Saturday, August 31, 2013

SKANDAL: 3

"Datuk, its late already. Bila kita nak balik ni?" tanya Suraya pada bos yang mengheretnya ke hulu ke hilir kononnya atas urusan perniagaan.
"I don't think we could make it per schedule," jawab Datuk Roestam sambil terus menulis dalam diarinya. Wajahnya kekal serius. Dari mula perbincangan sehinggalah selesai, dia cukup fokus. Suraya juga tidak berapa diendahkan, hanya sekali sekala menyuruh mengambil dokumen dan mencatit perkara penting.
Suraya leka memerhati Datuk Roestam. Berdetik dalam hatinya, 'kalaulah masa mula-mula kenal dulu berkaliber macam ni, sumpah cair hati aku.' Suraya tersenyum sendiri.
"What are you smiling about?" Tanya Datuk Roestam melihat telatah Suraya. "Please bring me some coffee".
Suraya bangun dan berjalan menuju ke arah teko yang diletakkan di hujung meja. Malangnya, kopi yang disediakan habis. "Datuk, dah habislah. Nak saya keluar pergi beli atau..."
"Nevermind," pintas Datuk Roestam tak memandang.

Suraya tidak kembali ke tempat duduknya. Dia terus berjalan mengelilingi bilik mesyuarat yang menempatkan hanya sekadar mereka berdua. Dilihat di luar tingkap, pokok kelap meliuk lentok ditiup angin kencang. "Hurm, ribut rupanya, takkan la nak kena bermalam dekat sini?" bicara Suraya sendiri.
"Nak stay overnight dekat sini ke? Bilik dia quite good juga, selesa. Nak-nak lagi masa ribut macam ni," sampuk Datuk Roestam sambil tersengih kambing. Namun matanya kekal lekat pada diari yang sedang ditulis. "Kalau you nak, I book kan bilik eh?" Datuk Roestam terus mencapai telefon yang disediakan di atas meja, mendail singkatan untuk Receptionist.

Melihatkan tindakan Datuk Roestam, Suraya berlari ke arah telefon yang digunakan, cuba merampas gagang yang dipegang. "No need Datuk, saya prefer kita balik," jawab Suraya sambil memandang tepat ke mata Datuk Roestam.
"Ok... But please let go of my hand dear," jawab Datuk lembut sambil matanya melirik ke arah tangannya yang digenggam kemas oleh Suraya.
Cepat-cepat Suraya melepaskan tangannya. Malunya dia tuhan saja yang tahu. Kalau sebelum ni Datuk Roestam yang gatal bergesel dengannya, sekarang dia yang bertindak serupa. Lebih teruk, tangan Datuk Roestam dia terkam terus. "Halus tangan you," ucapan yang terpacul daripada mulut majikannya, sambil menghidu pada tempat yang dipegangnya. "Wangi," sambil dirinya diperhati menyeluruh, atas dan bawah.

***
Datuk Roestam memandu Harrier nya melebihi had laju biarpun dalam keadaan hujan. Sepanjang perjalanan dia tersenyum sendiri. Dia tak menyangka Suraya bertindak memegang tangannya semata-mata untuk menghentikan panggilan yang cuba dibuat. Tambah kelakar apabila Suraya kini ibarat disumpah sang kelembai selepas dia memuji wangi tangannya. Disuruh ambil telefon, diambilkan. Disuruh masuk dan tunggu dalam kereta, diturut penuh patuh. Mujur tak diajak bermalam bersama, ada juga nanti keluar dalam akhbar 'Seorang Ahli Perniagaan Ditangkap Bersama Setiausaha.' Untung juga, dapat kahwin free. Datuk Roestam hakikatnya senang dengan kehadiran Suraya sebagai peneman. Suraya penuh dengan batas. Tak cuba mengambil kesempatan seperti lain-lain kakitangan cantik yang pernah dia pilih untuk menemaninya. Tak kurang juga yang menawarkan lebih daripada yang sepatutnya. Datuk Roestam pula jenis yang tidak menghampakan, orang dah offer urut 1 badan percuma takkan nak tolak. Tapi cukuplah sekali, lain kali nampak murahan sangat pula maruah dia. Lauk dah berusik pun takkan nak hadap lagi. Kerana sikapnya itulah mendorong dia cuba merapati Suraya. Teringin dia merasa gadis manis penuh tertib dan ayu macam Suraya. Tindakan Suraya memegang tangannya tadi memang mengejutkan, menambahkan lagi keinginan jiwa Datuk Roestam. Dia meletakkan tangan yang dipegang Suraya di bawah hidungnya, melindungi mulut yang sedang senyum melebar.

