Tuesday, June 25, 2013

Berpisah Tiada

Aku ini memang beginilah, air matanya tiada tapi jiwanya kacau. Maka disini aku nak tulis, agar kacau jiwa itu berkurang lantas tak perlu termenung terlalu lama atau ketawa bersendiri. 

Jujur, aku sudah melalui berkali-kali perpisahan dalam hubungan akrab  kekeluargaan dalam hidup kecil aku di bumi perantau. Bukan aku tidak akui ini adalah bumi ku kini, cuma kerana asalnya aku berhijrah maka aku adalah muhajirin. Kekal muhajirin. Meskipun mereka yang sedia di sini adalah golongan ansar yang cukup baik menerima diri kecil aku. 

Dek kerana itu, aku selesa berhubung dan bergaul baik dengan mereka yang sama-sama merantau mencari rezeki. Aku sentiasa ingin memudahkan urusan mereka, menjadi orang yang boleh disandarkan bahunya, menjadi tempat untuk dirujuk masalah kecil asbab perbezaan budaya. Agar mereka yang merantau itu tidak rasa jauh. Agar mereka tidak rasa disisih. Agar mereka yakin biarpun jauhnya keluarga dari pandangan mata dan jarak masa, mereka punya seseorang yang berkongsi rasa yang sama.

Jauh mana pun terbang sang merpati, pasti ke rumahnya ia kembali. Begitulah kehidupan. Sayang bagaimana sekalipun, kalau perantau mahu pulang atau kembali meneruskan kembara, kita yang berlabel serupa perlu menyokong. Kita perlu kata "Bagus! Tahniah! Kembara itu menambah baik diri, meluaskan ilmu." Sedih itu ada. Kadangkala tertanya pada diri, "Aku bila lagi?". Soalan membunuh. 

Untuk kali ini, sekali lagi melalui saat yang susah. Lenguh pipi menyengih, sampai menguning gigi yang putih. Nak ditunjuk reda, nak diluah sokong, mahu dilaung gembira. Susah sedih yang ditinggal, susah lagi yang pergi untuk melangkah. Jangan dihalang langkah itu, terus ke hadapan. Jangan dipandang sangat yang ditinggal, takut tersadung peluang di depan. Berhenti melaung nama yang pergi, percayalah dia boleh jaga diri. 

Pergilah merantau sementara berpeluang. Rasalah nikmat luas muka bumi yang Allah bagi. Andai berjumpa yang seangkatan berjalan kaki, jalanlah bersama. Temankan dia. Andai ditinggal mereka yang berlari, yakinlah akan ada yang di belakang sedang berlari mencari sahabat untuk berjalan kembali. Kalau tiba masa untuk memecut, jangan takut. Di penghujung garisan pasti ada yang sedang menanti. Hidup ini tidak selamanya sunyi. 

Kita bertemu bukan untuk berpisah, kerana kita membina ukhwah.

~senyum simpul sendiri~

Saturday, June 22, 2013

Sebab tu lah...

Aku sudah langgar 1 pantang. Maka sekarang terimalah akibat sakit hati.
Sebab tu lah, sebab tu lah ye adik-adik, kakak abang, sedara mara semuanya, kalau nak berkawan tu pilih yang bermanfaat. Kalau nak ramai kawan, jadilah yang bermanfaat. Pasai apa? Pasai sekali dah terberkawan, sakit hati macam mana sekalipun kau tahankan jelah.
Sebab apa?
Sebab itu kan kawan kau...

Sebab tu lah... Sebab tu lah...

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Sunday, June 16, 2013

Kena Paku, Kena Tegur

~ini bukan entry cerpen~

Orang kata mengeluh tu tak baik. Prof Dr Muhaya pun dok buat rancangan tv Reset Minda sebab tak nak kasik manusia macam aku ni mengeluh. Ish, tapi nak mengeluh jugak, maka bagaimana?

haish....
haish....
haish....
astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah...

Pernah tak rasa kena tegur? Bukan kena tegur dengan orang sebelah rumah bila menyapu lantai tu lah. Tapi kena tegur sebab kau buat salah? Tak pernah? Takpe, aku tak perlu tahu pun. Kalau pernah mungkin kita punya rasa yang serupa.

