Friday, August 16, 2013

Hikmah

Hidup Adi jadi pincang. Kepalanya pening. Tak pernah dia menyangka rasa cinta yang penuh dalam hatinya kini membakar jiawanya sendiri. Bulan Ramadhan, saat semua orang berkumpul berbaik-baik, saling memohon maaf dan melupakan dendam silam kini menjadi bulan bertitik hitam dalam hidupnya. Semalam, saat menjamah kurma untuk berbuka puasa hari ke 2, isterinya Zara meminta untuk dilepaskan daripada ikatan perkahwinan yang baru sahaja dibina. Kahwin belum separuh abad. Puteri kesayangan Adi belum pun pandai berjalan.

"Fikirlah baik-baik Zara. Mesti ada penyelesaian," luah Adi.
"Saya dah fikir masak-masak. Saya tak nak selamanya hidup kita macam ni. Takkan sampai bila-bila saya kena bantu abang. Saya kena susah payah kerja. Ini Aina belum sekolah lagi. Duit beli susu Aina pun abang berhutang dengan saya," keluh Zara. Dia tegar tidak memandang wajah suaminya. Hatinya tekad.
"Allah.... Zara, abang kerja juruteknik je. Iya, memang makan pakai kadang-kadang Zara kena bantu. Iya abang mengaku abang pinjam duit Zara, abang tak pulang pun lagi. Tapi Zara.... fikirlah, apa yang Zara nak setakat ni yang abang tak tunaikan...? Nak kenduri kahwin meriah, abang bagi belanja. Nak rumah sendiri, abang dah usahakan. Ni sekarang ni, kan kita dah duduk rumah sendiri. Lagi besar dari dulu kan? Nak beli kereta, pun abang tolong carikan. Padahal kalau nak ikutkan, tak perlu pun kereta lagi satu. Abang boleh rempit je pergi pejabat, Zara bawaklah kereta tu," bergenang airmata Adi. Dia mahu isterinya jelas dengan pengorbanannya. Dia mahu Zara tahu dia juga punya batas dalam menunaikan segala kemahuan isterinya.
"Itu kereta awak, bukan kereta saya. Lagipun, kalau beli barang-barang komputer dengan fotografi, awak tak pernah berkira pulak eh!" balas Zara keras.

Adi kelu. Dia tahu, walau macam mana sekalipun dia cuba menyedarkan isternya, untuk malam itu dia tetap akan gagal. Adi juga sedar, dia pernah tersilap dalam perkahwinannya. Hanya sekali. Hanya sekali dia mengadu tentang beban hidup yang ditanggung kepada Miza, bekas rakan sekolahnya dahulu. Itu pun secara tidak sengaja. Kebetulan mereka berjumpa ketika Miza melakukan lawatan kerja di tempat Adi bertugas. Sekadar perbualan ringkas, mereka bertukar nombor telefon. Satu hari ketika Zara membentak dek kerana Adi kesempitan wang, Adi bertindak keluar dari rumah dan menghubugi Miza. Niat Adi hanyalah mahu lebih memahami sikap wanita, manalah tahu kalau-kalau Miza mampu menolong. Setidak-tidaknya mendengar luahan Adi. Adi tersilap langkah. Miza keesokannya menghantar mesej teks bertanya khabar rumah tangga Adi sambil bergurau. Kata Miza; Di, kahwin dengan I jelah. Kitakan dah kenal lama :). Semenjak daripada itu, hubungan Adi dan Zara bertambah keruh. Miza juga turut dihambat Zara.

"Ibu dengan Ayah saya dah tahu. Awak tinggal bagitahu Mak dan Abah," pesan Zara sebelum berlalu meninggalkan Adi seorang diri termangu menghadap juadah berbuka.
"Awak....." bicara Adi sendiri. Tak tinggal sikit pun rasa sayang Zara pada dirinya. Buat pertama kalinya Adi merasa kurma yang manis bertukar kelat. Dia bangun meninggalkan meja makan, meninggalkan not RM20 dan mengambil kunci kereta. Dia mahu pulang ke kampung. Sebelum keluar dia menjenguk ke dalam kamar tidurnya, Zara leka mendodoi Aina. "Abang nak balik kampung. Esok abang balik sini semula. Ada duit atas meja untuk beli lauk berbuka esok. Jaga diri elok-eloklah." Adi kekal berdiri di muka pintu untuk beberapa ketika. Harapannya Zara datang padanya, salam dan cium tangannya. Paling tidak, toleh memandang wajahnya sambil tersenyum.
"Em yelah." Zara terus mendodoi Aina. Dia hanya sedar Adi telah keluar melalui bunyi deruman enjin kereta.

