Eh, pandailah kau ni..! Aku belanja makan kenduri kahwin dekat Taiping. Pakej berjalan semua aku tanggung. Nak ikut?' tawar Mala panjang lebar.
'Wow..! Pergi bercuti ke..? Mestilah nak..!! Kita berdua je ke kak?' Samad sudah mula teruja.
'Kak Faza pun ikut sekalilah. Apa hal pulak kita berdua je.' Meluat pula Mala melihat si Samad teruja sangat. Takkanlah Samad ni syok kat dia pulak?
Usai berbincang dengan Samad, Mala berkemas dan bersiap untuk pulang. Di kaki lima makmalnya dia terserempak dengan Fazarin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Faza.
'Haaa cemana Mala, jadi Samad ikut?' Tanya Kak Faza beria.
'Jadi kak, harapnya tak lah bising mak saya bila saya balik tangan kosong tak bawak jantan... hahahahaha,' kedua-dua mereka mengilai gembira.
Rupa-rupanya Samad diperlukan sebagai props untuk menyejukkan hati ibu Mala yang sudah mula bising pasal jodoh. Tambahan pula kenduri kahwin kali ni adalah kenduri adik sepupunya yang 5 tahun lebih muda. Kalau setakat muda setahun dua tu tak usah cakaplah, masing-masing dah beranak pinak. Lagilah menampakkan Mala hopeless dalam soal jodoh.
***
'Kak, tak payahlah belanja saya baju seluar semua ni. Hari tu saya tolong sikit je.' Samad keliru, seolah-olah ada yang tak kena apabila mereka bertiga singgah di Jusco Kinta untuk membelikannya baju kemeja lengkap berseluar.
'Samad, untuk percutian kali ni kau tak payah panggil aku Kak Mala. Panggil Mala je,' arah Mala tanpa menoleh ke arah Samad.
'Ish, ape pulak..? Akak kan lagi senior daripada saya. Saya kenalah hormat,' bidas Samad. Cuba mempertahankan etikanya.
'Alahai Samad, dah orang kasi tak payah panggil kak. Kau ikut jelah!' komplen Faza.
'Tapi kenapa? Ni mesti ada benda nak buli saya ni! Aduh..!'
'Samad, anggaplah yang saya bayar ni sebagai tanda terima kasih terlebih awal sebab untuk 2 hari ni kalau boleh. Kalau boleh la, tolong berlagak jadi boyfriend saya. Actually, you have to. No other options.' Nada Mala tegas. Bukan merayu tapi mengarah.
'Uishh... Apa ni..? Tak nak lah... Takkan saya nak couple dengan orang lebih tua kot. Tak nak saya!' Samad sudah mula tawar hati.
Hakikatnya Samad memang ada menyimpan perasaan terhadap Mala. Iyalah, kalau tak kerana sayang, takkan Samad sanggup bersengkang mata membantu menyiapkan kerja-kerja makmal Mala sedangkan kerja dia berlambak lagi yang perlu disudahkan. Tapi, kalau disuruh menjadi kekasih terpaksa begini, memang dia tak sanggup. Kalau nak, biarlah betul-betul Mala mahukan dia. Dia bersedia menyayangi Mala seadanya.
'Tolonglah Samad. Akak.. maaf, saya sendiri tak ada pilihan. Saya tak nak mak saya bising. Kalau Samad tolong saya, sama lah macam Samad menjaga hati seorang wanita bergelar ibu.' Bijak betul Mala memutar fakta.
'Janganlah sebut pasal mak... Lemah betullah,' dengus Samad.
Samad terus berlalu pergi. Mala dan Kak Faza ditinggalkan. Mereka juga tidak berusaha mengejar Samad, mungkin faham yang dia perlukan masa untuk berfikir. Mala pun tahu, kalau dipaksa juga nanti rancangannya tak menjadi.
***
'Mala, telefonlah Samad tu. Ni dah nak gerak dah kot. Karang kalau dibuatnya budak tu pergi ke Medan Gopeng ambik bas balik KL kang, kau juga yang susah!' kak Faza mula cemas. Macamlah dia yang nak kena menghadap leteran ibu Mala masa kenduri nanti.
Baru sahaja Mala mendail nombor telefon Samad, pintu keretanya dibuka. Samad berdiri tercegat dengan wajah selamba.
'Kus semangat...! Boleh mati tau terkejut macam ni!' Wajah Mala jelas nampak cemas.
'Siapa yang suruh tak kunci pintu? Pindah duduk kerusi co-pilot. Kak Faza, tolong duduk belakang boleh? Biar saya drive akak dengan Mala sampai ke Taiping.' Samad mengarahkan penuh tenang. Boleh tahan macho.
Sepanjang perjalanan ke Taiping, hanya radio yang berbunyi. Akhirnya Mala memecah buntu, 'Terima kasih ye Samad.'
'Belum lagi. Saya ada benda nak clear kan sebelum saya terpaksa berlakon jadi boyfren kak Mala.'
'Please, just Mala.' balas Mala pantas.
