Friday, April 5, 2013

Hana: Oh Budi..!

Kompang dipalu, pengantin baru
Duduk bersanding, tersipu malu
Kompang dipalu, pengantin malu
Moga bahagia ke anak cucu...

Meriah betul majlis perkahwinan mempelai dua sejoli. Tautan kasih antara 2 dunia berbeza. Siapa yang sangka, berlainan bangsa juga mampu memateri cinta. Walaupun pada awalnya dilanda gelombang dan nyaris membawa kepada perpisahan. Hanya sahabat karib yang mampu mengerti pahit pedih hubungan sebegitu.

Selamat Pengantin Baharu buat Jasmin Kusyairi dan Jauhari Xavier Tan.

Hana adalah antara orang yang paling sibuk pada hari itu. Menerima bingkisan hadiah bagi pihak Jasmin, bersalam mewakili pengantin perempuan dan mengendalikan cenderahati istimewa buat teman rapat. Siapa sangka, Hana yang sibuk bercinta dengan orang seberang laut, tup tup teman rapatnya yang berkahwin dahulu. Dengan bangsa lain pula tu.

'Itulah Jas, dulu kau jaga sangat aku. Suruh hati-hati sebab Budi tu Indonesia. Tengok sekarang apa dah jadi?' gurau Hana pada Jasmin.
'At least dengan Joe, taklah sampai aku kena fikir nak pindah duduk luar negara ke tak. Dia Malaysian ok, bukan foreigners. Biarlah cina pun, hensem,' jawab Jas bersahaja.


Jawapan bersahaja Jas membuatkan mata Hana bergenang. Hana perlu memikirkan sama ada untuk terus dalam hubungannya dengan Budi, atau tidak. Teringat kembali ketika Budi memberi syarat 3 tahun sebelum mereka berjumpa kembali.

***
Sambil makan Sate Minang, mereka duduk memerhatikan laut. Hana melangutkan pandangannya jauh. Terleka melihat ombak. Berbeza dengan Budi. Pandangannya sebentar ke laut, dialihkan ke pasir. Sekejap-sekejap dia memandang Hana.

'Awak cakaplah apa yang awak fikir. Tak perlu pandang kiri kanan macam nak curi-curi cium saya,' tegur Hana bersahaja.
'Lho, kok aku dituduh mahu mencium kamu?' Tersengih Budi mendengar kata-kata Hana.
'Dah, perangai macam nak buat jahat je saya tengok,' balas Hana.
'Apa laut itu cerminan perangai aku? kamu itu bisa aja ya melihat tanpa memandang?' 

Itulah Budi. Apa sahaja yang dilakukan Hana menjadi suatu kekaguman. Iya, kagum kerana ada cinta.

Hana menoleh, wajah Budi ditatap seluruhnya. Dia seperti boleh mengagak pertemuan antara ibunya dan ibu bapa Budi akan menyebabkan perkara buruk. Iyalah, siapa yang mahu berbesan dengan orang kurang siuman. Hana tidak menyalahkan ibunya berpenyakit begitu. Cuma dia masih belum cukup reda dengan sikap segelintir manusia yang menganggap orang gila tak layak untuk bersaudara.

'Hana...' Budi memulakan kata.
'Aku cukup tahu masalah kamu dan ibu. Aku secara jujur, menerima kamu dan mencintai kamu seadanya. Ikhlas. Namun ibu dan ayah aku perlukan pengertian, gimana nanti selepas kita menikah..? Ermm... Kamu mahu tinggal di Indonesia...?'


Sah, Budi tidak akan hidup membina impian keluarga mereka berdua di Malaysia. Di tanah tumpah darah Hana.

'Mak boleh ikut sekali kan?' tanya Hana dalam nada meminta.
'Itu pasti!' balas Budi dengan senyuman.

Petang itu berlalu tidak seperti selalu. Budi lebih banyak berdiam diri. Selepas permintaan Hana berkenaan ibunya, Budi seakan mati akal mahu bercakap dengan Hana. Sehinggalah mereka sampai ke pintu pagar asrama Hana.


'Budi... Kenapa masa jawab pasal mak boleh ikut kita ke Indonesia lepas kita kahwin, awak macam tak bersungguh ek?' Hana bertanya, cuba berterus terang.
'Fikiran saya, berkecamuk,' balas Budi bersahaja.
'Ibu dan ayah tak benarkan mak ikut sekali kan?' Hana cuba meneka.
'Eh nggak ah. Mereka cuma... Ummm..' Budi hilang kata-kata.
'Bagitahulah sayang... Kalau awak tak bagitahu saya, macam saya nak bantu selesaikan masalah ni?' pujuk Hana lembut.