Ini kali, aku rasa memang aku telah ditegur. Biarlah atas silap orang lain, tapi paku teguran itu seolah-olah kena tepat rusuk kiri. Pedih sekejap. Eh tak, pedih lagi sampai sekarang. Iya, pedih.

Allah menegur kami yang terleka. Allah tegur kami yang sombong mengekalkan perkara baik dalam diri, tapi mengabai insan sekeliling kami. Kami mengaku kami ada talian darah. Kami kata kami akrab, kami saling menghormati. Terlalu menghormati. Sehingga kononnya ada antara kami berbuat salah, kami takut kesalahan itu menggugat hubungan sedia terbina. Tahniah! Hubungan sekadar demi kebaikan sementara, bukan hingga syurga, kan?

Allah menegur kami yang penuh dosa tapi pada masa yang sama memberitahu kami dia Maha Pengampun lagi menerima taubat hamba-hambanya. Allah tak letak pada aku kesannya, tapi aku sedar Allah marah. Ada  kesalahan lampau yang hitam melekat. Allah letak pada orang lain, tapi depan mata aku. Allah duga orang lain, sebab nak aku tahu. Ada antara kalangan kami yang aku tahu buat salah yang serupa, cuma aku pekakkan telinga, butakan mata. Bodoh sangat kan? Allah tu kan Maha Melihat, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Yang konon-konon aku ni perasan tak nak ambil peduli tu dah kenapa?

Aku bukan ustazah. Kalau tak ada yang baca pun lagi baik sebenarnya.
Nak tambah. Aku sedang cemburu, cukup cemburu.
Pada yang berani kerana benar dan berani atas cogan kata 'bencilah aku kat dunia sebab kita kena sama-sama masuk syurga'
Pada mereka yang ihsan. Bukan hanya sedar dilihat Allah dalam segala perbuatan, malah berbuat segala ibarat melihat Allah depan mata.

Allahu rabbi...
Iya, mungkin kena tukar keluhan itu mulai sekarang.
Allahu rabbi,
Allahu rabbi,
Allahu rabbi....

Thursday, June 6, 2013

Peminat Rahsia

"Belakang lagi, belakang lagi..!! Opppp cukup cukup...!!"

DARRRRR!

Lori 2 tan yang mengangkut barangan Firdaus dan Suhana menghentam pintu pagar rumah baharu mereka.

"Habislah lori akuuu.....!" Salim, pemilik lori 2 tan itu menggaru-garu kepala melihatkan keadaan lorinya. Bukanlah teruk sangat pun, cuma terkopak cat sedikit. Kemek? Mana mungkin lori cap Daihatsu tu kemek.
"Yang kau pergi undur lagi tu apesal??!! Aduuuuh, pagar ni ape cerita Lim? Stainless steel ni wooo... Parak nak betulkan nih!" marah Firdaus kepada rakannya.
"Angkat dululah barang-barang ni. Nanti bincang balik. Hari dah petang ni. Malam ni aku nak kena ke Tanjung Malim pulak, angkut barang dari sana. Acap, Tukon, cepat tolong settlekan barang atas lori nih." Salim lekas membuka pintu bahagian muatan pada lorinya. Dua orang pekerjanya; Acap dan Tukon, terus memanjat naik dan menurunkan perabot serta kotak-kotak milik Firdaus dan Suhana.
"Salim, kau kena ganti balik ni tau!" Firdaus masih lagi merengek berkenaan pagarnya yang dihentam lori Salim.
"Yelah, aku kira balik. Lori aku pun aku nak kena nilai jugak tu. Serabutlah kau ni!" Salim menjawab acuh tak acuh.
"Ganti balik Lim, nampak dek Ana kang mengamuk pulak dia nanti."
"Nampak apa bang?" tanya Suhana yang muncul dari dapur membawa sedulang air Sunquick ais.
"Pagar tu, tadi lori Salim undur sampai hentam. Habes kemek pagar baru kita. Dah lah stainless steel benda tu. Ni selagi tak berganti memang susah la kita nak tutup pagar. Kalau nak kemana-mana payah la macam ni!" rungutan Firduas berterusan.

Mendengarkan Firdaus merungut bukan main jemah lagi, Salim meletakkan kotak yang sedang dibawa dan terus pergi berhadapan dengan rakannya.

