Saturday, June 1, 2013

Mengejar Syurga

Hantaran = checked!
Tempah pelamin = checked!
Baju pengantin = last fitting 15 Mei
Makan kenduri = Abg Azad settlekan
Goodies = Kak Zinia sponsor, YAHOOO!!
Hiasan bilik tidur = blur lagi nih~~
Pengantin perempuan = ???? Mcm tak ready lagi... Waaaa!!! Takut pon ye jugak!!!
Pengantin lelaki = dah gatal nak kawen dr tahun lepas, huh!

"Makin aku tenung list ni, ada juga yang tak jadi kahwin karang," hati Hajar berkata sendiri.

Hari pernikahan Siti Hajar dan pilihan hatinya, oh silap, yang memilih dirinya iaitu Ehsan Sumadi cuma tinggal 5 hari sahaja lagi. Walaupun keadaan rumahnya belum lagi hingar dihiasi kekecohan ibu dan bapa saudara terdekat, rengekan sepupu kecil dan besar namun jiwa Hajar sudah semakin tidak tenang. Tidur malamnya semakin sukar lena. Asyik terjaga tak semena-mena. Pernah satu malam, dia terjaga. Terus dia bangkit dan menunaikan solat istikharah 2 rakaat. Manalah tahu Allah nak tunjuk yang jodohnya orang lain, tapi tetap Ehsan juga yang muncul dalam mimpi.

"Cik Ajaaaa...!! Ayah Can teponnnn...!"

Laungan Firdaus, anak saudara Hajar mengejutkannya daripada lamunan. Bergegas dia ke ruang tamu rumahnya untuk menjawab panggilan Ehsan.

"Telefon awak rosak ke kenapa eh?"
"Kenapa telefon nombor rumah?"
Mereka bertanya serentak.

"Banyak kali tak dapat, saya telefon la nombor rumah."
"Mati kot, lagipun hari ni sibuk settlekan hal pelamin."
Sekali lagi mereka menjawab serentak, lantas keduanya tertawa bersama.

"Ok, cakap dulu," Ehsan bersuara kembali.
"Sejak bila Fir panggil awak Ayah Can? Cepat betul naik pangkat?" soal Hajar selamba.
"Saya yang suruh. Lagipun kan saya dah nak jadi pakcik dia. Mesra la sikit hehehe. Handphone awak agak-agak berapa lama nak kena cas? Mati kosong habis ke?" tanya Ehsan.
"Mati kosong habis la tu kot. Tunggu la sejam dua lagi baru telefon ok?" Jawab Hajar.
"Amboi, apasal tak suruh telefon esok terus?" balas Ehsan, tak puas hati.
"Dah tanya kan, saya cuma jawab je," Hajar cuba melembutkan suaranya.
"Ok... Sori. Lagi sejam saya telefon semula eh, baru sia kerja ni. Tolong hidupkan telefon tu ye, sayang?" Ada nada mengada pada suara Ehsan.
"Baiklah..."
"Sayang untuk saya mana?" tanya Ehsan.
"Jangan nak mengada-ngadalah!" Rimas Hajar apabila Ehsan cuba bersayang bagai dengannya. Kedengaran Ehsan tertawa besar di hujung talian.

Sepanjang mereka berkawan, sehinggalah bersetuju untuk berkahwin tidak ada fasa yang boleh dikategorikan sebagai romantik. Hajar senang dengan sikap Ehsan yang 'friendship oriented'. Tak jiwang tapi cukup prihatin. Ehsan pula suka dengan sikap Hajar yang 'independent' namun pada masa yang sama meletakkan dirinya sebagai seorang yang penting dan perlu dihormati.

***
"Abang, saya rasa tak best la duduk jauh macam ni, susah," keluh Hajar kepada suaminya.

Walaupun sudah berumahtangga hampir 1 tahun, Hajar dan Ehsan masih duduk berasingan. Hajar di kampung, menetap bersama-sama ibu dan bapanya manakala Ehsan pula bekerja di pelabuhan yang terletak di selatan tanah air. 

"Maaflah kalau Abang tak dapat nak tukar kerja dekat dengan Ja, tapi Ja tahu kan sekarang  ni peluang dekat tempat lain susah sikit," Ehsan mengulangi kesukaran yang dialami olehnya buat kesekian kali.
"Lah,  kenapa pulak Abang yang minta maaf ni? Abang ni tak faham la..." balas Hajar.
"Tak faham? Ish, tak faham lah Abang. Ja kan dah sedia kerja dekat kampung, lagipun boleh tolong tengokkan mak dengan ayah. Lagi satu, Ja kan baru dapat kenaikan pangkat, takkan Abang nak suruh pindah?" Ehsan keliru.
"Abang ni, saya tak peduli sangat pun kenaikan pangkat tu semua. Cita-cita saya sekarang nak mengejar syurga," balas Hajar ringkas.