"Datuk, jalan licin. Pegang stereng tu," Suraya bersuara tiba-tiba. Hatinya bersarang risau. Risau dengan tindakan bodohnya tadi, risau dengan reaksi Datuk Roestam yang tak sudah-sudah senyum dan sekarang dengan gaya pemanduan macam pelesit sambil pegang stereng sebelah tangan. Sudahlah hujan lebat, tengah malam pula tu.
"Not to worry, I dah biasa," jawab Datuk Roestam selamba.
"But I'm not! Look, this job is not even being mentioned in my offer letter. And now even my life is in danger!" Suraya melenting tak semena-mena.
"You choose to say yes and follow me, right?" Soal Datuk Roestam kembali, kekal selamba.
"Setidak-tidaknya bertanggungjawablah atas nyawa staff sendiri!" Betah Suraya.
"I am now. You tak nampak I tengah memandu penuh hemah ni?" Datuk Roestam kembali memegang stereng dengan kedua belah tangannya, tapi kelajuan pemanduan ditingkatkan.
"Its too fast dammit..!!" Suraya melibaskan beg tangannya ke arah Datuk Roestam. Dia tak peduli kalau pun dia dipecat selepas ni. Ketakutannya sudah tak dapat dibendung.

Tindakan Suraya menyebabkan Datuk Roestam hilang kawalan. Kereta yang dipandu majikannya membelok tajam ke kanan. Datuk Roestam memijak brek kuat, kereta yang dinaiki berpusing 360 darjah di tengah-tengah lebuhraya. Suraya menjerit, menutup telinga dan memejam rapat mata. Wajah Datuk Roestam cemas, stereng dipaut kemas cuba mengelak daripada melanggar pembahagi jalan. Harrier tersebut berhenti setelah membuat 2 pusingan lengkap, kini menghadap arah bertentangan.
"Are you trying to get both of us killed??!! Is that what you want?!" Tengking Datuk Roestam. "Stupid woman."

***
Suraya diturunkan di hadapan rumahnya. Selepas kejadian yang menakutkan itu, Datuk Roestam diam membatu. Wajahnya bertukar bengis menahan marah sehinggakan Suraya takut untuk bersuara, apatah lagi meminta maaf.
Dia melangkah longlai menuju ke pintu. Kunci rumah dicari dalam beg tangannya. Belum pun sempat dijumpai kunci rumah, telefonnya berbunyi, ada sms masuk.

Get a week leave. Tell Hashim.

Bahang bakal dipecat sudah muncul. Nampaknya esok Suraya perlu kembali membeli akhbar Harian Metro, mencari kerja kosong.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone



Tuesday, August 27, 2013

Pesan Pantas

Aku nak cakap ni mudah sahaja.

Abah pernah cakap, kalau dilayan orang bodoh perangai, kita pun sama bodohnya.
Sebab apa?
Orang cerdik perangainya tak sama dengan yang tersebut diatas.

Sebab tu kalau ada orang provok, kita hadap je depan-depan.
Tak payah gebang kiri kanan harap orang jadi sayap, harap orang tolong pukulkan.
Sakit hati mulut dia celupar?
Lempang je se-das. Apa nak takut?
Takut dia balas?
Lempang balik sampai lembik.