"Sahabat, selama ni pernah ke aku buat pekak dengan permintaan kau? Ni nak pindah rumah ni aku datang tolong jugak. Padahal malam ni aku nak kena pergi Tanjung Malim tu, lebih 2 marhalah kau tahu. Dah aku cakap nanti aku kira, aku kira lah. Aku gantilah Fir! Tolonglah berhenti merengek macam budak-budak,' panjang lebar Salim berleter.
"Aku cuma cakap je," balas Firdaus selamba.
"Abang, minum dulu. Abang penat ni kemas barang daripada semalam. Dekat dapur tu Ana ada goreng keropok, pergilah makan dulu," Suhana cuba mengalihkan perhatian suaminya.

Apabila Firdaus berlalu ke dapur, Suhana merapati Salim yang masih tercegat berdiri memandang kelibat Firdaus. Jelas raut wajahnya menampakkan bengkak dalam hati.
"Maaf ye abang Salim. Firdaus tu, letih agaknya. Abang ajaklah pekerja abang minum dulu," pelawa Suhana.
"Kalau tak mengenangkan Ana yang nak pindah, abang dah suruh orang lain yang datang," balas Salim sambil memandang Suhana, bekas kekasih hatinya.
***

"Ana...! Ana...!" laung Firdaus, mencari isterinya.
Suhana bergegas keluar dari dapur, "Kenapa bang?"
"Ana dekat mana? Puas abang pusing satu rumah tak jumpa," rungut Firdaus.
"Ana dekat dapur, kemas pinggan mangkuk. Abang ada nak pape ke?"
"Koleksi kereta Hot Wheels abang tu Ana kemas letak dekat mana eh? Pastu sekali dengan koleksi dvd Grey's Anatomy tu, Ana simpan dekat mana?" soal Firdaus sambil melilau mencari celah-celah perabot yang telah disusun rapi oleh isterinya.
"Abang.... Manalah nak jumpa dekat celah-celah kerusi almari tu. Ada dalam stor, abang cuba tengok dalam kotak label 'ruang tamu'. Ada 2-3 kotak yang label macam tu, carilah," lembut Suhana memberitahu. Kalau orang lain yang jadi isteri Firdaus ni, mahu dah periuk belanga terbang melayang-melayang.

Firdaus bergegas ke stor. Melihatkan stor yang tidak tersusun dan barangan tunggang langgang dia membebel sekali lagi, "Nama je syarikat logistik tapi buat kerja macam haram. Berserabut gila! Ini daripada barang boleh jumpa terus jadi harta karun!"

Sedang Firdaus cuba untuk membuka kotak berlabel 'ruang tamu' dan menyelongkar mencari koleksi peribadinya, dia tersenggol sebuah kotak kasut, "Ahh..!! masa ni pulak lah kau nak jatuh sana sini. Aku runtuhkan jugak stor ni karang!". Firdaus cuba untuk tidak mengendahkan kandungan kotak kasut yang bertaburan di atas lantai, tapi nyata kepingan-kepingan kertas dan foto yang berselerakan itu mengganggu laluannya untuk keluar dari situ. Dia meletakkan kembali kotak yang dijumpainya dan tunduk mengemaskan selerak yang ada.

"Ana dengan siapa ni?". Firdaus menatap sekeping gambar isterinya berpakaian kurung sedondon dengan seorang lelaki lain. 
Lagi gambar dikutip dan ditatap.
"Celaka Salim...! Bangsat..!!!"
***

