Sunday, February 24, 2013

RS: 4.1

Empat.

'Fida, esok abang nak ke Singapore, ada konvensyen. Fida tolong ikut sekali ye?' pinta Datuk Shamsuddin kepada isterinya.

'Kenapa abang tak bagitahu awal-awal? Kan Sarah nak exam lagi 2 minggu, takkan saya nak tinggalkan dia pulak. Lagipun waktu ni lah dia perlukan sokongan, sekurang-kurangnya tidak daripada kita berdua, saya ada dengan dia sekali,' balas Datin Hafida. Berita dia perlu mengikut suaminya bekerja di luar kawasan itu begitu mengejutkan. Bukan dia tidak mahu menurut, cuma padanya keadaan tidak sesuai buat masa ini.

'Alahai, sayang sangat ke Sarah tu. Kita pergi 4 hari je, bukannya sebulan. Dah, awak mesti ikut saya. Kita bertolak esok petang lepas asar. Lagipun kalau awak tak ikut saya, siapa nak partner dengan saya dinner majlis konvensyen tu? Takkan awak nak bagi setiuasaha saya tu temankan saya?' putus Datuk Shamsuddin tanpa mengendahkan rungutan isterinya. Dia memang begitu, apa yang dia kata mesti dituruti. Kalau nak melawan atau berhujah mesti dengan fakta dan sebab yang boleh diterima pakai. Bukannya dia tidak sayang pada Sarah, cuma sedikit sebanyak Sarah itu perlu diajar berdikari. Ini baru nak periksa SPM, kalau final exam degree atau master? Takkan dia dan isterinya kena berkampung di tempat si Sarah belajar. Mengarut.

'Abang... Iyalah, saya ikut. Cuma abang kena tahu, saya bukan menolak mentah-mentah pelawaan abang tu, tapi saya terkejut juga abang baru bagitahu hari ni. Sarah sendiri yang mintak saya janji dengan dia supaya tak kemana-mana sampailah dia habis periksa nanti. Lain kali bang, janganlah cepat sangat jump into conclusion ye?'

'Dah saya pulak yang awak marah. Lain kali cakap jelah dah janji dengan Sarah. Takpelah, saya pergi sendiri,' rungut Datuk Shamsuddin.

Melihat sikap suaminya, Datin Hafida tersenyum, 'Dah tua-tua pun merajuk lagi. iya, saya ikut abang ke Singapore. Dengan Sarah tu pandailah nanti saya cerita.'

***
'Ibu nih....! Ni mesti ayah kan yang buat plan kan? Benci betul...!' bentak Sarah apabila diberitahu ibunya yang dia akan ditinggalkan selama 4 hari secara tiba-tiba.

'Sarah.... Tahu kan ayah macam mana...? Nanti pandailah ayah ambik hati Sarah. Ada lah nanti souvenir yang dia belikan. Macam tak biasa...' pujuk Datin Hafida. Dia berharap agar marah Sarah reda sebelum mereka berangkat. Dia tahu, sikap Sarah saling tak tumpah seperti ayahnya. Keras kepala dengan kehendak yang mesti dipenuhi.

'Yelah yelah. Dengan ayah tu kalau gaduh pun memang tak menang. Tapi please lah, next time kalau jadi lagi yang mcam ni, memang Sarah hadap face to face dengan ayah. Dia pikir dia sorang je ade plan...'

Datuk Shamsuddin terdengar rungutan anaknya, 'Nak face to face sape Sarah? Kesian dekat ibu tu, kena temankan ayah, kamu pulak buat perangai.'

'Eleh, siapa yang mula dulu? Ayah yang sibuk-sibuk tak tahu plan kita pastu nak angkut ibu pegi Singapore..' menjuih bibir Sarah merungut.

'Call la Linda, mintak di temankan kamu 4 hari ni. Nanti ayah dengan ibu singgah rumah dia bagitau mak dan ayah dia jugak. Study sama-sama nanti,' ujar Datuk Shamsuddin cuba melembutkan hati Sarah. Walaupun nadanya masih tegas namun dia tidak mahu anaknya bermasam muka dengannya.

Sepanjang waktu Sarah membantu mengangkat beg ibu dan ayahnya, dia diam membisu. Kadangkala sengaja dijuihkan bibirnya apabila ibu atau ayahnya cuba berbicara dengannya. Walaupun taklah bengang mana dah, tapi dia tetap nak menunjukkan protes. Padanya biar ibu dan ayahnya tahu yang dia serius marah dan tidak puas hati. Namun benteng egonya runtuh apabila bersalaman dengan kedua ibu bapanya.
'Nak ikut.....'
Ibunya sekadar tersenyum.
'Sarah... jangan mengadalah. Sekejap je ayah dengan ibu pergi sana... Jaga diri, Jura tolong ya tengokkan dia ni,' pesan Datuk Shamsuddin sebelum memandang isterinya sebagai tanda sudah tiba masa untuk bertolak.

Pinn...!! Pinn..!!

Sebuah kereta Ford Fiesta oren memasuki perkarangan rumah Datuk Shamsuddin dan Datin Hafida. Di dalam kereta itu dilihat Khaidir bersama seorang gadis yang tidak kenali. Khaidir meluru keluar daripada kereta untuk bersalaman kedua ibu dan ayahnya.
'Dir ingat dah tak sempat dah nak kejar ibu dengn ayah tadi. Ayah pun, kenapa tergesa-gesa sangat? Tunggulah Dir balik kerja. Ni nasib baik Faezah tahu jalan nak cilok, kalau tak memang tak sempat la nak jumpa.'

Faezah yang berdiri di beakang Khaidir tersenyum. Dia turut bersalaman dengan Datin Hafida dan Sarah.
'Oh, inilah Faezah ya?' soal Datin Hafida sambil tersenyum. Melihat kepada cara pemakaian, raut wajah dan lenggok tubuh Faezah, Datin Hafida cukup berkenan. Feazah dirasakan sesuai dengan status keluarganya.

'Girlfriend abang ke ni?' tanya Sarah separa berbisik sambil menyiku abangnya tepat di rusuk.

'Haish, mane ade! Ni kawan satu fakultilah!' nafi Khaidir.

'Maaflah Datuk dan Datin kalau mengganggu. Khaidir nampak kelam kabut masa kami di field work tadi, bila saya tanya dia kata nak kena balik cepat sebab Datuk dan Datin nak ke Singpore,' jelas Faezah. 

Khaidir tersenyum mendengar penjelasan Faezah. Hatiya lega kerana Faezah tidak mengada-adakan cerita atau cuba berbual panjang dengan ibunya. Dia dapat mengesan yang ibunya semacam berkenan kepada Faezah. 

'Kamu kawan Khaidir kan? Call us uncle and aunty je. Tak payah nak formal sangat. Dir, next time be a man lah. Jangan susahkan perempuan. Where's your car?' kata-kata ayahnya membuatkan Khaidir malu sendiri. Dia masih belum mahir dengan selok belok jalan di KL, manakala Faezah pula true blue KL'ite, jadi kalau kemana-mana memang Faezah akan menawarkan diri untuk memandu. Alasannya mudah, tak sesat dan lebih cepat sampai. 
'Dekat fac, tadi kitorang dari field work la ayah. Kan Faezah dah ckap tadi,' jawab Khaidir.

'Nevermind uncle, saya memang lebih senang memandu sendiri,' balas Faezah, cuba untuk menyebelahi Khaidir.

'Faezah, next time let him be by himself,' Datuk Shamsuddin menoleh kearah isterinya, yang memandang Faezah dengan penuh minat. 'Fida, shall we...?'