***
"Maafkan Along ye Mak, Abah. InsyaAllah ada masa Along balik lagi. Doakan rumahtangga Along ye mak." Airmata Adi tumpah saat Mak mengucup ubun-ubun kepalanya.

Dahulu sewaktu bujang, Mak yang akan bersusah payah menyediakan persiapan raya Adi. Hampir setiap hari Mak telefon Adi, mengejutkan bangun bersahur. Setiap kali waktu berbuka ditanya lauk yang dimakan, diingatkan untuk kekal berterawikh di surau terdekat. Mak mahu Adi sama-sama merebut ganjaran dan pengampunan bulan Ramadhan. Tapi sesudah Adi berkahwin, Mak dah tak telefon kejutkan dia bersahur. Mak serahkan bulat-bulat persiapan raya Adi kepada Zara. Mak tak tanya khabar Adi, tapi Mak akan telefon Zara. Hubungan Mak dan Zara ibarat anak beranak. Ada masa Adi juga naik cemburu. Mak seolah-olah tidak kisah kalau setiap kali hari raya, Syawal ke 3 barulah mereka sekeluarga tiba di rumah Mak dan Abah. Baru Adi sedar, setakat dia berkahwin belum pernah sekalipun dia bertakbir bersama-sama Mak dan Abah. Dia sibuk membantu keluarga Zara memasang pelita, berkejar ke kedai membeli kelengkapan memasak untuk lauk pagi raya, tak tidur malam merebus ketupat, berpenat lelah mengacau dodol.

"Ini, kirim ke Zara dan Aina. Selagi Adi tak buat apa-apa keputusan, Zara masih menantu Mak. Kalau berpisah sekalipun, Aina tetap cucu Mak." Mak menghulurkan mangkuk tingkat yang dalamnya ada nasi putih, ayam masak kicap, sayur kacang panjang dan suhun goreng dan ikan kembung goreng sambal.

"Along, sembahyang jangan tinggal. Susah macam mana pun, sembahyang kena jaga. Ingat Along, kalau kita tak ingat Allah, bila-bila masa je Allah boleh lupakan kita," pesan Abah ringkas tapi cukup menyentap rasa.

Adi pulang semula ke rumahnya. Sudah diluah kepincangan rumahtangganya. Sudah ditanya pendapat Abah dan Mak. Adi tahu hati orang tuanya terluka, tapi sikap mereka cukup terbuka. Abah kata, "Kalau Along dah tak mampu nak kawal sikap Zara, kalau Along sendiri dah asyik biarkan Zara buat sesuka hati dia, baiklah berpisah sebelum kamu berdua dimurka Allah." Mak cakap, "Mak kalau boleh tak mahu kamu berdua bercerai berai. Susah nak besarkan anak. Entahlah Along, ikutlah cakap Abah. Mak reda."

***
Zara termenung sendiri. Hatinya sedih. Bukan terhadap Adi, tapi terhadap tulusnya hati Mak kepada dia dan Aina. Lauk kiriman Mak yang dijamahnya waktu bersahur tadi membuatkan dia teringat pada Mak. Lama Zara tak telefon Mak. Kalau pun dia dan Adi bermasalah, Mak tak pernah memandang buruk pada dirinya.

"Assalamualaikum Mak," sapa Zara saat telefon Mak dihujung talian berangkat.
"Walaikumsalam Zara. Zara dan Aina sihat?" Nada suara Mak ceria seperti biasa, tak berubah. Zara jadi tertanya sendiri sama ada Adi sudah beritahu atau belum tentang pergolakan mereka.
"Alhamdulillah sihat. Mak, terima kasih kirim lauk semalam. Boleh buat sahur."
"Baguslah. Nanti kalau Zara ada masa lapang baliklah rumah Mak. Boleh kita buka puasa dan sahur sama-sama. Dapat Mak dan Abah jumpa Aina sekali." Ucapan Mak yang tidak sekalipun menyebut nama Adi membuatkan Zara pasti bahawa ibu mertuanya sudah mengetahui perkara sebenar. Hati Zara semakin sedih. Tulusnya kasih sayang Mak.