Sudah 2 hari Firdaus tidak bercakap dengan isterinya, Suhana. Dipujuk tak jalan, ditanya melenting. Esok Suhana perlu ke Melaka kerana menghadiri kursus selama 3 hari. Tak tergamak dia meninggalkan rumah dalam keadaan tegang begini.
"Abang, tolonglah. Malam ni je Ana ada di rumah. Esok Ana dah nak ke Melaka. Ana tak boleh nak tinggalkan benda ni macam ni je. Cuba abang bagitahu apa yang abang marahkan sangat sampai dengan Ana pun abang tak nak cakap. Ana ada buat salah ke?"
Hakikatnya Firdaus pun sudah tidak mampu untuk memendam amarahnya. Semakin hari dipandang isterinya, semakin meluap lahar benci dalam hati.
"2-3 hari ni Salim ada datang rumah kita?" tanya Firdaus dalam nada tegang.
"Kan kalau Abang Salim nak datang dia bagitau abang, apa kaitan dengan saya?" jawab Suhana kehairanan.
"Kenapa kau panggil ABANG SALIM..!!??" kemarahan Firduas meletus.
Suhana terpaku. Sungguh dia terkejut dengan kemarahan suaminya yang tiba-tiba.
"JAWABLAH...!!" tengking Firdaus lagi. Dia tidak berpuas hati dengan tindak tanduk isterinya yang diam membatu. Semenjak daripada melihat foto isteri dan sahabatnya yang mesra bagaikan pernah berpacaran itu menumbulkan 1001 soalan dalam kepalanya. Kenapa kalau Salim yang Suhana cintai tetapi dirinya yang dinikahi? Siapa Salim sebenarnya? Kenapa tidak pernah sekali pun Suhana menyebut atau bercerita mengenai Salim pada dirinya sepanjang tempoh mereka bercinta sehinggalah berumahtangga? Cina Suhana untuk siapa sebenarnya?
"Abang telefon Abang Salim, minta dia datang rumah kita. Abang perlu tahu hal yang sebenarnya," jawab Suhana tenang.
***

Setibanya Salim di rumah rakannya, kedengaran suara Firdaus cukup keras dan lantang menghamburkan kata-kata kesat kepada Suhana. Bertalu-talu pertanyaan yang tidak terjawabkan dipekikkan. Berdesing telinga Salim, naik mendidih hatinya. "Astaghfirullah Salim, ingat ini masalah rumahtangga Firdaus dan Ana. Jangan burukkan lagi keadaan," ucap Salim sendirian. Dia melangkah dan berdiri betul-betul dihadapan pintu lalu memberi salam.

Melihatnya wajah Salim berdiri tercegat di hadapan pintu, Firdaus ibarat darasuk hantu. Leher baju Salim dicekak kemas, pintu rumah dihempas tertutup. Firdaus terus menghenyak Salim ke dinding, "Kau cakap bangsat, apa hubungan kau dengan isteri aku? Apa yang kau nak sebenarnya? APA YANG KAU NAK HAH??!!!"

"Abang...!! Sudahlah....!" rayu Suhana melihatkah Firdaus yang tiba-tiba menggila itu.
"Oh, sayang betul kau eh dekat si gampang ni?" tingkah Firdaus.
"Fir, tenang. Kau cuma perlu tanya apa yang kau nak tahu, tak perlu marah macam ni sekali. Istighfar Fir, ingat Allah," Salim cuba menenangkan amarah Firdaus. 

DEBIKKK!

Sebiji penumbuk hinggap di pipi kiri Salim. Berdarah hujung bibirnya. Suhana menangis semakin kuat, namun untuk meleraikan pergaduhan itu dia tidak mampu.
Salim hanya menadah, langsung dia tidak membalas. Namun matanya memandang tepat ke arah Firdaus, seolah-olah mencabar.

BUKKK!!

Kali ini, lutut Firdaus singgah di perut Salim. Salim tertunduk. Firdaus berundur selangkah. Dia berkira-kira untuk menyepak tepat ke arah kepala Salim. Kaki kanannya di hayun, gaya peninju muay thai.

TAPP!

Salim sempat menepis sepakan Firdaus. Kakinya pantas membentes kaki kiri Firdaus. Firdaus jatuh tertiarap, Salim cepat-cepat mengunci tangan Firdaus dan menindihnya. "Kau lupa agaknya aku dulu belajar silat. Sekarang tanya. Tanya apa yang kau nak tahu. Cepatlah..!" 
"Lepaskann...!! Lepaskan aku dulu!" Firdaus meronta.
"Kau nak tahu kan, apa kaitan isteri kau dengan aku dulu kan?" Salim cuba meneka.
"Lepaskan aku lah!!" Firdaus cuba melepaskan diri, namun masih gagal.
"Ni, kau tengok ni. Tengok baik-baik!" Salim melemparkan beberapa keping gambar Firdaus yang terlantar di atas katil hospital, dengan wayar penuh berselirat. Terdapat juga gambar mereka berempat, Salim bersama Suhana, dan Firdaus bersama seorang gadis lain. 