***

Friday, February 22, 2013

BERHENTI

Melangkah longlai ke pantai dengan selipar yang dipecatkan awalnya.
Angin seperti menerbangkan, menebarkan kain dan baju melawan arah tujuan.
Aku perlu kepada laut itu.
Perlu kepada hempasan air di kaki.
Kerana aku mesti berhenti bermimpi.
Dan meneruskan hidup dengan cekal diri, bukan angan-angan...

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Monday, February 18, 2013

LUGU

Ada satu lugu tidak terluahkan.
Ibarat sakit perut tapi masih bisa ditahan. Merengsakan.
Namun berfikir jika diluah juga tidak nikmat. Boleh jadi sakit.
Walaupun nyata yang ditahan lebih marabahaya, daripada sakit untuk meluah yang dibawa air pergi hilang entah kemana.
Itulah.
Aku sendiri hilang pengertian.
Pusing sisi kiri terhimpit.
Pusing sisi kanan pun serupa.
Nak terlentang tidak sopan.
Nak meniarap lemas jadinya.
Aaaaahhh..!!
Dicuba cara puisi juga seperti tolol.
Sudahlah...!

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Tuesday, February 12, 2013

Bangkai

'Bas 645... bas 645... haaa ini dia...' Rahmat berjumpa dengan bas yang bakal dipandunya. Dia merupakan pemandu baru bagi Syarikat Bas Boon Kai atau orang ramai menggelarkan sebagai Bas Bangkai.

Bas Bangkai merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas sehingga ke kawasan Pos Betau, Pahang. Jalan menghala ke Cameron Highlands. Banyak laluan Bas Bangkai telah ditamatkan perkhidmatan namun bas 645 masih lagi beroperasi seperti biasa. Hal ini kerana ramai orang di Pos Betau tidak mempunyai kenderaan.


'Lamat, lu jangan ponteng kilija hor... Lu punya bas mesti lalu sampai pos betau sana hor... last mesti kasik lalu pukul 6 tau, tak ada olang pun mesti mahu kasi lalu... jangan lupa hor...' pesan tauke Lim kepada Rahmat sebelum dia memulakan hari pertamanya.


Rahmat amanah orangnya, kalau tidak kerana perlu menjaga orang tuanya di kampung, pasti dia masih lagi memandu bas Rapid Kuantan.


Untuk trip hari pertama, adalah 2 ke 3 orang sahaja yang naik. Jam di tangan baru pukul 4, kalau ikutkan hati memang Rahmat nak balik je, bukannya ada orang sangat pun. Namun Rahmat gagahkan juga. Trip terakhir jam 6 diteruskan.


Rahmat bersiul-siul girang kerana sedang memandu dalam trip terakhirnya. Sebelum tiba ke stesen, basnya ditahan seorang gadis orang asli.


'Driver baru ye? Siapa namanya?'

'Rahmat dik... adik nak ke mana?'
'Stesen bang, seringgit dua puluh sen kan?'
'Iya dik...'

Gadis itu memilih untuk duduk di kerusi pertengahan bas. Rahmat terjengah-jengah melalui cermin pandang belakang. 'Boleh tahan juga anak orang asli sini. Cantik.' Rahmat kembali bersiul.


***

'Mak, anak orang asli memang lawa-lawa ke mak?' Rahmat berbual sambil mengurut kaki maknya.
'Kenapa...? Ada yang kau berkenan...?' soal maknya kembali.
'Taklah, petang tadi ada anak dara asli naik bas. Boleh tahan cantik. Tapi ye la kan, anak orang asli... Idak le wangi hahahaha...' Suka Rahmat sendiri.
'Jangan ketawakan sangat Rahmat, nanti bau itu yang kau cari... Mak tak tanggung..'
'Alah mak ni, koi gurau ajelah... Serius pulak...' Tersengih-sengih Rahmat ibarat kerang busuk minta dilempar.

***

'Hoi Lamat...!! Mali masuk lalam opit...!!' laung Tauke Lim.

Rahmat berjalan memasuki pejabat bosnya. Apabila dibuka sahaja pintu pejabat itu, masyaAllah busuknya bau...!! Macam bau bangkai..!

Merah mata dan hidung Rahmat menahan bau pejabat Tauke Lim. Tapi dilihatnya tauke Lim selamba je bergerak melilau di dalam pejabat.
'Lu punya pefomen ala baik hor... Itu Latok Batin ale mau suloh lu bawak bas sampai pukoi 7 la... Boleh hor..?'
'Jangan macam ni tauke, saya nak balik gelap nanti.' Rahmat menjawab dalam loya. Mahu terjeluak, namun ditahankan.
'Latok batin ale cakap, lu bawak bas masuk kampung, kampung tale masalah bas. Latok batin kate, lu ale ong punya olang.' Balas Tauke Lim.
'Ikut sukahatilah tauke. Janji bayar lebih. Dah, wa nak start trip dah ni.' Laju Rahmat meninggalkan pejabat Tauke Lim. 'Simpan mumia ke hape dalam pejabat? Gile busuk kohong..!! lluuueekkk... haish....'

***

Semenjak Rahmat memandu Bas Bangkai 3 minggu yang lepas, tak pernah sekali pun gadis asli penumpang petang (gelaran yang Rahmat bagi) itu tidak menaiki bas. Tapi petang ini kelibat gadis itu tidak kelihatan. Ketika melalui tempat yang selalu ditunggu gadis itu, Rahmat memperlahankan basnya untuk melihat-lihat jika mungkin gadis itu belum sampai lagi. Setelah berpuas hati, Rahmat meneruskan pemanduan.

'Memang tak ada kot budak tu petang ni...' ujar Rahmat sambil menjeling cermin pandang belakang.

'Eh...!!!!' gadis itu melintas saat Rahmat mula memandang ke jalan dihadapannya..!
Rahmat menekan brek sekuatnya lantas memutar stereng ke arah lorong bertentangan. Bas 645 yang dipandu Rahmat berpusing di tengah jalanraya dan seterusnya terbalik melintangi jalan yang sunyi tanpa kenderaan. Berasap.

'Abang, mari...' gadis asli itu menghulurkan tangannya, cuba membantu Rahmat keluar daripada bas 645 yang telah terbalik.


Rahmat menyambut.


***

'Lu mula kilije, pukoi 8 pagi sampai trip pukoi 7 malam hor... Jangan ponteng kilije, sebab kalau jadi ape-ape syalikat tak akan tanggung...' Taukeh Lim menghulurkan kunci bas 645 kepada Salim. Salim berlalu, Tauke Lim melihat ke arah set kerusi usang dalam pejabatnya, 'Sikalang sulah ala 2 olang, lagi satu olang gua bole jadi olang balik lah hahahahahaaaaa...' pandangan Tauke Lim, gadis asli dan Rahmat bertemu.

Satu Tahun Lagi


Sudah semakin tua, sudah mendekati mati. 

Abah,
atas ketegasan mu mendewasakan ku
atas senyuman mu yang meyakinkan ku
atas tutur nasihat mu yang memandu hidup ku
Pasti tidak ada satu pun pernah terdetik
bahawa aku ini
bukan harapanmu
gagal dalam kamusmu
sukar dalam kehidupanmu
Walau hakikat menunjukkan
semakin dewasa aku
semakin aku menjauhimu
semakin sedikit bicaraku padamu
semakin terlupa pesananmu itu....