Maksud aku dekat sini,
kalau ada orang buat sakit hati tak payah canang satu dunia.
Kalau ada orang konon perli kita satu dunia,
tak payah buat benda yang serupa.

Orang lain bukan boleh buat apa.
Tolong jadi api bolehlah.
Tolong jadi air? Jangan haraplah.

Ingat.
Jangan berperangai bodoh lagi hodoh.
Ingat tu!

Saturday, August 24, 2013

Frust

Azi mendekati kakaknya yang duduk termenung di beranda rumah.
"Kakak..." tegur Azi perlahan.
"Hurm..." jawab Mar, terus melangut pandangannya entah ke mana. Azi duduk merapatinya. Cuba merenung sama, tapi nyata Azi tak melihat apa yang dilihat Mar.
"Kakak, takpe ke Azi kahwin dulu ni?" tanya Azi untuk kali yang entah ke berapa. Kakaknya sekadar tersengih. Begitulah reaksi Mar setiap kali diajukan soalan sedemikian. "Sungguhlah kakak, takpe ke ni?"
"Kalau aku kata aku tak suka, apa kau nak buat? Kensel kahwin macam tu je ke?" balas Mar. Nadanya bergurau tapi riak muka serius. Wajah adiknya nampak keliru antara mahu ketawa atau menerima respon Mar sebulatnya. "Kakak gurau jelah hehehehe.. Cuak jugak kau eh aku cakap macam tu," balas Mar sambung ketawa. Wajah ketatnya kini lembut dengan senyum. "Lain kali tak payah la tanya benda yang konfem macam ni lagi, faham?"
"Tak faham. Contoh lain benda yang dah konfem?" tanya Azi.
"Yelah, macam jadi ke kakak nak kahwin dengan Abang Asrul esok?" balas Mar sambung merenung ufuk. Hujung matanya berkaca.

***
"Mar, kan mak ada bagi handbag baru tu. Kenapa tak pakai?" Mak Beah membebel melihat perangai anak sulungnya yang asyik mengepit handbeg Sembonia buruk. Lusuh dah jadinya.
"Alah mak, takpelah. Nanti orang pakailah beg yang mak bagi tu. Lagipun tak sesuailah dengan baju-baju Mar," jawab Mar selamba.
"Alah, beg kau tu pon sesuai sangat agaknya dengan semua baju kau. Tukarlah Mar, abah kau pun bising dah suruh kau pakai handbag baru. Beg yang mak bagi tu pun abah yang suruh beli. Kan imej tu Mar. Dah jadi ketua, masih kepit beg buruk. Kalau kau tak malu, mak ni yang malu." Pening Mak Beah. Mar bukan anak yang degil, tapi kalau dipaksa perkara yang dia tak suka memang dia akan buat pekak.
"Iya mak. Mar tukar. Tunggu Mar beli yang baru ye mak," balas Mar terus memeluk ibunya daripada belakang. "Mar saaaayang mak sangat-sangat."
"Kali ni mak tak nak terpengaruh dah dengan peluk manja kau. Dah dah," Mak Beah cuba melepaskan diri dari anaknya, tapi semakin erat dia dipeluk Mar. Ketawa Mak Beah. Mar tersenyum.

Bukan Mar tak mahu menukar beg tangannya, tapi bag itulah tanda janji cinta Khairul padanya. Saat dia mendapat tawaran kerja pertama, Khairul menghadiahkan handbag yang dipakainya sekarang. Kata Khairul, "Nanti nak naik kerja taklah malu sangat awak tak ada beg tangan. Beli yang ni, tahanlah nanti sementara nak tunggu handbag baru atas dulang hantaran."

Gemulah Khairul. Orangnya baik, bersopan dan beriman. Allah sayang orang macam tu. Khairul ditemui tidak bernyawa waktu subuh oleh rakan serumahnya. Berita yang meluluhkan hati, tapi hidup mesti diteruskan. Mar meneruskan hidup, tapi berpegang pada kenangan.