Budi menarik nafas dalam-dalam. Dihembuskannya sekaligus berharap dapat memberikannya kekuatan untuk berterus terang.

'Hana, apa yang bakal aku katakan aku harap tidak menyinggung perasaan kamu. Sekali lagi, jujur aku amat mencintai kamu. Cuma ibu sama ayah. Mereka khuatir andai aku menikahi kamu, keturunan kita terjejas kerana penyakit ibu kamu. Maafkan ibu dan ayah ku Hana,' Budi menerangkan dengan tertib.

Hana diam memeluk tubuh. Pipinya basah. 'Lagi..?'

'Selepas kita menikah, ayah mahu aku tinggal di Indonesia. Menjaga toko perusahaan kami. Maka ayah mahu kita berdua tinggal bersama-sama mereka,' sambung Budi.

'Maknanya, mak kena tinggal sini dan saya ikut awak?' Tanya Hana.

'Hana.... Maaf sayang. Maaf kerna buat kamu menangis sayang... Maaf kan aku..' Budi hilang arah. Matanya turut bergenang melihat airmata Hana berjuraian jatuh.

'Budi... Mak hanya ada saya. Kalau saya tinggalkan mak, saya sama macam ayah dan adik beradik saya yang lain. Meninggalkan mak kerana dia gila. Apa ertinya saya hidup gembira dengan awak kalau mak saya dekat sini terbiar? Apa perlunya kita bernikah kalau ibu dan ayah awak sendiri tak mahu keturunannya dicemari penyakit macam ni?' Hana tidak dapat menahan sendu. Teresak-esak dia menangis. Budi hanya mampu menuturkan perkataan maaf berulang-ulang kali.

Malam itu, mereka belum tahu arah tuju, belum tahu panjang jodoh. Masing-masing pulang dengan luka di hati. Pulang dengan airmata.

***
Hana, aku tunggu kamu di bawah. Lekas yah... :)


SMS daripada Budi memberikan alasan buat Hana untuk bangun daripada tilam. Dia tidak mahu berganjak daripada tempat baringnya. Apa yang dilalui semalam cukup pedih, cukup sakit. Menyedut kesemua tenaga yang ada bersisa.

Hana berpakaian ala kadar. Biarlah mata bengkak pun, Budi tahu dia menangis sepanjang malam.
Ketika berjalan mendekati pintu pagar, di tangan Budi ada sebungkus nasi dan air milo ais berikat tepi.
'Milo... Minum dulu,' Budi menyuakan bungkusan air Milo kepada Hana. Milo diteguk perlahan, lega.
'Ini nasi, lauknya ayam goreng, sayur kacang ama sambal tempe dan kentang rangup. Kamu suka kan?' bersungguh Budi senyum, berharap agar Hana senyum kembali kepadanya.


'Kenapalah awak buat macam ni dekat saya. Kenapalah sampai macam ni awak sayang pada saya...' ujar Hana perlahan dalam senyum, sambil menyambut bungkusan nasi yang dibeli Budi. Untuk kesekian kalinya air mata Hana gagal ditampung daripada mengalir.

'Hana, beri aku tempoh ya... Sehingga penghujung semester ini, untuk aku menikmati rasa indah hubungan kita. Bisa kan?' rayu Budi.
'Tapi terseksa kan...?' balas Hana mudah.

'Jadi harusnya kita ini gimana?' Budi menjadi serba salah. Dia mahu Hana gembira seperti sebelumnya. Dia mahu Hana berhenti menangis.
'Budi, kalau saya tunggu sampai habis semester pun saya tetap akan terluka. Kita tetap tak akan mampu bersama. Saya tetap akan menangis. Saya nak menangis sekarang, bukan esok, bukan akhir semester nanti,' pinta Hana dalam tangisan.
'Lebih mudah jika kita berpisah dan aku terus jauh dan nggak perlu ketemu... Penderitaan itu bisa jadi lebih ringan kan?' Budi cuba memujuk.
'Tak..! Biarlah jumpa atau tidak, semuanya tetap menyakitkan. Budi, saya tak sanggup lagi dah menerima kasih sayang awak. Awak kena berhenti sayangkan saya..!' Tangisan Hana semakin jelas.


Budi diam membatu. Permintaan Hana cukup berat bagi dirinya. Berhenti menyayangi insan yang telah sedia disayangi dan dikasihi memang cukup mustahil.
'Baik. Aku bisa berhenti menyayangi kamu. Tapi kamu harus bersetuju dengan 1 syarat. Bisa?'
'Apa dia?' Hana kelihatan sedikit terkejut apabila Budi sanggup untuk berhenti menyayanginya. Lebih terkesima apabila Budi mengenakan syarat.