Salim beralih daripada belakang Firdaus. Lekas Firdaus bangun dan mengutip gambar, lantas mengamatinya satu persatu.
"Apa semua ni?" tanya Firdaus dalam kebingungan. "Yang ni siapa?" Pandangannya berganti-ganti daripada Salim ke Suhana. "Ana..! Jawablah..!"

"Biar aku yang jawab," pintas Salim. "5 tahun dulu, lepas kau kemalangan dengan Azwa, tu perempuan yang kau kepit dalam gambar tu, kau celik je mata, Suhana yang kau nampak dulu. Pasal apa? Sebab Suhana tolong gantikan aku 15 minit, sebab aku pergi solat. Sebelum kau ingat benda lain, kau terus nak ke Suhana. Aku ni kawan baik kau, susah senang sama-sama dulu, sikit pun kau tak peduli. Kau ada amnesia, kau tahu pasal tu, tapi sikit pun kau tak usaha nak cuba ingat balik masa silam kau. Kau terus nak bina masa depan dengan bidadari yang kau nampak depan mata kau bila kau terjaga. Kau cuma sekadar kenal je aku dengan Suhana. Tapi siapa kami sebenarnya kau tak tahu."

"Bohong...! Ini semua BOHONG..!!" Firdaus cuba menidakkan kenyataan yang dilemparkan kepadanya.
"Iya, bohong. Setiap kali aku cuba cerita dekat kau, kau buat aku macam orang yang terhegeh-hegeh nak berkawan dengan kau. Kau buat aku orang asing. Kau ambik Suhana daripada aku. Eh! kau tahu tak sebenarnya Suhana ni dulu kau pernah gelakkan sebab nak dekat kau?" 

Firdaus diam, kepalanya ligat berfikir. Dia mencuba bersungguh-sungguh untuk mengingat perkara lampau.

"Ana tak sampai hati tengok kau, setiap hari, setiap masa asyik kejar dia. Apa yang kau buat, semua kau nak dia tahu. Setiap kali kami datang melawat kau, Ana akan masuk dulu pastu baru aku menyusul. Itu pun kitorang buat konon-konon datang berasingan. Kitorang tahu kau akan mengamuk sepanjang hari kalau aku dengan Ana datang sekali."

"KORANG BERDUA PENIPU...!!!" bingkas Firdaus bangun, menerkam Salim yang tidak bersedia. Bagaikan hilang iman, Firdaus mencapai pasu bunga bersebelahannya dan dihayun tepat mengenai kepala Salim.
***

"Dia bidadari aku, dia bidadari aku, dia bidadari aku, dia bidadari aku," ucap Firdaus sambil memangku tubuh isterinya yang berlumuran darah, tidak bernyawa.

Saturday, June 1, 2013

Mengejar Syurga

Hantaran = checked!
Tempah pelamin = checked!
Baju pengantin = last fitting 15 Mei
Makan kenduri = Abg Azad settlekan
Goodies = Kak Zinia sponsor, YAHOOO!!
Hiasan bilik tidur = blur lagi nih~~
Pengantin perempuan = ???? Mcm tak ready lagi... Waaaa!!! Takut pon ye jugak!!!
Pengantin lelaki = dah gatal nak kawen dr tahun lepas, huh!

"Makin aku tenung list ni, ada juga yang tak jadi kahwin karang," hati Hajar berkata sendiri.

Hari pernikahan Siti Hajar dan pilihan hatinya, oh silap, yang memilih dirinya iaitu Ehsan Sumadi cuma tinggal 5 hari sahaja lagi. Walaupun keadaan rumahnya belum lagi hingar dihiasi kekecohan ibu dan bapa saudara terdekat, rengekan sepupu kecil dan besar namun jiwa Hajar sudah semakin tidak tenang. Tidur malamnya semakin sukar lena. Asyik terjaga tak semena-mena. Pernah satu malam, dia terjaga. Terus dia bangkit dan menunaikan solat istikharah 2 rakaat. Manalah tahu Allah nak tunjuk yang jodohnya orang lain, tapi tetap Ehsan juga yang muncul dalam mimpi.

"Cik Ajaaaa...!! Ayah Can teponnnn...!"

Laungan Firdaus, anak saudara Hajar mengejutkannya daripada lamunan. Bergegas dia ke ruang tamu rumahnya untuk menjawab panggilan Ehsan.