Emak,
nafasmu itu doa
senyuman mu itu penawar
kata-katamu itu azimat
Biarlah dunia menidakkan aku dalam dakapannya
kau akan tetap
melapangkan dada mendengar keluhanku
terbuka menerima perubahanku
sayang atas setiap apa adanya aku
Meski terlihat pada mata-mata
bahawa diri aku
bukanlah insan penting dunia
tidak menghasil wang berjuta
marhaen kecil tiada apa

Andai kasih Allah seperti nyamannya embun pagi,
aku bersungguh berharap lebih daripada itu nyamannya Allah kurnia,
buat abah dan emak di sini dan di dunia abadi...

Andai cinta Rasul ibarat selesa sutera lembut membelai diri,
aku berdoa lebih daripada itu pakaian mu dipakaikan Allah,
untuk menempuh hidup di sini dan di ukhrawi...

Semoga para malaikat memuliakan dua insan ini,
Semga para ahli syurga menanti kekasih hati ku ini,
penuh teruja penuh gembira...

Abah, Emak...
Atas hayatku selama ini,
saat kurnia nyawa Allah beri masih bersisa,
Aku berdoa,
Didikan mu itu cukup untuk menjadikan ku insan kamilah
namun kesilapanku adalah kesilapanku
bukan kekurangan perhatian dan didikan mu...

Syukur ya Allah atas kurniaanmu ini,
aku bernafas sekali lagi
aku masih dilingkungi kasih sayang emak dan abah,
suami, kakak, abang dan adik,
saudara dan sahabat....

Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaaha Illallah, Allahuakbar...

Saturday, February 9, 2013

Hana Husna

Zana menatap gambar sahabatnya Hana. Sudah lama Hana pergi menghilangkan diri. Selepas kenduri kahwin Zana dan Razif, Hana seolah-olah menjauhkan diri. Semakin lama semakin jarang menghubungi. Kini khabar Hana lenyap di angin lalu. Entah kemana angin membawanya pergi. 

'Sayang, tak sudah lagi ke menulis tu...? Haszril dah nangis ni takkan tak perasan....?' Bersungut Rahman apabila isterinya Husna asyik dengan projek novel terbarunya. Pada Husna, kalau sudah tiba masanya untuk berkarya, semuanya ibarat membisu. Kadangkala, Haszril yang disusukan dalam pangkuan pun dia tak perasan telah terlena dek kerana terlalu asyik menulis stroryline novelnya.


'Sekejap abang, baru nak start epilog ni. Abang tolong hangatkan susu yang dah frozen dalam fridge tu dulu. Nanti Na bagi pada Haszril.' Husna menjawab acuh tak acuh. Wajah suaminya pun tidak dipandang. Rahman naik berang juga dengan keadaan isterinya. Masakan tidak, dia betul-betul kepenatan hari itu. Terlalu banyak kes tuntutan insurans yang perlu diuruskan ditambah pula ketua groupnya asyik menekankan berkenaan sales dan target tahunan. Serabut..!!


'Tolonglah Na.. abang letih ni tahu tak..?? Haszril ni.... Hisshhhh....' Resah Rahman mendukung anaknya yang berusia 2 bulan.


'Abang.... please....' jawab Husna sekali lagi, seolah-olah tidak dapat mengesan amarah Rahman.


Rahman hilang sabar, dia mendekati meja Husna. Kali ini pasti Husna akan memberikan perhatian kepadanya. Rahman berdiri di hadapan meja, namun Husna buat tak reti. Tak puas hati, Rahman menghentak meja Husna sekuat hati!


***

PAAKKKK...!!

'Opocot mak kau meletup...!! ah letup, letup lagi...!! haish haish haishhhh ahhhh...!! kus semangat kus semangat....'


'Kau berangan apa Husna...? Kejap abang, kejap Haszril...? Apa hal....?' jerkah Shue pada Husna.


'Kalau tak letop meja aku boleh tak? Kalau aku mampus tadi macam mana? Sapa nak tolong kau bayar separuh sewa kondo nih? Agak-agak la Shue...' Husna masih mengurut dada. Penyakit latahnya kadang-kadang memang tak terkawal. Sampai penat bersilat baru sedar pun ada.


'Eh...? kau ni nak jadi apa...? Pelan berlambak atas meja ni bila nak siap...? Tak siap, takde payment. Takde payment, takde gaji. Takde gaji, takleh bayar sewa. Jadi sebelum tak dapat gaji, baik kau mati dulu kan? Ke acaner?' Shue sound keras. Nampaknya dia tak main-main. Dia agak rungsing dengan sikap Husna yang entah tiba-tiba nak jadi novelis. Dia dan Husna sama-sama daripada jurusan kejuruteraan sivil. Mereka berdua berjinak-jinak melakukan kerja freelance melukis pelan. Nak hidup mewah dekat KL, kenalah usaha lebih sikit.


'Aku rasa aku dah tak ada jiwa la Shue nak buat semua ni. Aku nak berkarya... Aku serius ni...!' Husna memandang Shue tepat ke anak mata. Seperti meminta pengertian agar jiwanya bisa dimengertikan.


'Eh budak ni aku lempar dalam pool karang...! Dateline Razak Development lusa sayang, LUSA.....!!'


'Ahh..!! pedulik hape aku...! selama ni kau asyik pentingkan syarikat kita je, sikit pun tak pasal fikir perasaan aku, kegemaran aku, apa yang aku nak...! Aku bukan kuli batak kau la..!!' Husna hilang sabar, ditengkingnya Shue tanpa rasa bersalah.


Shue terlongo. Husna berlari deras ke biliknya, pintunya dihempas kuat.


***

THOOMMMM...!!

'Saya harap Puan Hana bersabar. Keadaan dia masih tidak stabil. Mungkin Puan sekeluarga boleh melawatnya lain kali.' ujar Dr Nafisah tenang.


Hana memegang erat tangan suaminya, Rahman, sambil memerhatikan rakan baik mereka duduk menghadap meja sambil menaip pada laptop imaginasi. 


Diatas meja ada papan tanda tertulis, HUSNA: Novelis TOP Malaysia


Friday, February 8, 2013

Oh..!

'Kenapa tiba-tiba awak datang sini eh..?'

'Saja, rindu...'

'But ur eyes didn't say ur missing me... Ada yang tak kena kan..? Tolonglah jangan bersembunyi...'

'Sebenarnya... Sebab kita dah lama sangat duk jauh, awak dah sibuk sangat dengan kerja awak... Saya.. Ehemm.. Saya...'

'Awak meragui saya..? Sebab tu awak datang sini nak tengok saya ada org lain ke tak..? Macam tu..??!! Awak masih tak percaya pada saya...?!!
Apa lagi yang perlu saya buat..? Apa lagi..?!!!!'

'Nanti dulu, jangan salah faham... Saya cuma datang sebab...'

'Nak tengok saya sihat..??!!! Okeh, untuk pengetahuan awak, saya SANGAT OK..! SANGAT OK..!
Awak tu yang tak ok kan...? Sebab selama kita berjauhan ni, kalau saya telefon dan saya sms payah awak nak angkat. Tapi awak, kalau tak dapat telefon atau sms saya merajuk macam awak tu saya pinggirkan...!'

'Dengarlah dulu...'

'U listen to me! 
Walaupun saya dekat sini sendiri, awak tetap ada dalam hati saya... Tolonglah, bersabar untuk sikit masa lgi... Nanti saya akan balik, kita akan sama-sama macam dulu... Tolonglah....'

'Janganlah rumitkan keadaan. Dengar dulu apa saya nak cakap..!'

