Jujur, aku sudah melalui berkali-kali perpisahan dalam hubungan akrab kekeluargaan dalam hidup kecil aku di bumi perantau. Bukan aku tidak akui ini adalah bumi ku kini, cuma kerana asalnya aku berhijrah maka aku adalah muhajirin. Kekal muhajirin. Meskipun mereka yang sedia di sini adalah golongan ansar yang cukup baik menerima diri kecil aku.
Dek kerana itu, aku selesa berhubung dan bergaul baik dengan mereka yang sama-sama merantau mencari rezeki. Aku sentiasa ingin memudahkan urusan mereka, menjadi orang yang boleh disandarkan bahunya, menjadi tempat untuk dirujuk masalah kecil asbab perbezaan budaya. Agar mereka yang merantau itu tidak rasa jauh. Agar mereka tidak rasa disisih. Agar mereka yakin biarpun jauhnya keluarga dari pandangan mata dan jarak masa, mereka punya seseorang yang berkongsi rasa yang sama.
Jauh mana pun terbang sang merpati, pasti ke rumahnya ia kembali. Begitulah kehidupan. Sayang bagaimana sekalipun, kalau perantau mahu pulang atau kembali meneruskan kembara, kita yang berlabel serupa perlu menyokong. Kita perlu kata "Bagus! Tahniah! Kembara itu menambah baik diri, meluaskan ilmu." Sedih itu ada. Kadangkala tertanya pada diri, "Aku bila lagi?". Soalan membunuh.
Untuk kali ini, sekali lagi melalui saat yang susah. Lenguh pipi menyengih, sampai menguning gigi yang putih. Nak ditunjuk reda, nak diluah sokong, mahu dilaung gembira. Susah sedih yang ditinggal, susah lagi yang pergi untuk melangkah. Jangan dihalang langkah itu, terus ke hadapan. Jangan dipandang sangat yang ditinggal, takut tersadung peluang di depan. Berhenti melaung nama yang pergi, percayalah dia boleh jaga diri.
Pergilah merantau sementara berpeluang. Rasalah nikmat luas muka bumi yang Allah bagi. Andai berjumpa yang seangkatan berjalan kaki, jalanlah bersama. Temankan dia. Andai ditinggal mereka yang berlari, yakinlah akan ada yang di belakang sedang berlari mencari sahabat untuk berjalan kembali. Kalau tiba masa untuk memecut, jangan takut. Di penghujung garisan pasti ada yang sedang menanti. Hidup ini tidak selamanya sunyi.
Kita bertemu bukan untuk berpisah, kerana kita membina ukhwah.
~senyum simpul sendiri~
No comments:
Post a Comment