***
"Wah Mar, lawa beg tangan. Macam ni barulah anak abah!" Pak Mail menepuk bahu anak bertuahnya. Cikgu pencen, memang imej betul-betul dia jaga. Dah bertahun dia bising, akhirnya Mar tukar juga beg tangan.
Mar sekadar tersenyum.
"Aii, abah puji pun muka kelat?"
"Ala abah, pencapaian kecik je la. Bukan naik pangkat pun kan," jawab Mar biasa-biasa. Cuba mempercepatkan kunyahan jemput bilis ibunya.
"Mar, abah rasa bertahun dah tegur beg lusuh Mar ni. Mak yang berlaki cikgu pencen pun tukar handbeg tiap-tiap tahun tau!" gurau abahnya.

Separuh hati Mar ibarat mati. Mati bersama handbag Sembonia lusuhnya. Kenangan dengan Khairul dia lepaskan. Setelah setengah dekad berpegang pada hadiah lusuh, dia gagahkan untuk mengambil langkah kecil. Dengan harapan langkah seterusnya tidaklah sesukar yang pertama. Azi yang menemaninya membeli beg tangan baru sekadar berdiam diri dan tidak terlalu mengajukan design yang pelik-pelik. Dia tahu adiknya faham getaran kecewa yang melanda dirinya. "Ok kan yang ni Azi?" tanya Mar. "Cantik dah tu kak, praktikal." Jawab Azi mudah.

***
"Beg awak. Awak anak Cikgu Ismail Alwi kan?" Seorang lelaki menyuakan beg tangan baru Mar.
"Iya. Terima kasih ye," jawab Mar, terus menyambut beg tangannya. Dia tidak perasan beg tangannya tertinggal di atas meja.
"Eh, tak kenal saya ke?"
"Maaflah, tak cam. Siapa eh?" Mar melihat lelaki di hadapannya dengan lebih teliti.
"Abang Asrul lah! Dulu kan abang selalu ikut cikgu pergi camping Pengakap?" Asrul memperkenalkan diri.
"Oh ye...! MasyaAllah, lainnya abang sekarang! Dulu kurus kedengking, sekarang dah bulat!" jawab Mar mesra.

Abang Asrul ibarat hero zaman kanak-kanaknya. Maklumlah beza umur 10 tahun, Mar belum sekolah, Asrul sudah mula aktif mengikuti ayahnya camping dan jamboree. Asrul antara ahli pengakap kesayangan ayahnya. Otaknya cerdas, berani dan ada sedikit nakal. "Lama tak nampak abang dekat kampung. Abang sorang je ke ni?"
Asrul sekadar tersenyum melihat Mar. Gadis kecil yang dahulu berlari ke pintu bila mendengar bunyi motornya kini sudah besar dan berkerjaya. "Mak dengan abah abang ada dekat belakang tu. Abang baru setahun balik semula sini. Sebelum ni jenuh pusing alam cari kerja."
"Abang kerja apa?"
"Carigali Mar. Ok lah, abang gerak dulu. Kirim salam Cikgu Ismail ye. Nanti kalau ada masa abang singgah rumah. Oh ye, cantik beg tangan tu. Pandai Mar pilih, suits you well!"

Mar pegang beg tangannya sambil pandang susuk Asrul yang berlalu meninggalkannya. Dia tersenyum sendiri, mengenangkan hero pujaan zaman kecilnya. Heronya kembali, dunia Mar turut berputar semula.

***
"Orang ok mak. Teruskan jelah dengan perkahwinan Azi. Life must go on," ucap Mar dalam nada kecewa. Kecewa kerana hero zaman kanak-kanaknya meninggalkan dirinya.
"Mar..."
"Dah lah mak. Orang dah buat keputusan. Orang tak terasa hatilah. Adatlah bertemu ada berpisah. Pastu kecewa, menangis, frust menonggeng. Orang ok nanti, percayalah." Mar meyakinkan ibunya untuk mengahwinkan Azi pada hari yang sepatutnya berlangsung perkahwinan dia dan Asrul.