"Mak, maafkan Zara ye mak," ucap Zara sedu sedan. Airmatanya mengalir laju tak mampu ditahan. Dia menangis kerana lemahnya dia dalam mempertahankan perkahwinanannya. Dia menangis kerana malu kepada wanita yang lebih tua tetapi lebih gagah mengharung susah payah hidup. Dia menangis kerana takut akan kehilangan kasih sayang ibu bukan yang menyusukannya tetapi menerimanya lebih daripada anak sendiri.

"Zara, Mak pun ada anak perempuan. Mak pun sedih kalau anak perempuan mak suaminya berhutang dengan dia. Mak pun marah kalau anak perempuan mak hidup susah bila dah kahwin. Mak pun tak senang kalau anak perempuan mak ditumpang suami. Mak harap Zara ketepikan emosi, fikirlah dengan rasional. Mungkin Adi perlukan teguran daripada Zara. Mungkin Zara perlukan bimbingan daripada Adi. Tapi mungkin kedua-dua perkara itu tak berlaku. Allah nak uji kita semua Zara. Berdoalah minta kita dilindungi daripada hasutan syaitan." Kata-kata Mak menyentuh hati Zara. Dia sedar dia dan Adi semakin hari semakin menjauh. Mereka menjadi kurang prihatin. Kewujudan mereka bukan lagi untuk mendampingi apatah lagi melengkapi.

"Mak, maafkan Zara ye mak. Zara.... Zara dah cuba tapi Zara rasa dah tak mampu lagi mak."
"Mak tak pernah simpan salah Zara. Zara kalau berpisah dengan Adi, Mak tetap sayang Zara dan Aina. Kita tetap keluarga," balas Mak ringkas. Zara hilang kata-kata. Mengucapkan salam juga dalam sedu.

***
"Assalamualaikum mak...!" ceria suara Yati menelefon Mak. Hanya 100 km sahaja lagi dia akan tiba ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
"Walaikumsalam." Suara lelaki yang menyahut. Yati pandang skrin telefon bimbitnya, khuatir tersalah mendail. Maklumlah telefon berskrin sentuh, kadangkala nak didail orang lain tapi jari tersilap sentuh.
"Siapa ni eh?" tanya Yati.
"Along lah ni. Mak tengah solat dhuha. Kau jauh lagi ke nak sampai?" balas Adi.
"Eh Along....? Tak pernah pun sambut raya dekat kampung, apa mimpi kau Long?" balas Yati separa menyindir. Setiap kali aidilfitri semenjak Adi berkahwin, dia lah anak jantan di rumah. Mengarak Mak ke pasar, mengangkut Abah membeli daging dan mengemas rumah dan dapur dengan Dik Wa.
"Tahun ni aku sambut dekat sini. Ngah, kau sampai sini nanti anyam ketupat, aku dah beli daun. Dah, bawak kereta tu elok-elok. Nanti Along sampaikan salam kau pada Mak. Kau dah dekat mana tu?" tanya Adi sekali lagi.
"Lagi 2 marhalah sampailah aku. Kirim salam semua, bye..!"
Yati pelik sendiri. Tak pernah dalam hidup Along akan begitu lembut hati untuk balik sambut raya di rumah. Setiap kali raya, mesti ada saja alasan yang Along berikan. Alasan seperti biasalah, menolong mertua sebab dia satu-satunya menantu lelaki. Macamlah Kak Zara tak ada adik beradik lelaki yang dah besar.