'Selepas daripada detik ini, kamu juga aku tidak akan lagi bertegur atau sms atau berjumpa secara sengaja. Aku tidak pergi tempat yang selalu kamu tujui dan begitu juga kamu sehinggalah pada tarikh ini 3 tahun mendatang, aku mahu bertemu kamu di sini,' jelas Budi dalam sebak.

'Kenapa nak jumpa lagi?' Hana kehairanan.

'Andai dalam 3 tahun itu, ada antara kita telah terlupa perjanjian ini maka waktu itu sememangnya kita tidak ditakdir bersama. Kamu setuju?' Budi memandang terus ke anak mata Hana. Jelas kecewa wajahnya atas permintaan Hana, namun dia tetap gagah membuat keputusan.

'Baiklah. Semoga ini yang terbaik untuk saya dan awak,' Hana mengangguk bersetuju.

Tanpa berlengah, Budi terus memalingkan badannya dan berlalu. Tidak sekali pun dia menoleh kembali kepada Hana. Biar pun dia mendengar sayup suara Hana memanggilnya.
'Aku tunggu kamu, 3 tahun lagi,' ucap Budi sendirian dalam tangisan.

***
'Hana...?' Zara menyapa Hana, bahunya disentuh lembut. 'Pengantin mana...?' Tanya Zara lagi.

'Ehh Zara..!! Sori aku tak perasan. Jas ada dekat dalam. Jom masuk jom..!' Hana mempersilakan rakan sepejabat Jas yang turut dikenalinya.

Keriuhan dalam bilik pengantin itu ibarat dengungan yang tidak memberi makna buat Hana. Tarikh 3 tahun yang diberi oleh Budi akan tamat esok. Hana masih berkira-kira mahu pergi atau pun tidak ke lokasi yang dijanjikan.

'Pengantin lelaki dah sampaiii...!!!' laung Hassan, adik Jasmin.
'Hana...! Tolong touch up kan sikit please,' pinta Jas.
Hana sekadar menekap lembut tisu ke wajah Jas. Sambil berbuat demikian, dia berbisik kepada Jas, 'Tahniah Jas. Jaga Joe baik-baik tau, kalau Joe buat hal kasi tau aku. Text me ok? Aku... Aku doakan kalian...' Tiba-tiba Hana hilang kata-kata.


Jas memegang erat tangan Hana, 'Aku tahu. Esok due date 3 tahun tu kan? Pergi atau pun tak ke sana, kau kena reda Hana. Mungkin Allah dah aturkan yang terbaik untuk kau. Anything text me ok? Even though aku dah kahwin.'
Walaupun hiba mereka tetap tertawa, bersyukur atas keutuhan persahabatan yang telah terjalin. 


***
Hana bersendirian menolak troli. Dia akan ke Krabi. 3 hari lebih awal berbanding Jas dan Joe. Jas mahukan Hana ada di sana untuk membantunya mengambil gambar. Katanya kalau Hana jadi jurugambar, tidaklah dia malu sangat. 

Hari ini juga merupakan hari yang sepatutnya dia bertemu Budi. Dia berharap jika Budi ingat, Budi akan melupakannya terus. Anggaplah dia telah melupakan janji mereka itu. Namun jika Budi yang terlupa, biarlah dia tidak tahu. Biar terus menerus dia ditinggalkan dalam keadaan begitu. Dia akan reda. Atau mungkin mencuba untuk reda sepenuhnya.

Dalam termangu sendirian dia melihat seorang kanak-kanak perempuan duduk sambil memeluk erat patung beruang. Kanak-kanak yang tidak ditmani ibu dan bapanya itu duduk di samping beg-beg yang telah diletakkan sekelompok.


'Adik sorang je ke? mak dengan ayah mana?' sapa Hana. Dia khuatir kalau kanak-kanak kecil itu kelak menjadi mangsa penculikan. Bersaham juga dia nanti di akhirat sebab bersikap tak ambil endah.


Kanak-kanak itu diam. Tak berapa lama kemudian, dia menguntum senyuman dan berlari ke arah seorang lelaki. Bapanya barangkali. Hana melihat lelaki itu merangkul anaknya ke dalam kendongan lantas dicium kedua belah pipinya. Kanak-kanak itu berbisik ke telinga bapanya sekaligus memperlihatkan wajah lelaki itu. 


Bukan orang lain, bapanya ialah Boediman Sutrisno Sutheto.

2 comments:

ruzovy said...

ye lah... jaga toko, kawennya pun dgn org sana juga kan...

terompah plastik said...

yakin jek ko nil... ahahaha..