Payung merahnya dibuka, sambil mata melilau mencari susuk lelaki yang hanya dia kenali sekali imbas tengahari tadi. Budi telah berpesan pada Hana, dia akan menunggu di bawah pokok berdekatan pintu pagar asramanya. Di celahan rintik hujan renyai, dilihat seorang lelaki memakan sweater lengkap dipasang hudnya berdiri menunduk. Kaki berkasut kung fu menguis-nguis batu kecil di tanah. Ada batu besar sedikit disepaknya kehadapan.
'Apa salah batu tu?' tegur Hana. Dia yakin, itulah Budi.
Terkejut, Budi memandang ke arah Hana yang lengkap berpayung sambil mengendong tas tangan berwarna koko, sepada dengan sandalnya.
'Oh, nggak... Cumanya dia nggak menjawab pertanyaan saya. Maka saya sepaklah.' Budi menjawab separa BI separa BM. BI tu Bahasa Indonesia, bukan bahasa inggeris (dalam konteks cerita ni lah kan).
Mendengarkan jawapan daripada Budi, Hana senyum. Kemain lebar. Suara Budi pun boleh tahan sedap didegar. Macam ala-ala suara Randi Pangalila dalam Nada Cinta.
'Yang pergi bercakap dengan batu tu kenapa?'
'Pergi bercakap? Bukannya kita mahu pergi ke pizza. Mahu makan bersama?' Randi, eh silap..! Budi menjawab kehairanan.
Berderai tawa Hana mendengarkan jawapan Budi.
'Maksud saya, untuk apa bicara ama batu? batu kan emangnya nggak bisa bicara,' Hana pula berbicara Indonesia.
'Oooohhhh hahahahaha..' mereka sama-sama tertawa.
'Ayuh...! saya udah lapar bbaangatttt nii...' Budi mengajak Hana.
Budi berjalan di hadapan. Sekali-sekala di pandangnya ke belakang untuk memastikan Hana masih lagi mengekorinya. Takut juga dia kalau tiba-tiba Hana lari patah balik ke asrama, atau hilang tanpa jejak. Nak diajak jalan berpimpin tangan, berdosa. Jalan beriringan pula, segan rasanya. Sweater yang dipakainya sudah hampir lencun dek hujan renyai, makin sejuk Budi jadinya. Kedua belah tangannya yang tadi disimpan kemas di dalam poket, kini memeluk erat tubuhnya.
Hana melihat daripada belakang penuh minat. Dalam hatinya berbunga betul. Budi yang bertindak mendahului sesi berjalan kaki ke Pizza Hut dilihat begitu macho sekali. Tak ada sekali pun cuba memegang tangan, mahupun berlaga bahu. Setiap kali Budi menoleh, Hana balas dengan senyuman. Apabila Budi mula kesejukan, Hana mempercepatkan langkahnya. Mahu berdiri di sebelah Budi, sekurang-kurangnya tidaklah Budi lencun bila hendak makan. Rasa zalim pula kalau tidak berkongsi payung.
'Bisa saya pegangkan payungnya?' tawar Budi. Teruja wajahnya apabila Hana bertindak berdiri di sebelah untuk berkongsi payung.
Hana menyerahkan payungnya tanpa berlengah. Kini mereka berjalan beriringan. Kedua-duanya diam tanpa kata, mahu cepat sampai atau mati idea atau entahlah. Tak dapat nak dipastikan.
Apabila tiba di pintu Pizza Hut, Budi membukakan pintu untuk Hana. Eh, kenapalah gentleman sangat watak Budi ni? Maaf, tetibe tak puas hati pulak. Ok, kita sambung.
Hana dibiarkan masuk dahulu sementara Budi melipat payung merah milik Jas. Hana duduk, tingkah Budi melipat payung diperhatikan.
'Kenapa macam nak bergasak dengan payung tu?' Hana berkata sendirian apabila Budi masih gagal melipat payung itu dengan kemas. Pusing sana, pusing sini, kelepet sana, kelepet sini, pendekkan tangkai, panjangkan semula. Tak menjadi juga payung itu untuk dilipat kemas.
Muka Budi dah berkerut. 'Ngapain susah benar payung ini mahu ditutup?' pertanyaan hampir amukan. Hana menjongolkan kepalanya di pintu, 'Boleh tak tu?'
Budi cuba mengubah wajahnya daripada separa amukan kepada manis menawan. Maaf, tak menjadi. Kerut pada dahi masih jelas ketara. Dia pendekkan tangkai, kemudian digulungnya sahaja payung itu dengan cepat. Lalu cuba diketapkan butang tali pengemas. Ahh gagal pulak...!
'Bak sini. Payung sini dengan payung negara awak lain kot,' Hana menghulurkan tangan mahu tolong melipat payung.
'Maaf, saya... nggak... maaf ya Hana.' Pinta Budi bersungguh.
'Takpe, nak tolong lipatkan pun ok dah walaupun tak berhasil,' balas Hana lembut, menahan gelak petirnya.
***
Semenjak daripada peristiwa kegagalan melipat payung itu, Hana banyak mengenali sifat dan hati lelaki bernama Budi. Dia tahu yang ayah Budi memiliki Toko Batik di Acheh, ibunya pula pandai menjahit. Pernah dititipkan kepada Hana baju kurung moden bersulam, hasil tangan ibu Budi daripada Indonesia. Budi kerja sambilan sebab bosan duduk asrama, tak tahu nak bergaul. Budi jugalah yang mengenalkan kepadanya Nasi Goreng Minang, Ayam Penyet, Nasi Goreng Acheh, Telur Roti dan Sate Minang. Setiap kali mereka jumpa, pasti ada bingkisan makanan yang Budi bawa. Budi tidak serasi dengan Jas, tapi dia cuba juga untuk berbual menunjukkan rasa hormat. Budi suka pakai seluar jeans ada tampal-tampal. Kebanyakan bajunya berlengan panjang, hanya sekali dua sahaja dia memakai lengan pendek. Kasut kung fu adalah kasut kegemaran Budi. Ada 5 warna kesemuanya. Budi tak suka masuk pusat membeli belah. Dia lebih suka lepak tepi tasik, tempat yang aman damai atau di warung milik warga Indonesia. Katanya, boleh mengubat rindu pada keluarga.
'Kamu menungkan apa tu Hana?' tanya Mak Jah apabila melihat anak daranya tersenyum sendiri.
Balik pulang bercuti kali ini banyak perubahan positif yang dilihat pada Hana. Tak malas lagi dah. Rajin ke dapur basuh pinggan dan tolong ibunya memasak. Bilik tidurnya dikemas setiap pagi. Dah lagak macam surirumah pun ada juga. Cuma satu yang Mak Jah kurang berkenan, Hana nampak semakin berisi sekarang. Apabila di tambah dengan perubahan sikapnya itu, macam orang dah kahwin pun ada.
Aishh... jangan-jangan Hana ni sebenarnya dah kahwin tak?
2 comments:
kawen kat siam eh? tp budi ni mcm hensem jek. ah tidak...
Mentang-mentanglah ada mention Randi Pangalila, terus terbayang-bayang wajah yang tampan hahahaha....
Post a Comment