Ehsan terdiam seketika. Perbualan telefon mereka tiba-tiba senyap. Hajar melihat skrin telefonnya, dilihat talina masih lagi bersambung.
"Abang? Hello?" 
"Ya, ada ni. Cuba Ja teka abang tengah buat apa sekarang?" balas Ehsan.
"Abang buat apa?" Hajar kehairanan. Sedang elok mereka berbual mengenai susah duduk berjauhan, tiba-tiba pula suaminya mengutarakan soalan yang tak ada kaitan.
"Abang tengah baring sambil letak tapak tangan kanan dekat dada kiri. Sejuk hati dengar ada orang nak kejar syurga yang tak seberapa ni."

Hajar tersenyum mendengarkan jawapan suaminya. Dia pasti suaminya juga sedang melakukan yang serupa.

***
Berita Hajar akan berhenti kerja dan berpindah mengikut suaminya menimbulkan pelbagai respons, baik dalam keluarganya mahupun keluarga mertuanya.

Mak Hajar kata, "Mak suka Ja kamu pindah duduk dekat dengan Ehsan. Cepat sikit mak tambah koleksi cucu."
Ayah dan ibu mertuanya pula, "Pak dan mak tak kisah, tapi kamu kena sabarlah. Ehsan tu kerja dia biasa-biasa je, untuk hidup mewah kamu kena saling membantu."
Kak Zinnia pula, "Dik? Takkan belajar tinggi-tinggi nak berhenti duduk rumah? Don't waste your 4 years effort. Sekarang duduk jauh pun korang ok kan? Ke ada masalah?"
Abang Azad hanya senyap. Menggalakkan tidak, menghalang pun tidak. 

Tidak ketinggalan rakan-rakan sepejabat. Ada yang berpendapat Hajar tunggu dahulu sehingga dia menimang cahaya mata. Tidak kurang juga yang menyokong tindakan murninya. Juga terdapat segelintir yang mencadangkan agar kedua-dua mereka berpindah ke tempat yang menyediakan kerjaya yang sewajarnya untuk mereka berdua.

Namun biarlah apa pun pendapat orang lain, Hajar tekad. Dia rasa sudah tiba masanya dia berada di sisi Ehsan. Mungkin kalau dahulu sewaktu mula berkahwin dia ada sekelumit gembira dan lega keran tidak perlu melayan karenah suami, masih punyai masa dan ruang peribadi, tapi kini tidak lagi. Melihatkan kehidupan rakan-rakan di pejabat yang baru berkahwin tampak lebih tenang dan bahagia, Hajar jadi cemburu. Dia mahukan yang serupa. Perasaan itu dikukuhkan lagi dengan layanan Ehsan yang cukup baik. Bukan sahaja terhadapnya, malah terhadap kedua orang tuanya. Masa yang diluangkan 3 hari sebulan sekali bersama-sama menjadi semakin tidak mencukupi.

"Biarlah orang lain nak kata apa, yang penting aku. Tak perlu takut Hajar, kalau apa yang kau buat tu benda betul, mesti ada jalannya," Hajar bermonolog sendirian.

Telefonnya berdering, Ehsan memanggil.
"Assalamualaikum."
"Walaikumsalam. Ja, Abang dah buat keputusan nak berhenti kerja. Abang pun nak mengejar syurga jugak!"

***
"Kau nak bagi isteri kau makan apa nanti? Suka-suka hati kau je nak berhenti kerja semata-mata nak balik kampung," leter Pak Sumadi.
"Pak, saya dah ada perancangan perniagaan pak. Jangan risau, mula-mula memang susah tapi saya yakin Hajar akan sokong saya," Ehsan membela dirinya.
"Habis tu Hajar pun dalam notis perletakan jawatan. Dah macam mana sekarang ni?"
"Pak, notis tu dah saya tarik balik. Alhamdulillah, majikan saya masih perlukan khidmat saya," balas Hajar.
"Ya ikutlah. Kalian dah besar. Pandailah fikir. Jangan habiskan beras rumah aku sudah," tegas Pak Sumadi.
"Paknya, kan bagus Ehsan tu balik sini. Boleh tengokkan kita yang dah tua ni. Kalau dia laki bini nak ambik beras rumah ni ye ambiklah. Tak habis tak kita berdua makan," Mak Rahmah membalas kata-kata suaminya.
"Ehsan, Hajar, mak suka kau berdua nak duduk kampung. Mak dengan Pak tak ada yang nak tengok tiap-tiap hari. Terima kasih Hajar, sebab sepanjang jadi menantu mak ni, selalu datang rumah jenguk kami. Kalau kau berdua nak duduk sini, mak tak kisah. Pak kau tu, dia cakap aje," ujar Mak Rahmah lembut terhadap anak dan menantunya.
"Aku tak cakap pun tak boleh duduk sini. Kalau nak duduk sekali ye bagus. Barang dapur beli sama-sama," pantas Pak Sumadi menjawab tanpa memandang kepada sesiapa. Berkepul asal rokok keluar daripada mulutnya. 
"Kami bercadang nak duduk rumah sendiri mak, pak. Biarlah belajar berdikari. Kalau duduk jauh sikit, sekali-sekala jumpa kentutnya pun taklah busuk sangat," balas Ehsan sambil berjenaka. Kesemuanya tertawa gembira bersama.

No comments: