"Belakang lagi, belakang lagi..!! Opppp cukup cukup...!!"
DARRRRR!
Lori 2 tan yang mengangkut barangan Firdaus dan Suhana menghentam pintu pagar rumah baharu mereka.
"Habislah lori akuuu.....!" Salim, pemilik lori 2 tan itu menggaru-garu kepala melihatkan keadaan lorinya. Bukanlah teruk sangat pun, cuma terkopak cat sedikit. Kemek? Mana mungkin lori cap Daihatsu tu kemek.
"Yang kau pergi undur lagi tu apesal??!! Aduuuuh, pagar ni ape cerita Lim? Stainless steel ni wooo... Parak nak betulkan nih!" marah Firdaus kepada rakannya.
"Angkat dululah barang-barang ni. Nanti bincang balik. Hari dah petang ni. Malam ni aku nak kena ke Tanjung Malim pulak, angkut barang dari sana. Acap, Tukon, cepat tolong settlekan barang atas lori nih." Salim lekas membuka pintu bahagian muatan pada lorinya. Dua orang pekerjanya; Acap dan Tukon, terus memanjat naik dan menurunkan perabot serta kotak-kotak milik Firdaus dan Suhana.
"Salim, kau kena ganti balik ni tau!" Firdaus masih lagi merengek berkenaan pagarnya yang dihentam lori Salim.
"Yelah, aku kira balik. Lori aku pun aku nak kena nilai jugak tu. Serabutlah kau ni!" Salim menjawab acuh tak acuh.
"Ganti balik Lim, nampak dek Ana kang mengamuk pulak dia nanti."
"Nampak apa bang?" tanya Suhana yang muncul dari dapur membawa sedulang air Sunquick ais.
"Pagar tu, tadi lori Salim undur sampai hentam. Habes kemek pagar baru kita. Dah lah stainless steel benda tu. Ni selagi tak berganti memang susah la kita nak tutup pagar. Kalau nak kemana-mana payah la macam ni!" rungutan Firduas berterusan.
Mendengarkan Firdaus merungut bukan main jemah lagi, Salim meletakkan kotak yang sedang dibawa dan terus pergi berhadapan dengan rakannya.
"Sahabat, selama ni pernah ke aku buat pekak dengan permintaan kau? Ni nak pindah rumah ni aku datang tolong jugak. Padahal malam ni aku nak kena pergi Tanjung Malim tu, lebih 2 marhalah kau tahu. Dah aku cakap nanti aku kira, aku kira lah. Aku gantilah Fir! Tolonglah berhenti merengek macam budak-budak,' panjang lebar Salim berleter.
"Aku cuma cakap je," balas Firdaus selamba.
"Abang, minum dulu. Abang penat ni kemas barang daripada semalam. Dekat dapur tu Ana ada goreng keropok, pergilah makan dulu," Suhana cuba mengalihkan perhatian suaminya.
Apabila Firdaus berlalu ke dapur, Suhana merapati Salim yang masih tercegat berdiri memandang kelibat Firdaus. Jelas raut wajahnya menampakkan bengkak dalam hati.
"Maaf ye abang Salim. Firdaus tu, letih agaknya. Abang ajaklah pekerja abang minum dulu," pelawa Suhana.
"Kalau tak mengenangkan Ana yang nak pindah, abang dah suruh orang lain yang datang," balas Salim sambil memandang Suhana, bekas kekasih hatinya.
***
"Ana...! Ana...!" laung Firdaus, mencari isterinya.
Suhana bergegas keluar dari dapur, "Kenapa bang?"
"Ana dekat mana? Puas abang pusing satu rumah tak jumpa," rungut Firdaus.
"Ana dekat dapur, kemas pinggan mangkuk. Abang ada nak pape ke?"
"Koleksi kereta Hot Wheels abang tu Ana kemas letak dekat mana eh? Pastu sekali dengan koleksi dvd Grey's Anatomy tu, Ana simpan dekat mana?" soal Firdaus sambil melilau mencari celah-celah perabot yang telah disusun rapi oleh isterinya.
"Abang.... Manalah nak jumpa dekat celah-celah kerusi almari tu. Ada dalam stor, abang cuba tengok dalam kotak label 'ruang tamu'. Ada 2-3 kotak yang label macam tu, carilah," lembut Suhana memberitahu. Kalau orang lain yang jadi isteri Firdaus ni, mahu dah periuk belanga terbang melayang-melayang.
Firdaus bergegas ke stor. Melihatkan stor yang tidak tersusun dan barangan tunggang langgang dia membebel sekali lagi, "Nama je syarikat logistik tapi buat kerja macam haram. Berserabut gila! Ini daripada barang boleh jumpa terus jadi harta karun!"
Sedang Firdaus cuba untuk membuka kotak berlabel 'ruang tamu' dan menyelongkar mencari koleksi peribadinya, dia tersenggol sebuah kotak kasut, "Ahh..!! masa ni pulak lah kau nak jatuh sana sini. Aku runtuhkan jugak stor ni karang!". Firdaus cuba untuk tidak mengendahkan kandungan kotak kasut yang bertaburan di atas lantai, tapi nyata kepingan-kepingan kertas dan foto yang berselerakan itu mengganggu laluannya untuk keluar dari situ. Dia meletakkan kembali kotak yang dijumpainya dan tunduk mengemaskan selerak yang ada.
"Ana dengan siapa ni?". Firdaus menatap sekeping gambar isterinya berpakaian kurung sedondon dengan seorang lelaki lain.
Lagi gambar dikutip dan ditatap.
"Celaka Salim...! Bangsat..!!!"
***
Sudah 2 hari Firdaus tidak bercakap dengan isterinya, Suhana. Dipujuk tak jalan, ditanya melenting. Esok Suhana perlu ke Melaka kerana menghadiri kursus selama 3 hari. Tak tergamak dia meninggalkan rumah dalam keadaan tegang begini.
"Abang, tolonglah. Malam ni je Ana ada di rumah. Esok Ana dah nak ke Melaka. Ana tak boleh nak tinggalkan benda ni macam ni je. Cuba abang bagitahu apa yang abang marahkan sangat sampai dengan Ana pun abang tak nak cakap. Ana ada buat salah ke?"
Hakikatnya Firdaus pun sudah tidak mampu untuk memendam amarahnya. Semakin hari dipandang isterinya, semakin meluap lahar benci dalam hati.
"2-3 hari ni Salim ada datang rumah kita?" tanya Firdaus dalam nada tegang.
"Kan kalau Abang Salim nak datang dia bagitau abang, apa kaitan dengan saya?" jawab Suhana kehairanan.
"Kenapa kau panggil ABANG SALIM..!!??" kemarahan Firduas meletus.
Suhana terpaku. Sungguh dia terkejut dengan kemarahan suaminya yang tiba-tiba.
"JAWABLAH...!!" tengking Firdaus lagi. Dia tidak berpuas hati dengan tindak tanduk isterinya yang diam membatu. Semenjak daripada melihat foto isteri dan sahabatnya yang mesra bagaikan pernah berpacaran itu menumbulkan 1001 soalan dalam kepalanya. Kenapa kalau Salim yang Suhana cintai tetapi dirinya yang dinikahi? Siapa Salim sebenarnya? Kenapa tidak pernah sekali pun Suhana menyebut atau bercerita mengenai Salim pada dirinya sepanjang tempoh mereka bercinta sehinggalah berumahtangga? Cina Suhana untuk siapa sebenarnya?
"Abang telefon Abang Salim, minta dia datang rumah kita. Abang perlu tahu hal yang sebenarnya," jawab Suhana tenang.
***
Setibanya Salim di rumah rakannya, kedengaran suara Firdaus cukup keras dan lantang menghamburkan kata-kata kesat kepada Suhana. Bertalu-talu pertanyaan yang tidak terjawabkan dipekikkan. Berdesing telinga Salim, naik mendidih hatinya. "Astaghfirullah Salim, ingat ini masalah rumahtangga Firdaus dan Ana. Jangan burukkan lagi keadaan," ucap Salim sendirian. Dia melangkah dan berdiri betul-betul dihadapan pintu lalu memberi salam.
Melihatnya wajah Salim berdiri tercegat di hadapan pintu, Firdaus ibarat darasuk hantu. Leher baju Salim dicekak kemas, pintu rumah dihempas tertutup. Firdaus terus menghenyak Salim ke dinding, "Kau cakap bangsat, apa hubungan kau dengan isteri aku? Apa yang kau nak sebenarnya? APA YANG KAU NAK HAH??!!!"
"Abang...!! Sudahlah....!" rayu Suhana melihatkah Firdaus yang tiba-tiba menggila itu.
"Oh, sayang betul kau eh dekat si gampang ni?" tingkah Firdaus.
