Azi mendekati kakaknya yang duduk termenung di beranda rumah.
"Kakak..." tegur Azi perlahan.
"Hurm..." jawab Mar, terus melangut pandangannya entah ke mana. Azi duduk merapatinya. Cuba merenung sama, tapi nyata Azi tak melihat apa yang dilihat Mar.
"Kakak, takpe ke Azi kahwin dulu ni?" tanya Azi untuk kali yang entah ke berapa. Kakaknya sekadar tersengih. Begitulah reaksi Mar setiap kali diajukan soalan sedemikian. "Sungguhlah kakak, takpe ke ni?"
"Kalau aku kata aku tak suka, apa kau nak buat? Kensel kahwin macam tu je ke?" balas Mar. Nadanya bergurau tapi riak muka serius. Wajah adiknya nampak keliru antara mahu ketawa atau menerima respon Mar sebulatnya. "Kakak gurau jelah hehehehe.. Cuak jugak kau eh aku cakap macam tu," balas Mar sambung ketawa. Wajah ketatnya kini lembut dengan senyum. "Lain kali tak payah la tanya benda yang konfem macam ni lagi, faham?"
"Tak faham. Contoh lain benda yang dah konfem?" tanya Azi.
"Yelah, macam jadi ke kakak nak kahwin dengan Abang Asrul esok?" balas Mar sambung merenung ufuk. Hujung matanya berkaca.
***
"Mar, kan mak ada bagi handbag baru tu. Kenapa tak pakai?" Mak Beah membebel melihat perangai anak sulungnya yang asyik mengepit handbeg Sembonia buruk. Lusuh dah jadinya.
"Alah mak, takpelah. Nanti orang pakailah beg yang mak bagi tu. Lagipun tak sesuailah dengan baju-baju Mar," jawab Mar selamba.
"Alah, beg kau tu pon sesuai sangat agaknya dengan semua baju kau. Tukarlah Mar, abah kau pun bising dah suruh kau pakai handbag baru. Beg yang mak bagi tu pun abah yang suruh beli. Kan imej tu Mar. Dah jadi ketua, masih kepit beg buruk. Kalau kau tak malu, mak ni yang malu." Pening Mak Beah. Mar bukan anak yang degil, tapi kalau dipaksa perkara yang dia tak suka memang dia akan buat pekak.
"Iya mak. Mar tukar. Tunggu Mar beli yang baru ye mak," balas Mar terus memeluk ibunya daripada belakang. "Mar saaaayang mak sangat-sangat."
"Kali ni mak tak nak terpengaruh dah dengan peluk manja kau. Dah dah," Mak Beah cuba melepaskan diri dari anaknya, tapi semakin erat dia dipeluk Mar. Ketawa Mak Beah. Mar tersenyum.
Bukan Mar tak mahu menukar beg tangannya, tapi bag itulah tanda janji cinta Khairul padanya. Saat dia mendapat tawaran kerja pertama, Khairul menghadiahkan handbag yang dipakainya sekarang. Kata Khairul, "Nanti nak naik kerja taklah malu sangat awak tak ada beg tangan. Beli yang ni, tahanlah nanti sementara nak tunggu handbag baru atas dulang hantaran."
Gemulah Khairul. Orangnya baik, bersopan dan beriman. Allah sayang orang macam tu. Khairul ditemui tidak bernyawa waktu subuh oleh rakan serumahnya. Berita yang meluluhkan hati, tapi hidup mesti diteruskan. Mar meneruskan hidup, tapi berpegang pada kenangan.
***
"Wah Mar, lawa beg tangan. Macam ni barulah anak abah!" Pak Mail menepuk bahu anak bertuahnya. Cikgu pencen, memang imej betul-betul dia jaga. Dah bertahun dia bising, akhirnya Mar tukar juga beg tangan.
Mar sekadar tersenyum.
"Aii, abah puji pun muka kelat?"
"Ala abah, pencapaian kecik je la. Bukan naik pangkat pun kan," jawab Mar biasa-biasa. Cuba mempercepatkan kunyahan jemput bilis ibunya.