'Awak percaya pada saya kan...?'

'Iya, saya percaya tapi ada yang nak saya sampaikan...'

'Itu semua tak perlu, kepercayaan awak tak akan saya persiakan. 
Itu janji saya...'

'Alangkah baik kalau saya yang mampu pegang janji itu pada awak. Simpanlah kepercayaan itu untuk orang lain. Saya tidak pernah mencurigai awak kerana saya yang patut awak curigai. Saya yang ada orang lain, sebab tu saya datang ke sini untuk bagitahu jangan bazirkan perasaan dan masa awak untuk saya. Maaf....'

Thursday, February 7, 2013

RS: 3

'Abang, nanti jangan lupa amek Sarah tau..!' ujar Sarah pantas sejurus turun daripada kereta Khaidir.
'Eh Adik..! Pok Di yang amek la balik karang..! Ahhh dia ni... Main blah macam tu je...' Khaidir pasti pesanannya itu tidak didengari Sarah. Khaidir menghantar Sarah ke sekolah kerana dia perlu ke fakulti untuk melapor diri. Sebelum beredar, sempat dia meninjau sekeliling dengan harapan dapat melihat kelibat Linda. Selepas daripada perbualan dengan Cikgu Anuar tempoh hari, dia masih belum berkesempatan berbual dengan Linda. Linda juga tidak kerumahnya semenjak dia pulang. Mungkin malu atau mungkin menghormati privasi keluarganya.



Perjalanan Khaidir ke fakulti disulami dengan dendangan lagu di radio. Agak terkejut juga dia apabila mendengar lagu Ramlah Ram yang menampilkan kumpulan rap daripada Singapura, 'Wah..! Dahsyat juga Kak Melah punya lagu sekarang hahahaha...!' Belum pun sempat lagu itu habis diputarkan, Khaidir sudah tiba di kampus. Keretanya diparkir di kawasan kakitangan fakulti. Kelihatan ada jaga yang berkawal menghampirinya, 'Maaf Encik, ini tempat parking Prof Zawawi, pensyarah kanan fakulti', tegur jaga itu sopan. 
'Oh, tapi saya sekejap je. Lagipun saya kakitangan jugak. Nak lapor diri, baru habis belajar.' jawab Khaidir cuba mempertahankan parking keretanya. Dia tahu Prof Zawawi ada di US, kerana sebelum dia pulang ke Malaysia mereka sempat bertemu.
'Boleh saya tengok kad staf encik?' 
'Sekejap eh...' Khaidir menyeluk poket begnya, tiada. Dibuka ruang paling besar begnya, dia yakin kad stafnya disimpan di dalam itu. Masih tiada. 'Ahh sudah...!' bentak hati Khaidir.
Jaga itu memerhati lebih teliti kali ini. Nampak riak curiga pada wajahnya terhadap Khaidir. 'Maaf ye encik, kalau tak ada kad staf, kereta ni encik kena alihkan. Letak di seberang bangunan sana, ada parking pelawat', arah jaga itu sambil menunding ibu jarinya ke arah parking khas pelawat.
'Saya kenal Prof Zawawi, lagipun dia takde dekat sini sekarang kan? Dia di US sekarang', jawab Khaidir cuba memberi helah. 
'Iya, betul. Tapi kalau kakitangan lain nampak, saya juga yang kena menjawab encik. Tolong encik, sila beri kerjasama.'
Khaidir masih sangat keberatan untuk mengalihkan keretanya. Otaknya ligat mencari alasan yang sesuai untuk tidak berbuat demikian. 

'Ada apa ni Pak Man...?' suara wanita muda, diiringi derapan tumit tinggi yang jelas atas turapan tar menegur mereka berdua dari arah belakang Khaidir.
'Encik ni, saya minta dia alihkan keretanya ke parking pelawat tapi katanya dia staf baru nak lapor diri.' jawab jaga yang kini diketahui namanya Pak Man.
Khaidir berpaling. 
'Hey you...!! Why not telling me u are here already...?' wanita itu mengenali Khaidir. Namun Khaidir masih tercari-cari wajahnya dalam kotak memori. 
'Oh come on... Baru 5 tahun duduk US dah tak kenal I. Susah sangat ke study dekat sana...? Oh, Pak Man, dia ni memang staf sini. Takpe, biar dulu dia parking situ hari ni. Lain kali Pak Man boleh buli dia ye...' Mendengarkan arahan wanita muda itu Pak Man berganjak ke tepi memberi laluan kepada Khaidir memasuki bangunan Fakulti Ekonomi UM.

Khaidir mengekori wanita yang telah menyelamatkannya tadi. Namun dia masih tidak dapat meneka namanya. 'Errr... Terima kasih ye..' ucap Khaidir ringkas.
'Nama I bukan 'ye'. Sah you memang dah tak ingat I. Orang yang paling you sakit hati setiap kali results exam keluar every semester kecuali semester 4.... Oh and semester 1 sebab waktu tu you tak kenal lagi I', panjang lebar wanita itu memberi penerangan. 



Namun apabila disebut tentang keputusan peperiksaan setiap semester kecuali semester 4, Khaidir terus dapat menangkap orangnya.'Wan Nur Faezah binti Wan Hassan Ali...!'
'Ok, you masih berdendam dengan I hahahaha...' ketawa Faezah apabila Khaidir mengingatinya kerana keputusan peperiksaan mereka sewaktu belajar dahulu.
'My goodness Faezah. You look different..! I almost didn't recognised you. Look at you..!' puji Khaidir terhadap Faezah.
'Ah sudahlah sweet talker. By the way, daripada dulu sampai sekarang, kenapalah mesti I yang selamatkan you ek..? I ingat bila you balik daripada US, tak la gelabah macam dulu hahahaha...'
Khaidir dan Faezah sama-sama tertawa. Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam lif bersama-sama untuk ke tingkat 3 bangunan pentadbiran fakulti. 

***
'So tell me, dah sedia nak masuk kelas menghadap kerenah student undergrad?' soal Faezah berseloroh ketika mereka minum petang bersama. Faezah bertindak membelanja Khaidir, alasannya kerana mahu meraikan kejayaan seorang lagi academician muda sebaya dirinya. 

Khaidir sekadar tersenyum. Faezah yang dilihatnya sangat berbeza. Kalau masa belajar dahulu, Faezah lebih pendiam dan hanya bercakap hal pelajaran. Kalau diajak minum bersama pasti kebanyakan masanya dia akan menolak. Mentelaah pelajaran adalah keutamaan walaupun hakikatnya semua orang tahu Faezah menyimpan geliga eknomi terhebat dalam otak. Tapi kini Faezah kelihatan lebih santai. Pandai bergurau, tapi sikap keras kepala dan suka berhujah tetap sama.