Cuma 1 jam, Yati selamat tiba di perkarangan rumah Mak dan Abah. Yang kelihatan cuma kereta Dik Wa dan Kancil 850 kesayangan Abah. "Kata sambut raya dekat kampung. Lesap dah kereta tu, balik kampung Kak Zara lah tu. Tahniah Yati, sekali lagi jadi anak jantan raya tahun ni," keluh Yati sendiri.
"Makkk...!! Kak Ngah dah sampai...!!" laung Dik Wa. 
Melihatkan wajah Dik Wa, Mak dan Abah membuat Yati berhenti memikirkan tentang Along nya. Dia kalis dengan sikap Adi. Kalau masa mula-mula sambut raya dulu memanglah sakit hati, tapi sekarang dia tak kisah. Malah dia sendiri yakin akan berasa kekok kalau Along ada sambut raya sama-sama.
"Syukur Angah dah sampai. Lengkaplah ahli keluarga kita tahun ni," ucapan gembira Mak.
"Kak Ngah, Along dah siap kemas rumah tau...! Daging semua dia dah potong untuk masak rendang. Sampaikan sayur untuk lodeh Mak pun dia dah siapkan. Senang lenanglah kita tahun ni Ngahh...!" sampuk Dik Wa.
"Senang lenang sangat la kan. Dah ketupat tu aku jugak kena anyam. Along dah gerak ke rumah Kak Zara ke? Tak nampak pun kereta dia," tanya Yati.
"Eh, Along pergi kedai lah. Cari ais krim soda dengan susu cair. Petang ni kita buka puasa dengan sirap bandung special...!" balas Dik Wa penuh teruja. 
"Kak Zara dengan Aina mana? Ikut Along pergi kedai jugak ke?" tanya Yati lagi.
Kali ini semua orang sekadar tersenyum, diam menyembunyikan sesuatu.

***
"Along, kalau aku jadi Kak Zara, aku pun tinggalkan kau Long," luah Yati selamba sambil menganyam ketupat. Tak sedikit pun dia rasa bersalah melemparkan kata-kata mengguris hati abangnya.
"Angah...!" tegur Abah keras.
"Kak Ngah, kita tak tahu cerita sebenar. Jangan la hukum macam tu sekali," sampuk Dik Wa.
Mak sekadar memandang ke arah Along. Along diam membatu, menyiapkan air bandung istimewanya sebagai juadah berbuka petang itu.
"Wa, cuba kau fikir. Kau nak ke laki kau nanti tumpang kau bila dah kahwin? Kau mampu ke kalau laki yang ada tak boleh nak di buat sandaran?" luah Yati tanpa tapis. "Kau kena baiki diri kau Long kalau kau nak betulkan hal ni. Aku secara peribadi memang setuju dengan Kak Zara. Tindakan dia betul. Kau pun selalu ikut je apa yang Kak Zara nak. Aku tahu kalau Kak Zara kata 'balik kampung saya' kau pun 'yelah, kita balik kampung awak'. Sekarang kau sedar dah kan? Tatang sangat Kak Zara sampai Mak dengan Abah makan hati dengan perangai kau. Mungkin apa yang berlaku bukan doa Mak tapi Allah nak tunjuk apa yang dah kau terlepas dalam hidup."

Mak kesat air mata dengan hujung lengan baju. Diam tak bercakap. Abah buat-buat tak dengar, sekadar merenung surat khabar. Dik Wa senyap terpaku. Adi menyiapkan minuman yang dibancuhnya dan berjalan menuju ke meja makan. Terus Adi melangkah mengambil kunci keretanya, bergerak ke luar rumah.
"Nak ke mana Along? Balik KL semula?" tanya Abah.
"Taklah, nak pergi calarkan kereta Angah. Cakap dia betul, tapi sakit hati dibuatnya," balas Adi ringkas.
"Woiihhh..!!!" kelam kabut Yati berlari cuba menyelamatkan keretanya.
Adi tersengih, terus berlari dikejar Yati. Mak dan Abah tersenyum sendiri. Dik Wa tergelak. Perangai anak-anak kalau berkumpul tak pernah berubah. 

Mungkin Adi gagal kali ini, tapi Mak dan Abah kembali gembira. Mungkin Yati terlalu berterus terang, tapi jujur dirinya adalah sifat mulia. Mungkin Zara tak mampu bertahan, tapi pasti dia akan lebih menghargai erti kasih sayang di kemudian hari. Kehidupan, semuanya penuh dengan hikmah. Cuma kita yang berpejam mata tidak mahu memandangnya.

1 comment:

ruzovy said...

mmg sbnrnya suami ni tugas berat kena bg nafkah. tp nak bg nafkah lebih cana kalau gaji pun sama taraf ngan bini...
bdebar baca.. x cerai la ni kan..