"Mar, abah rasa bertahun dah tegur beg lusuh Mar ni. Mak yang berlaki cikgu pencen pun tukar handbeg tiap-tiap tahun tau!" gurau abahnya.
Separuh hati Mar ibarat mati. Mati bersama handbag Sembonia lusuhnya. Kenangan dengan Khairul dia lepaskan. Setelah setengah dekad berpegang pada hadiah lusuh, dia gagahkan untuk mengambil langkah kecil. Dengan harapan langkah seterusnya tidaklah sesukar yang pertama. Azi yang menemaninya membeli beg tangan baru sekadar berdiam diri dan tidak terlalu mengajukan design yang pelik-pelik. Dia tahu adiknya faham getaran kecewa yang melanda dirinya. "Ok kan yang ni Azi?" tanya Mar. "Cantik dah tu kak, praktikal." Jawab Azi mudah.
***
"Beg awak. Awak anak Cikgu Ismail Alwi kan?" Seorang lelaki menyuakan beg tangan baru Mar.
"Iya. Terima kasih ye," jawab Mar, terus menyambut beg tangannya. Dia tidak perasan beg tangannya tertinggal di atas meja.
"Eh, tak kenal saya ke?"
"Maaflah, tak cam. Siapa eh?" Mar melihat lelaki di hadapannya dengan lebih teliti.
"Abang Asrul lah! Dulu kan abang selalu ikut cikgu pergi camping Pengakap?" Asrul memperkenalkan diri.
"Oh ye...! MasyaAllah, lainnya abang sekarang! Dulu kurus kedengking, sekarang dah bulat!" jawab Mar mesra.
Abang Asrul ibarat hero zaman kanak-kanaknya. Maklumlah beza umur 10 tahun, Mar belum sekolah, Asrul sudah mula aktif mengikuti ayahnya camping dan jamboree. Asrul antara ahli pengakap kesayangan ayahnya. Otaknya cerdas, berani dan ada sedikit nakal. "Lama tak nampak abang dekat kampung. Abang sorang je ke ni?"
Asrul sekadar tersenyum melihat Mar. Gadis kecil yang dahulu berlari ke pintu bila mendengar bunyi motornya kini sudah besar dan berkerjaya. "Mak dengan abah abang ada dekat belakang tu. Abang baru setahun balik semula sini. Sebelum ni jenuh pusing alam cari kerja."
"Abang kerja apa?"
"Carigali Mar. Ok lah, abang gerak dulu. Kirim salam Cikgu Ismail ye. Nanti kalau ada masa abang singgah rumah. Oh ye, cantik beg tangan tu. Pandai Mar pilih, suits you well!"
Mar pegang beg tangannya sambil pandang susuk Asrul yang berlalu meninggalkannya. Dia tersenyum sendiri, mengenangkan hero pujaan zaman kecilnya. Heronya kembali, dunia Mar turut berputar semula.
***
"Orang ok mak. Teruskan jelah dengan perkahwinan Azi. Life must go on," ucap Mar dalam nada kecewa. Kecewa kerana hero zaman kanak-kanaknya meninggalkan dirinya.
"Mar..."
"Dah lah mak. Orang dah buat keputusan. Orang tak terasa hatilah. Adatlah bertemu ada berpisah. Pastu kecewa, menangis, frust menonggeng. Orang ok nanti, percayalah." Mar meyakinkan ibunya untuk mengahwinkan Azi pada hari yang sepatutnya berlangsung perkahwinan dia dan Asrul.
"Mak dengan abah cuma tak mahu kamu sedih je Mar," balas Mak Beah hilang kata-kata.
"Siapa tak sedih mak, lagi 3 bulan nak kahwin..." Airmata Mar laju menuruni pipi. Asrul pergi ke Iraq atas urusan kerja, dan perjalanannya terus bertemu Ilahi.
2 comments:
ap ni. awat la suma mati time ni. bila nak kawen kalu cmtu
i tak tahu nak buat macam mana nak kasik hidup kehkehkeh...
Post a Comment