"Fir, tenang. Kau cuma perlu tanya apa yang kau nak tahu, tak perlu marah macam ni sekali. Istighfar Fir, ingat Allah," Salim cuba menenangkan amarah Firdaus.
DEBIKKK!
Sebiji penumbuk hinggap di pipi kiri Salim. Berdarah hujung bibirnya. Suhana menangis semakin kuat, namun untuk meleraikan pergaduhan itu dia tidak mampu.
Salim hanya menadah, langsung dia tidak membalas. Namun matanya memandang tepat ke arah Firdaus, seolah-olah mencabar.
BUKKK!!
Kali ini, lutut Firdaus singgah di perut Salim. Salim tertunduk. Firdaus berundur selangkah. Dia berkira-kira untuk menyepak tepat ke arah kepala Salim. Kaki kanannya di hayun, gaya peninju muay thai.
TAPP!
Salim sempat menepis sepakan Firdaus. Kakinya pantas membentes kaki kiri Firdaus. Firdaus jatuh tertiarap, Salim cepat-cepat mengunci tangan Firdaus dan menindihnya. "Kau lupa agaknya aku dulu belajar silat. Sekarang tanya. Tanya apa yang kau nak tahu. Cepatlah..!"
"Lepaskann...!! Lepaskan aku dulu!" Firdaus meronta.
"Kau nak tahu kan, apa kaitan isteri kau dengan aku dulu kan?" Salim cuba meneka.
"Lepaskan aku lah!!" Firdaus cuba melepaskan diri, namun masih gagal.
"Ni, kau tengok ni. Tengok baik-baik!" Salim melemparkan beberapa keping gambar Firdaus yang terlantar di atas katil hospital, dengan wayar penuh berselirat. Terdapat juga gambar mereka berempat, Salim bersama Suhana, dan Firdaus bersama seorang gadis lain.
Salim beralih daripada belakang Firdaus. Lekas Firdaus bangun dan mengutip gambar, lantas mengamatinya satu persatu.
"Apa semua ni?" tanya Firdaus dalam kebingungan. "Yang ni siapa?" Pandangannya berganti-ganti daripada Salim ke Suhana. "Ana..! Jawablah..!"
"Biar aku yang jawab," pintas Salim. "5 tahun dulu, lepas kau kemalangan dengan Azwa, tu perempuan yang kau kepit dalam gambar tu, kau celik je mata, Suhana yang kau nampak dulu. Pasal apa? Sebab Suhana tolong gantikan aku 15 minit, sebab aku pergi solat. Sebelum kau ingat benda lain, kau terus nak ke Suhana. Aku ni kawan baik kau, susah senang sama-sama dulu, sikit pun kau tak peduli. Kau ada amnesia, kau tahu pasal tu, tapi sikit pun kau tak usaha nak cuba ingat balik masa silam kau. Kau terus nak bina masa depan dengan bidadari yang kau nampak depan mata kau bila kau terjaga. Kau cuma sekadar kenal je aku dengan Suhana. Tapi siapa kami sebenarnya kau tak tahu."
"Bohong...! Ini semua BOHONG..!!" Firdaus cuba menidakkan kenyataan yang dilemparkan kepadanya.
"Iya, bohong. Setiap kali aku cuba cerita dekat kau, kau buat aku macam orang yang terhegeh-hegeh nak berkawan dengan kau. Kau buat aku orang asing. Kau ambik Suhana daripada aku. Eh! kau tahu tak sebenarnya Suhana ni dulu kau pernah gelakkan sebab nak dekat kau?"
Firdaus diam, kepalanya ligat berfikir. Dia mencuba bersungguh-sungguh untuk mengingat perkara lampau.
"Ana tak sampai hati tengok kau, setiap hari, setiap masa asyik kejar dia. Apa yang kau buat, semua kau nak dia tahu. Setiap kali kami datang melawat kau, Ana akan masuk dulu pastu baru aku menyusul. Itu pun kitorang buat konon-konon datang berasingan. Kitorang tahu kau akan mengamuk sepanjang hari kalau aku dengan Ana datang sekali."
"KORANG BERDUA PENIPU...!!!" bingkas Firdaus bangun, menerkam Salim yang tidak bersedia. Bagaikan hilang iman, Firdaus mencapai pasu bunga bersebelahannya dan dihayun tepat mengenai kepala Salim.
***
"Dia bidadari aku, dia bidadari aku, dia bidadari aku, dia bidadari aku," ucap Firdaus sambil memangku tubuh isterinya yang berlumuran darah, tidak bernyawa.
No comments:
Post a Comment