'Zah, kenapa kau tak kerja dengan Bank Negara eh...? Bukan kau dapat scholar daripada diorang ke untuk sambung master..?'
'You are looking at the next BNM governor, actually', balas Faezah sambil melirik matanya. 
Khaidir sedikit terkejut meilhat reaksi Faezah. Agak daring tindakan Faezah padanya walaupun ini merupakan pertemuan pertama mereka selepas masing-masing dipertanggungjawabkan melanjutkan pelajaran untuk menyambung legasi kecemerlangan pendidik ekonomi terulung negara. Lekas dia menggelengkan kepalanya, untuk membuang jauh persepsi yang dikhuatiri melarat menjadi khayalan tidak sihat.
'Eh seriuslah Zah. Kenapa masih dengan UM?'
'Bekerja untuk memikirkan masalah kewangan negara bukan pilihan aku. Aku lebih berminat mendidik young and talented minds. Walaupun nak dibandingkan tahap budak sekarang dengan zaman kita jauh berbeza, tapi aku masih berharap satu hari nanti aku berjumpa dengan challenging student yang mungkin lebih hebat daripada aku. Sama hebat macam kau perhaps. Lagipun Prof Dato' Rosmah sayang aku. So kenapa nak pergi ke tempat yang tak pasti menyenangkan hati? Betul tak?'
'Kira ada orang kuat UM yang sayang kau la ni eh? Sebab tu kau sayang sangat UM ni?' soal Khaidir lagi.
'Iya. Lagipun kalau kerja BNM kau tak kerja sekali dengan aku. Kalau tak sebab kau pun terima tawaran jadi tutor dekat sini, aku terfikir juga nak ke BNM. Veteran dekat fakulti tu horror tahu tak? Nasib baik kau dah balik, tak lah aku sorang kena menghadap and mendengar ideologi, philosophy, yeda yeda... So lepas ni kita kena menghadap sama-sama', jawab Faezah sambil tersenyum penuh makna.
'Apasal berharap pada aku pulak? Kau bukan boleh selesaikan masalah sendiri ke? Those seniors adore you, dari zaman study lagi.'
'Aku tahu. Tapi salah ke kalau aku nak kau jadi partner in work? Kalau masa study dulu bukan main lagi asal ada group work nak ikut aku. Ada group discussion nak joint group aku. Pasal assignment, nak tanya pendapat aku. Sekarang aku nak kerja sama-sama dengan kau pun tak boleh? Pelik ni Dir.'

Khaidir ketawa kecil. Malu dia pada Faezah. Top student yang cukup dikagumi pensyarah, sampaikan ada tutor pernah diherdik pensyarah senior di depan kelas kerana berdebat dengan Faezah. Khaidir akui, sepanjang tempoh pembelajarannya dia banyak merujuk kepada Faezah. Namun waktu itu Faezah cukup memilih rakan perbincangan kumpulan. Kebanyakannya pelajar senior. Khaidir pula kerap dibuli senior kerana sikap ulat bukunya. Semuanya demi cita-cita untuk menjadi pelajar terbaik dan mendapatkan tajaan untuk menyambung pelajaran seterusnya menjadi salah seorang pensyarah di institusi terkenal itu. Namun setiap kali peperiksaan, Faezah mengungguli tempat teratas. Dia akan berada di tempat kedua.

Lamunan Khaidir tertangguh apabila telefon bimbitnya berbunyi. Di atas skrin tertera nama 'SARAH-Family'. Pantas Khaidir menjawab, 'Ye adik? Kenapa?' 
'Abang, nak balik pukul berapa? Ayah suruh tanya, dia ajak keluar malam ni. Pergi rumah kawan dia ada makan-makan.'
'Kejap lagi abang balik. Mesti kena ikut ke? Esok abang dah start kerjalah', keluh Khaidir.
'Oh, jadi esok adik ni tak sekolah la ye? Hey..! orang pun kena ikut sekalilah...!' Sarah merungut lebih dahsyat.
'Ok lah ok lah...' Khaidir melihat jam tangannya, pukul 6.30 petang. 'Sejam lagi abang sampai rumah, babai.'

Faezah yang mendengar perbualan Khaidir bertanya 'Nak kena balik dah ke?'.
'Ya, ayah I ajak keluar dinner dengan family kawan dia malam ni. Tak makanlah I kot, you dah belanja ni. Thanx Faezah. Nanti lepas I dapat pelarasan gaji pensyarah I pulak belanja you ok?'
'Ok, tapi I suka orang belanja dinner, bukan hi-tea', jawab Faezah ringkas.
'Not fair la macam ni. You belanja I minum petang je kot', balas Khaidir protes.
'Khaidir is still the same. Even dah berusia tapi still a boy not a man', jawab Faezah sambil mengemaskan tas tangannya, kononnya bercakap sendirian.
'Ok, fine. I'll treat you dinner next time. I gerak dulu. You take care, bawak kereta elok-elok. Takut tak sempat nak dinner dengan I nanti', balas Khaidir cuba mengenakan semula Faezah. Faezah tersenyum manis. Ketiadaan pendakap gigi betul-betul membuatkan wajahnya berbeza, lebih jelita.

***
ting tong...! ting tong...!
ting tong...! ting tong...!
ting tong...! ting tong...!

Bergegas Khaidir menuruni tangga rumahnya. Bunyi loceng pintu rumahnya yang bertalu-talu tidak disambut oleh Kak Jura. Ayah, Ibu dan Sarah masih lagi bersiap di atas. 'Manalah Kak Jura ni..? Bersiap nak ikut sekali ke ape...?' bebel Khaidir sambil menuju ke pintu. Dengan pantas pintu dibuka.
'Assalamualaikum', Linda beri salam, tidak memandang ke pintu. Di tangannya ada semangkuk karipap pusar panas berwap dan dijimbit bersama plastik berwarna merah, yang turut diisi dengan karipap pusar sedia untuk digoreng. 
'Walaikumsalam...' jawab Khaidir lantas membuatkan Linda memandang tepat ke arah matanya. Waktu seakan berhenti. Meraka berdiri kaku, terdiam.

'Ooohhh dik Linda...! Maaf Dir, Kak Jura tadi lagian solah. Nggak sempat mahu nyambut pintunya. Maaf Dir', Kak Jura berjalan pantas ke arah Linda. 
Khaidir terpaksa ketepi memberi laluan kepada Kak Jura untuk mengambil bingkisan daripada Linda. Dia sekadar melihat perbualan ringkas antara Kak Jura dan Linda. Entah kenapa tingkah sopan Linda itu begitu mengasyikkan pandangannya sehinggakan suara perbualan mereka ibarat tidak berbunyi.
Usai menerima pemberian Linda, Kak Jura menutup pintu rumah. Khaidir masih tercegat berdiri di tempatnya. 'Kenapa Dir? Terpesona sama aromanya karipap pusar Linda...? atau sama orangnya...? hihihihi...' gurauan Kak Jura menyedarkan Khaidir.
'Eh Kak ni. Saya dah makanlah petang tadi', Khaidir menjawab untuk melindungi perasaannya. 

Kak Jura berlalu pergi, serentak dengan itu Datuk Shamsuddin, Datin Hafida dan Sarah turun ke bawah, bersedia untuk keluar brsama-sama seperti yang dirancang. Melihat wajah ahli keluarganya, hati Khaidir memanjatkan rasa syukur. Syukur atas nikmat Allah yang mengurniakannnya keluarga yang sempurna.
'Dir, drive. Biar Pok Di rehat', arah ayahnya sambil menghulurkan kunci kereta.
'Ok ayah. Tapi Dir tak tau kita nak kemana....'
'Bawak jelah, nanti ayah tunjuk jalan', pintas Datuk Shamsuddin pantas, menyerlahkan sikap tegasnya.

Ketika Khaidir menghidupkan enjin kereta, telefonnya berbunyi. Ada SMS masuk.

Dir, dont be late tomorrow. Ada intro session U dgn staff jbtn. Kalau lambat malulah I, I yang organised tau..!

'Siapa sms tu Dir?' tanya ibunya.
'Faezah mak, yang sama-sama belajar dulu. Dia pun pensyarah jugak dekat fakulti tu', jawab Khaidir padat. Dia berharap tiada soalan tambahan daripada ibunya.
'Oh Faezah. I know her...' jawab Datin Hafida ringkas sambil senyum penuh makna.