"Telefon awak rosak ke kenapa eh?"
"Kenapa telefon nombor rumah?"
Mereka bertanya serentak.

"Banyak kali tak dapat, saya telefon la nombor rumah."
"Mati kot, lagipun hari ni sibuk settlekan hal pelamin."
Sekali lagi mereka menjawab serentak, lantas keduanya tertawa bersama.

"Ok, cakap dulu," Ehsan bersuara kembali.
"Sejak bila Fir panggil awak Ayah Can? Cepat betul naik pangkat?" soal Hajar selamba.
"Saya yang suruh. Lagipun kan saya dah nak jadi pakcik dia. Mesra la sikit hehehe. Handphone awak agak-agak berapa lama nak kena cas? Mati kosong habis ke?" tanya Ehsan.
"Mati kosong habis la tu kot. Tunggu la sejam dua lagi baru telefon ok?" Jawab Hajar.
"Amboi, apasal tak suruh telefon esok terus?" balas Ehsan, tak puas hati.
"Dah tanya kan, saya cuma jawab je," Hajar cuba melembutkan suaranya.
"Ok... Sori. Lagi sejam saya telefon semula eh, baru sia kerja ni. Tolong hidupkan telefon tu ye, sayang?" Ada nada mengada pada suara Ehsan.
"Baiklah..."
"Sayang untuk saya mana?" tanya Ehsan.
"Jangan nak mengada-ngadalah!" Rimas Hajar apabila Ehsan cuba bersayang bagai dengannya. Kedengaran Ehsan tertawa besar di hujung talian.

Sepanjang mereka berkawan, sehinggalah bersetuju untuk berkahwin tidak ada fasa yang boleh dikategorikan sebagai romantik. Hajar senang dengan sikap Ehsan yang 'friendship oriented'. Tak jiwang tapi cukup prihatin. Ehsan pula suka dengan sikap Hajar yang 'independent' namun pada masa yang sama meletakkan dirinya sebagai seorang yang penting dan perlu dihormati.

***
"Abang, saya rasa tak best la duduk jauh macam ni, susah," keluh Hajar kepada suaminya.

Walaupun sudah berumahtangga hampir 1 tahun, Hajar dan Ehsan masih duduk berasingan. Hajar di kampung, menetap bersama-sama ibu dan bapanya manakala Ehsan pula bekerja di pelabuhan yang terletak di selatan tanah air. 

"Maaflah kalau Abang tak dapat nak tukar kerja dekat dengan Ja, tapi Ja tahu kan sekarang  ni peluang dekat tempat lain susah sikit," Ehsan mengulangi kesukaran yang dialami olehnya buat kesekian kali.
"Lah,  kenapa pulak Abang yang minta maaf ni? Abang ni tak faham la..." balas Hajar.
"Tak faham? Ish, tak faham lah Abang. Ja kan dah sedia kerja dekat kampung, lagipun boleh tolong tengokkan mak dengan ayah. Lagi satu, Ja kan baru dapat kenaikan pangkat, takkan Abang nak suruh pindah?" Ehsan keliru.
"Abang ni, saya tak peduli sangat pun kenaikan pangkat tu semua. Cita-cita saya sekarang nak mengejar syurga," balas Hajar ringkas.

Ehsan terdiam seketika. Perbualan telefon mereka tiba-tiba senyap. Hajar melihat skrin telefonnya, dilihat talina masih lagi bersambung.
"Abang? Hello?" 
"Ya, ada ni. Cuba Ja teka abang tengah buat apa sekarang?" balas Ehsan.
"Abang buat apa?" Hajar kehairanan. Sedang elok mereka berbual mengenai susah duduk berjauhan, tiba-tiba pula suaminya mengutarakan soalan yang tak ada kaitan.
"Abang tengah baring sambil letak tapak tangan kanan dekat dada kiri. Sejuk hati dengar ada orang nak kejar syurga yang tak seberapa ni."

Hajar tersenyum mendengarkan jawapan suaminya. Dia pasti suaminya juga sedang melakukan yang serupa.

***
Berita Hajar akan berhenti kerja dan berpindah mengikut suaminya menimbulkan pelbagai respons, baik dalam keluarganya mahupun keluarga mertuanya.