'Ok. Mala. Kena pegang-pegang ke kalau berlakon ni?' Samad tanya direct.
'Jangan nak gatal!' Mala membalas pantas.
'Perlu tunjuk sifat cemburu ke? Untuk menjadikan watak lebih berkesan perhaps,' soal Samad lagi.
'Saya tak ada orang suka, tak payahlah nk beria sangat.'
'Bukan saya yang cemburu, tapi Mala. Manalah tahu ada yang suka pada saya nanti?' ujar Samad, sengaja menyakitkan hati Mala.
'Pandailah saya nanti. Tak payah nak melebihlah!,' Mala mula meluat. Rasa menyesal pun ada.
'Kalau mak Mala suka betul-betul pada saya, sanggup?' tanya Samad.
'Sanggup apa?' Mala tak mahu untuk memahami.
'Sanggup terima pinangan saya?' soalan Samad yang begitu berani itu seolah-oleh mempunyai getaran satu macam, sampai meremang bulu roma.
Mala terdiam. Faza yang di tempat duduk belakang sedang mengelamun pun turut terkujat.
Mereka tiba ke destinasi dengan soalan padu maut yang tidak berjawab.
***
'Boleh tahan juga pilihan Mala tu ye Kak Zam,' puji seorang tetamu kepada ibu Mala, Puan Zamzainun.
'Aku pun berkenan tengok. Dari mula-mula datang hari tu, pandai berbual. Buat kerja-kerja kenduri pun boleh. Pendek kata, boleh bawak dirilah,' ulas Kak Zam sambil diiringi tawa gembira.
Samad diihat sibuk ke hulu ke hilir, menyusun gelas pinggan dan gelas utuk digunakan tetamu. Sambil-sambil itu dia mengutip sampah dan mengemas serba sedikit apa yang patut. Sengaja Samad menyibukkan dirinya, biar kurang komunikasi antara dia dan Mala. Lagipun kalau duduk berehat saja, entah cerita apa lagi yang perlu direka bila orang bertanya tentang dia dan Mala. Takkanlah asyik nak cakap 'tanyalah Mala' ulang-ulang kali. Nampak sangat dia jadi alat kepada Mala.
Mala pula dilihat sedang berbual rancak dengan seorang jejaka. Tersenyum simpul, tersengih senget.
'Your ad dalam Pautan Cinta tu very catchy!' puji Mala.
Oh, rupanya inilah Jejaka Idaman bernama Akmal Ehsan. Tersengih kembang lubang hidung Akmal dipuji Mala.
Akmal punya perwatakan tersendiri. Kacamata tebal berbingkai gaya alternatif. Tinggi lampai, sedikit bertubuh. Cuma agak pendiam dan banyak memerhati. Lebih suka mendengar Mala bercerita. Kadangkala pandangannya melilau ke arah lain, melihat-lihat sekeliling. Entah apa yang dicari. Namun Mala tidak perasan sikap Akmal, keterujaanya bertemu Akmal membuatkan dia terlepas pandang perkar kecil yang mungkin penting untuk diperhatikan pada pertemuan pertama.
Iya, Akmal hadir adalah atas jemputan Mala. Samad adalah sebagai backup jika Akmal tidak muncul.
***
'Dulu lagi, dari dulu lagi aku dah cakap dekat kau aku tak berkenan budak internet yang kau jumpa tu! Tapi kau degil! Kalau bukan cakap mak, cakap siapa lagi kau nak dengar Mala?!' berdengung leteran ibu Mala menerobos terowong kecil telinganya.
'Budak Samad yang baik tu, kau buat jadi alat. Aku tak pernah ajarlah kau buat macam ni!' Puan Zamzainun nyata kecewa dengan Mala.
'Mak, Mala dah kahwin dah pun mak. Terimalah kami.' rayu Mala dalam airmata.
'Aku terima. Cuma satu aku nak pesan, ni untuk Akmal. Nak jadi menantu aku sepatutnya kau menang hati aku dulu. Bukan sauk anak dara aku, nikah entah dekat mana, balik-balik sini diam macam batu. Mala tetap anak aku, kau tu... Tunggu jelah kalau aku terima jadi menantu,' amaran keras untuk Akmal daripada ibu mertuanya.
Akmal diam membatu. Tak pasti, rasa bersalah atau sekadar mendengar tanpa kesan.
***
'Samad, akak wish all the best. Dekat US nanti diri elok-elok lah. Jangan lupa kawan-kawan satu lab dekat sini pulak,' ujar Mala dalam senyum.
'Iya kak. InsyaAllah. Facebook kan ada. Akak tu, kena jaga diri dengan baby elok-elok. Paksa sikit Kak Faza tu tolong buat kerja rumah,' pesan Samad, cuba menyembunyikan simpatinya kepada Mala. Kalaulah Mala menerima dirinya, pasti dia tidak akan tinggalkan wanita itu saat sarat mengandungkan anak mereka. Dia tahu, malah pasti, wanita yang bernama Mala itu akan lebih gembira.
No comments:
Post a Comment