Selingan~~

Sebelum aku post RS 3, biarlah aku merempan sedikit. Maaf, bukan merempan tapi aku rasa ini adalah luahan si bacul* terhadap tindak tanduk rakannya dalam laman maya tapi dia tak sanggup tegur depan-depan lebih suka kutuk belakang. Jadi kau yang baca entry ni adalah kelompok umpatan aku. Takut tak...? 

Motif aku mudah, kalau nak kutuk atau tegur silalah tidak berbaur perasaan. Aku faham perasaan benci, meluat kerana kini aku juga alami. Namun begitu, silalah.. sial lah  silalah menegur dengan niat membina. Kalau kutuk depan-depan persendirian memang boleh mahu carut. Tapi mencarut itu dosa, tahu? Mengumpat ini pun dosa juga, tahu? tahu.... tahu... insaf...

Senang beginilah, tegur untuk kebaikan. Bukan untuk meruntuhkan.

Sekian selingan, assalamualaikum.

* si bacul = terompah plastik

Tuesday, February 5, 2013

Mahaple yek!

Entry cinta jiwa2 yang agak panjang dan tidak disengajakan. Penat memikiorkannye cemana nak kasik pendek. Tapi kang kalau pendek sangat tak tahu hujung pangkal cerita. Eh, ade ke yang nak baca....? hahahahaha.... Takpelah, jadi optimistik tak rugi hohohoho... gile optimis kau uhukuhuk

Sepenat-penat buat entry panjang penat lagi nak fkir buat episod 3 Rindu Semalam. Silap2 kang jadi kes Rindu Semalam? (bertanda soal kerana lama benau tak update).

Mungkin sambil baring malam ni boleh berangankan Khaidir dan Haiqal... oh Linda dan Sarah juga tidak dilupakan. Asalkan nyamk durjana tak ganggu aku malam ni.

ni sambil tulis sambil gosok kaki ni tau, marah betul aku pada nyamuk... hish..!

Kekasih Setia

Semalam ku bermimpi haiii dengan satu bintang
Berkata-kataku di jendela
Kulihat kanda tersenyum memandang
Asmara menggoda meresap ke dada....

Mabuk. Mabuk cinta. Itulah gelaran paling sesuai untuk disandang oleh Jamilah. Bagai dipanah cupid bertalu-talu tepat di bulls eye hatinya. Siapa sangka, dia akan jatuh cinta pandang pertama. Lebih mengujakan, yang dicintai juga berasa yang serupa.

Gila. Ini memang betul-betul gila. Tak perlu disangkal dari mana datangnya cinta, kerana terbukti dalam kes Jamilah ini cinta bertaut apabila pandangan mata bersambut lantas turun ke dasar hati.

Abang dan adik. Itulah bahasa ganti diri yang mereka gelarkan. Pada Jamilah, setiap kali Abang menyapa lembut dirinya dengan perkataan Adik, dunia dirasakan ibarat syurga. Perkenalan mereka yang singkat ibarat telah diatur Ilahi. Ibu Jamilah tidak henti-henti membebel kerana risau anak daranya yang begitu memilih pasangan hidup. Pada Jamilah, tanpa cinta apa ertinya berumahtangga. Bagi Abang pula, kerjaya yang sudah stabil, tubuh badan yang sihat serta kewangan yang kukuh menguatkan iltizam untuk berkahwin. Namun apakan daya, hati belum terbuka. Masih menanti magis cinta katanya

Esok bermulalah lembaran hidup baru bagi Jamilah. Dia akan mula mencari pekerjaan lain setelah kontrak 3 bulan sebagai guru gantian tamat. Dalam banyak-banyak pengalaman kerja, pasti inilah yang paling diingati. Tempoh singkat itulah yang menemukan dia dan jodohnya. Iya, Abang Mad adalah jodohnya. Tak mungkin dia mencari yang lain. Mengimbau kembali saat perkenalan mereka, seminggu selepas Jamilah melaporkan diri.

***
'Berapa kak?' tanya Jamilah kepada Kak Kiah kantin harga sarapannya.
'Ada oghang dah bayokan Milah. Cekgu Mad PJ. Itu yang pakai baju sokan tuu', balas Kak Kiah sambil mulutnya muncung menghala ke arah Cikgu Mad.
Jamilah berjalan menuju ke arah Cikgu Mad. Melihat Jamilah berjalan ke arahnya, Cikgu Mad berdiri. Kelakuan Cikgu Mad yang begitu gentleman itu membuatkan hati Jamilah tiba-tiba berdebar. 'Eh, kenapa aku berdebar ni?' tanya hati Jamilah pada diri sendiri.
Cikgu Mad tersenyum manis. Susuk tubuhnya yang tinggi berotot, rambut yang disisir rapi dan pandangan mata yang redup menambahkan lagi debaran dada Jamilah. 'Errr... Terima kasih tolong bayarkan sarapan saya... Errrr Cikgu Mad...'
'Sama-sama Dik. Tak payahlah bercikgu-cikgu dengan saya. Panggil Mad.' balas Cikgu Mad ringkas.
Pandangan mereka tertancap antara satu sama lain untuk beberapa detik, seperti saling menghantar isyarat telepati.
'Jamilah...'
'Abang Mad...'
Ucap mereka serentak. Ketawa kecil berderai. Hangat terasa wajah Jamilah. Cikgu Mad sekadar memegang tengkuk, untuk berasa selesa.
'Baiklah.. Jamilah kan..? Petang ni kalau adik free, lepas saya habis latihan bola sepak, boleh tak kita keluar minum sama-sama?'
'Saya kena bagitahu mak dulu...'
'Baik, kalau mak bagi nanti roger saya ye. Takpun tunggu tepi padang. Ok, saya gerak dulu.' Jamilah ditinggalkan dengan senyuman menawan. Cair. Sumpah cair, hati Jamilah kali ini.


***

'Johan, first aid kit dah settle? Minum dengan makan budak-budak semua ok dah?' tanya Mad kepada Johan, cikgu matematik SK Padang Merbok.
'Siap dah semua. Eh, pasal Abu Kemboja yang jual aiskrim tu, betul ke kau nak dia ada petang ni? Bukan ada ramai pun budak datang tengok. Kang rugi pulak si Abu Kemboja tu.' soal Johan kehairanan.
'Bukan untuk budak-budak, tapi untuk adik sayang...' balas Mad.
Petang ini, Mad bercadang mahu melamar Jamilah. Dia tidak mahu berlengah lagi. Ketiadaan Jamilah buat pertama kalinya di sekolah betul-betul membuatkan hatinya jadi tak menentu. Dia yakin, Jamilah pasti suka akan kejutannya petang ini.

***

'Mak, petang ni Abang Mad ajak tengok game bola dia. Ada lawan final untuk area Bangsar. Milah pergi eh mak...?'
'Jaga diri elok-elok. Jangan nak mengada-ngada sangat pulak tepi padang nanti. Bagitahu pada Mad, kalau menang kena lekas-lekas pinang kau.' Memang itulah modal Mak Senah kalau bercakap dengan anak daranya. Kahwin, kahwin dan kahwin. Tapi kini, harapan Jamilah dan ibunya serupa.

Selesai bersiap, Jamilah mengatur langkah ke padang SK Padang Merbok. Hari ini hatinya tergerak untuk memakai blaus dan skirt labuh berona ungu. Dipadangkan dengan tudung Aidijuma 3 tona. Dia seperti dapat merasakan Abang Mad ada satu kejutan besar untuknya kerana begitu bersungguh-sungguh mahu dia hadir. Katanya, hari ini akan pasti akan mengukir sejarah.