Mak Hajar kata, "Mak suka Ja kamu pindah duduk dekat dengan Ehsan. Cepat sikit mak tambah koleksi cucu."
Ayah dan ibu mertuanya pula, "Pak dan mak tak kisah, tapi kamu kena sabarlah. Ehsan tu kerja dia biasa-biasa je, untuk hidup mewah kamu kena saling membantu."
Kak Zinnia pula, "Dik? Takkan belajar tinggi-tinggi nak berhenti duduk rumah? Don't waste your 4 years effort. Sekarang duduk jauh pun korang ok kan? Ke ada masalah?"
Abang Azad hanya senyap. Menggalakkan tidak, menghalang pun tidak. 

Tidak ketinggalan rakan-rakan sepejabat. Ada yang berpendapat Hajar tunggu dahulu sehingga dia menimang cahaya mata. Tidak kurang juga yang menyokong tindakan murninya. Juga terdapat segelintir yang mencadangkan agar kedua-dua mereka berpindah ke tempat yang menyediakan kerjaya yang sewajarnya untuk mereka berdua.

Namun biarlah apa pun pendapat orang lain, Hajar tekad. Dia rasa sudah tiba masanya dia berada di sisi Ehsan. Mungkin kalau dahulu sewaktu mula berkahwin dia ada sekelumit gembira dan lega keran tidak perlu melayan karenah suami, masih punyai masa dan ruang peribadi, tapi kini tidak lagi. Melihatkan kehidupan rakan-rakan di pejabat yang baru berkahwin tampak lebih tenang dan bahagia, Hajar jadi cemburu. Dia mahukan yang serupa. Perasaan itu dikukuhkan lagi dengan layanan Ehsan yang cukup baik. Bukan sahaja terhadapnya, malah terhadap kedua orang tuanya. Masa yang diluangkan 3 hari sebulan sekali bersama-sama menjadi semakin tidak mencukupi.

"Biarlah orang lain nak kata apa, yang penting aku. Tak perlu takut Hajar, kalau apa yang kau buat tu benda betul, mesti ada jalannya," Hajar bermonolog sendirian.

Telefonnya berdering, Ehsan memanggil.
"Assalamualaikum."
"Walaikumsalam. Ja, Abang dah buat keputusan nak berhenti kerja. Abang pun nak mengejar syurga jugak!"

***
"Kau nak bagi isteri kau makan apa nanti? Suka-suka hati kau je nak berhenti kerja semata-mata nak balik kampung," leter Pak Sumadi.
"Pak, saya dah ada perancangan perniagaan pak. Jangan risau, mula-mula memang susah tapi saya yakin Hajar akan sokong saya," Ehsan membela dirinya.
"Habis tu Hajar pun dalam notis perletakan jawatan. Dah macam mana sekarang ni?"
"Pak, notis tu dah saya tarik balik. Alhamdulillah, majikan saya masih perlukan khidmat saya," balas Hajar.
"Ya ikutlah. Kalian dah besar. Pandailah fikir. Jangan habiskan beras rumah aku sudah," tegas Pak Sumadi.
"Paknya, kan bagus Ehsan tu balik sini. Boleh tengokkan kita yang dah tua ni. Kalau dia laki bini nak ambik beras rumah ni ye ambiklah. Tak habis tak kita berdua makan," Mak Rahmah membalas kata-kata suaminya.
"Ehsan, Hajar, mak suka kau berdua nak duduk kampung. Mak dengan Pak tak ada yang nak tengok tiap-tiap hari. Terima kasih Hajar, sebab sepanjang jadi menantu mak ni, selalu datang rumah jenguk kami. Kalau kau berdua nak duduk sini, mak tak kisah. Pak kau tu, dia cakap aje," ujar Mak Rahmah lembut terhadap anak dan menantunya.
"Aku tak cakap pun tak boleh duduk sini. Kalau nak duduk sekali ye bagus. Barang dapur beli sama-sama," pantas Pak Sumadi menjawab tanpa memandang kepada sesiapa. Berkepul asal rokok keluar daripada mulutnya. 
"Kami bercadang nak duduk rumah sendiri mak, pak. Biarlah belajar berdikari. Kalau duduk jauh sikit, sekali-sekala jumpa kentutnya pun taklah busuk sangat," balas Ehsan sambil berjenaka. Kesemuanya tertawa gembira bersama.