Jarak daripada rumah Jamilah ke sekolah hanyalah 1 km dan mengambil masa setengah jam berjalan kaki. Berpayung warna pelangi, Jamilah berjalan kaki sendirian. Separuh jalan, dia terasa langkahnya diekori. Dia menoleh ke belakang, tiada apa yang mencurigakan. Dia meneruskan perjalanan, kali ini lebih pantas. Selang beberapa langkah, tubuh Jamilah direnggut keras. Mulutnya ditutup kemas dengan kain. Jamilah meronta kuat namun tidak mampu untuk melepaskan dirinya. Bau sengit yang menusuk hidung melemahkan dirinya saat demi saat. Dia diheret masuk ke dalam sebuah kereta, dan terus dibawa pergi dari situ, laju. 'Abang Mad, tolong....' ucap Jamilah lemah sambil airmatanya mengalir.

***

GOOOLLLLL....!!!
Jaringan kemenangan saat-saat akhir yang terhasil daripada rembatan kencang tendangan sudut Mad. Dia dihambat dan didaki rakan sepasukan yang sangat teruja. Pasukan mereka berjaya mengungguli liga bola sepak kawasan Bangsar. Dalam kegembiraan itu Mad sempat memandang ke bangku penonton padang. Melilau matanya mencari Jamilah. 'Ish, mana Milah ni? Janganlah tak datang, aku dah plan baik ni..!' kata hati Mad sedikit panik.

'Abu, baliklah dulu. Maaf, tak jadi pula rancangan saya petang ni.' Mad menghulurkan RM10 sebagai tanda gantirugi masa Abu. Abu menolak, dia hanya menyatakan agar menghubunginya semula jika perlukan sebarang bantuan kelak. Mad melangkah longlai menuju ke bangku penonton bersendirian. Rakan-rakannya semua sudah pulang. Dia menyemak telefon bimbitnya. 12 panggilan daripada Mak Senah, namun tiada satu pun daripada Jamilah. Hatinya dihambat rasa bimbang.

'Assalamualaikum makcik, Mohamad ni. Ada apa ye?'
'Mohamad...! Jamilah ada dengan kamu tak..? Petang tadi dia kata nak ke padang tengok kamu. Makcik risau dari tadi telefon dia tak berangkat..!' jelas bunyi risau pada suaranya.
'Makcik tunggu di rumah. Saya datang sekarang.' Berlari Mad ke keretanya. Dia pasti ada yang tidak kena pada Jamilah.

***

Jamilah melihat Abang Mad berlari menuju ke keretanya. Keretanya terus dipecut laju. Nampak jelas Abang Mad dalam keadaan tergesa-gesa.
'Abang Mad nak kemana...? Maaf, Milah terlambat...'
Hanya Jamilah yang mampu mendengar ungkapannya sendiri.

Sunday, February 3, 2013

Cikgu Mad

Cikgu suka main bola.
Hari-hari cikgu main bola.

Itulah yang ditulis oleh Cikgu Shaari atas papan hitam dalam filem Masam-masam Manis. Petikan filem kegemaran Cikgu Mad. Mohamad bin Hamidon, cikgu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan SK Padang Merbok. Berpengalaman dalam bidang kecergasan dan kesihatan kanak-kanak. Bercita-cita untuk menurunkan kadar obesiti di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun melalui pendekatan gaya hidup sihat. Namun setakat ini, cita-cita beliau masih lagi tergendala kerana kuasa Cik Kiah kantin tiada tolok bandingan.

Bola sepak adalah sukan kegemaran Cikgu Mad. Namun kerap kali beliau bermain sendirian, kerana anak muridnya yang gendut-gendut itu lebih suka memerhati sambil menjilat aiskrim Abang Abu Kemboja. Sambil menikmati aiskrim mereka akan menjerit bersama-sama 'Cikgu suka main bola..! Hari-hari cikgu main bola..!' disusuli deraian hilai tawa mereka. Cikgu Mad sekadar tersenyum, padanya kalau dimarahi lagilah tiada yang nak mendekati padang, apatah lagi meningkatkan tahap kecergasan.

'Hey...! Tak baik kamu kata begitu pada cikgu kamu tau...! berdosa...!' marah seorang gadis manis bertudung litup. Jamilah, bekas cikgu gantian matapelajaran Sejarah di sekolah yang sama. Jamilah memang suka memerhati Cikgu Mad bermain bola. Walaupun Cikgu Mad berbuat acuh tak acuh, namun Jamilah tetap setia menunggu Cikgu Mad di padang. Ada masanya Jamilah kecil hati kerana Cikgu Mad buat tak tahu sahaja. Namun dia tetap tunggu Cikgu Mad.

***
Petang itu, merupakan petang terakhir Cikgu Mad bermain bola di padang sekolahnya. Dia mengumpulkan anak muridnya untuk bermain bersama-sama sebelum dia berangkat ke Kelantan. Iya, Cikgu Mad akan mula bertugas di Kelantan minggu hadapan. Dia akan ke SK Pengkalan Chepa, mengekalkan jawatan yang sama denga misi dan visi yang serupa.

Dalam remang senja itu Cikgu Mad duduk di bangku tepi padang sambil memegang bola sepak di tangannya. Jamilah datang mendekati, namun Cikgu Mad tetap melangutkan pandangannya jauh.
'Sampai hati Abang Mad nak tinggalkan Milah, tak bagitahu sepatah pun. Milah faham, mungkin abang marah sebab dulu Milah yang tinggalkan abang. Tapi abang kan dah janji kalau berpindah pun tak mahu jauh daripada sini. Abang tahukan Milah tak boleh ikut abang sampai ke Kelantan sana? Kenapa abang setuju untuk pindah? Abang dah tak sayangkan Milah?'
Cikgu Mad diam membatu. Lama, barulah dia berkata dalam keluhan.
'Maaf Milah. Abang tak dapat terus ada di sini. Abang terpaksa pergi jauh. Pasti Milah takkan faham dengan tindakan abang, tapi percayalah Milah tetap ada dalam hati.' Ringkas jawapan Cikgu Mad. Tidak memandang pun dia walau sesaat kepada Jamilah. Cikgu Mad berlalu pergi meninggalkan Jamilah yang teresak keseorangan di bangku tepi padang.

***
'Selamat datang Cikgu Mohamad. Kami memang menanti-nantikan kehadiran cikgu. Pasti aktiviti sukan dan kecergasan sekolah ini bertambah baik nanti..!' kata alu-aluan daripada Tn Hj Bahar, Guru Besar SK Pengkalan Chepa. 'Oh ya cikgu, di sekolah ni kita ada Pendidikan Khas. Kalau boleh, saya mahu cikgu kelolakan juga aktiviti riadah untuk pelajar-pelajar ni. Mari saya bawa cikgu kesana.'

Cikgu Mad menuruti Tn Hj Bahar daripada belakang, menuju ke kelas Pendidikan Khas. Cikgu Mad juga difahamkan kelas Pendidikan Khas di situ dikunjungi oleh Jurupulih Carakerja setiap hari. Mereka berdua disambut mesra oleh Jurupulih yang kebetulan baru selesai melakukan sesi pertama terapi.
'Jemput masuk Tn Hj dan....'
'Oh kenalkan ini Cikgu Mad, cikgu Pendidikan Jasmani sekolah kita' sambung Tn Hj Bahar pantas.
'Selamat berkenalan cikgu. Saya Faezah, Jurupulih Carakerja di sini' sapa Faezah mesra.

Namun Cikgu Mad terlongo. Mindanya seakan mati kerana yang dilihat di hadapannya adalah Jamilah, bekas cikgu gantian matapelajaran Sejarah di SK Padang Merbok yang hilang tanpa jejak ketika mereka berpacaran tiga tahun yang lalu.

Saturday, February 2, 2013

Penjual Kereta Terpakai

Hj. Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Hj. Man merupakan seorang penjual kereta terpakai yang terkenal di Subang Jaya. Tempat penjualan keretanya cukup dikenali ramai. Seandainya melalu Lebuhraya Persekutuan sepanjang jalan daripada Kelana Jaya hingga ke persimpangan masuk Lapangan Terbang Sultan Abd Aziz Shah tersusun berbaris-baris kereta jualannya. Ibarat Proton City di Tanjung Malim.

Kakitangan Hj Man tidaklah ramai, kebanyakannya tukang lap kereta dan kakitangan pentadbiran. Dikhabarkan daripada sok sek sok sek orang ramai, Hj Man masih lagi menjalankan penjualan kereta. Pernah ada yang bertanya mengapa Hj Man tidak menjual kereta baru, dengan mudah beliau menjawab 'Saya memberi peluang kedua kepada kereta dan pemilik jiwanya untuk bertemu.' Terlopong yang bertanya. Namun Hj Man sekadar senyum dan berlalu pergi. Kerap kali mereka yang tanpa arah tuju atau panduan hendak membeli kereta terpakai, apabila bersalaman dengan Hj Man akan membeli apa yang dipilih olehnya. Biasanya Hj Man akan bersalaman dan berkata 'Mari, saya tunjukkan teman awak yang sesuai.' Hj Man seolah mengerti keperluan kereta dan pembeli walaupun kereta yang disarankan bukanlah pada kebanyakan masanya yang jenis import dan mahal harganya. Kelebihan Hj Man ini yang membuatkan lebih ramai pembeli datang padanya. Percayalah pada pilihan Hj Man, pasti ragam-ragam kereta 2nd hand itu akan hilang, ibarat memandu kereta yang menenangkan dan menjamin nyawa.

Hal kehebatan Hj Man ini bukan baru namun sudah bertahun. Sudah menjadi buah mulut orang ramai. Sehinggakan pernah ada yang datang mahu bersalaman dengannya dan berharap Hj Man memilihkan kereta namun dia menolak dengan berkata 'Maaf, disini tiada yang sesuai. Carilah di tempat lain. Teman awak tiada disini.'

Kelebihan Hj Man menjadi buah mulut di kalangan penjual kereta terpakai yang lain. Jidin, juga seorang penjual kereta terpakai di Kelana Jaya kerap terdengar akan berita ini. Lama Jidin bersabar kerana perkembangan perniagaan Hj Man menganggu kemajuan perniagaannya. Lantas Jidin bercadang membeli kereta yang dipilih Hj Man dan merosakkan kereta tersebut. Kononnya Hj Man sudah kehilangan magisnya. Perkara ini telah dirancang dengan anak sulung harapan pewaris jiwa kejinya, Bujal. 

Suatu pagi Ahad yang nyaman, Jidin bersendirian ke tempat penjualan kereta terpakai Hj Man. Terlhat Hj Man dari jauh terus dia mendekati dan menghulurkan tangannya. Namun tangan Hj Man kebetulan penuh dengan barangan lantas dia berkata 'Maaflah, kalau nak beli kereta saya tak menjual hari ini. Datanglah semula esok, untung-untung ada yang sesuai untuk tuan'. Terus Hj Man berlalu pergi. Tak ditolehnya Jidin yang ternganga sambil terkaku tangan terhulur. 'Tak apa Hj Man, esok aku datang balik. Tunggulah.'

Keesokannya Jidin kembali. Dek kerana sakit hati dengan tindakan Hj Man semalam, kali ini dia bertindak melihat-lihat kereta sekeliling. Harapannya jika Hj Man terlihat kelibatnya, datanglah Hj Man padanya dan terus mencadangkan kereta. Panjang umur Hj Man, baru disebut Jidin dalam hati, terus muncul tubuhnya. 'Awak yang datang semalamkan? Tengoklah dulu, kalau nak beli hubungi yang baju putih sana tu. Dia boleh cadangkan yang sesuai', kata Hj Man sambil menunding ibu jari ke arah salah seorang jurujualnya. 'Semalam saya datang Hj kata tak berniaga, hari ni saya datang nak Hj yang pilihkan. Hj kan boleh baca kereta mana yang sesuai', balas Jidin separa menyindir. Selamba Hj Man menjawab 'Maaf, tapi saya tak rasa awak perlukan kereta dari tempat ni. Semua kereta dingin bila awak masuk meninjau.' Tersentak Jidin. Merah padam mukanya, terus dia keluar dari situ.

'Celaka kau Hj Man. Tak apa, esok aku hantar Bujal. Biar macam mana sekalipun kau mesti jual pada aku..!' Jidin membentak sendirian sambil menghentak stereng keretanya. Sampai sahaja Jidin di rumah, Bujal dipanggil masuk ke biliknya. Setengah jam kemudian, Bujal keluar sambil telefon di telinga, cakap berdegar-degar seperti ada misi membunuh. Kelihatan di dalam bilik, Jidin tersenyum bangga melihat tingkahlaku Bujal yang mengambil penuh patuh amanahnya.

'Haji...! Haji Rahman..!! Haji...!!' pekik Bujal. Hj Man keluar, berdiri tegak di hadapan pintu kabinnya. Bujal mengatur langkah kehadapan, kini mereka hanya dipisahkan jarak sehasta lengan. Leher baju Hj Man dicekaknya, 'Berani kau ye tak nak jual kereta..??!! Nak pilih pelanggan ye....??!! Sekarang aku nak beli sebijik kereta dekat sini, kau mesti pilih, jualkan pada aku....!!'
Hj Man tetap tenang. Bujal melepaskan cekaknya, Hj Man berkata 'Saya akan jual, sekarang ikut saya.' Hj Man berjalan sehingga ke hujung lorong garaj keretanya. Kelihatan sebuah kereta dalam kelambu. Hj Man menyelak kelambu itu, terserlah sebiji kereta Kancil 850 MAN 3471 berwarna putih. 'Kau ambil kereta ni, RM6500. Bayar pendahuluan RM500, bawak balik. Esok baru kita tandatangan perjanjian jual beli.' Tersengih Bujal, dirasakan misinya berjaya. Diletak RM500 disitu juga, dan kereta tersebut terus dibawa pergi. Esok baru dia tunjukkan kereta itu kepada ayah, malam ini biarlah dia meraikan kejayannya dahulu.

***
'Aku rasa budak semalam yang datang sini mengamuk nak beli kereta tu mabuklah. Tengok ni, terpampang dalam Metro, PEMUDA LANGGAR AYAH, MAUT DI TEMPAI KEJADIAN. Yang melanggar mati, yang dilanggar pun mati. Padahal dekat depan rumah sendiri dah tu, laju macam mana la dia bawak...' bebel Samad sendirian. Hj Man mendengar daripada jauh. 'Kenapalah kau kasi mati dua-dua sekali, aku tak suruh bunuh pun....' kata Hj Man sendirian sambil memandang ke arah Kancil 850 bernombor plat MAN 3471, jauh di hujung garaj.