"Mak dengan abah cuma tak mahu kamu sedih je Mar," balas Mak Beah hilang kata-kata.
"Siapa tak sedih mak, lagi 3 bulan nak kahwin..." Airmata Mar laju menuruni pipi. Asrul pergi ke Iraq atas urusan kerja, dan perjalanannya terus bertemu Ilahi.

Wednesday, August 21, 2013

SKANDAL: 2

Suraya tiba di pejabat betul pada waktu rehat. Kosong. Semua staff keluar makan. Suraya meletakkan begnya di tepi kerusi dan terus meletakkan kepalanya atas meja. Lesu. Penat menahan rasa takut. Matanya dipejam, cuba untuk terlelap seketika sehingga tamat waktu rehat.
"Dah kenyang makan apa tadi dengan Datuk?" Suara Hashim memecah sunyi.
"Oh En. Hashim... Saya..."
"You should let me know yang you keluar dengan Datuk Roestam. Boleh lah saya prepare alasan apa yang patut kalau ada visitors datang," terang Hashim.
"Saya ingatkan Datuk dah cakap dekat En. Hashim dia mintak tolong saya temankan dia pergi discussion. Tak tahu pulak dia tak cakap apa-apa," terang Suraya.
"Ni, Datuk Roestam minta nombor handphone you ni. Should I give it to him or not?"
Soalan Hashim membuatkan Suraya tambah resah. Baru sekali dia terpaksa ikut Datuk Roestam, dah sekarang nak nombor handphone pula. Habislah hidup Suraya lepas ni, 24 jam diganggu si gatal tu.
"Hey, berangan apa? Datuk tu tak ganggu you lah malam-malam. Dia tu takut bini," sergah Hashim.
"Kalau tak bagi, boleh tak En. Hashim?" Tanya Suraya minta kepastian.
"Boleh je, tapi sebab saya ketua bahagian sumber manusia dan saya ada hak atas maklumat peribadi awak..." Hashim sengaja tidak mahu menghabiskan ayatnya.
"Ikut En. Hashim lah. Sekurang-kurangnya saya tahu dia minta daripada siapa." Suraya pasrah. Sakit hati juga dia pada ketuanya, seolah-olah sengaja menjual dia kepada Datuk Roestam.

***
Orientasi Suraya berlalu lancar tanpa gangguan. Selepas percubaan Datuk Roestam yang agak menyeramkan 3 minggu lepas, dia tidak lagi melihat kelibat orang tua itu. Suraya sendiri tak pasti ketuanya memberikan nombor telefonnya kepada Datuk Roestam atau tidak. Tapi itu bukan bermakna hidup Suraya tenang aman damai. Setiap kali telefonnya berdering, dia bagai disergah jembalang. Berderau darah. Kadang-kadang dia berdoa juga biarlah Datuk Roestam bagi mesej atau telefon. Setidak-tidaknya dia boleh pastikan yang Datuk Roestam dapat nombor telefon dia. Pernah sekali dia tanya pada bosnya untuk kepastian tapi yang Hashim jawab, "Datuk Roestam tak bertepuk sebelah tangan rupanya. I'll let him know." Kurang sopan punya Hashim.
"Letak lagu Bara Bara Berre lah," gumam Suraya sendiri, cuba menetapkan nada dering khusus untuk nombor telefon Datuk Roestam. Selesai.

Bara Bara Bara
Berre Berre Berre
Bara Bara Bara Berre Berre Berre Berre


Belum pun sempat telefon bimbit diapa-apakan, berdering dah panggilan daripada Datuk Roestam. Kelam kabut Suraya menjawab, takut dipandang pelik rakan sepejabat. Menyesal pula set lagu tu, beria sangat bunyinya.
"Hello..!" Suraya jawab, nada ceria.
"Hello there. Suara you full of sunshine dear. Happy working with the company I guess?" teka Datuk Roestam.
"Aaa... Indeed" balas Suraya sambil tepuk dahi.
"Hurm..? Or actually you miss me already?" Tekaan Datuk Roestam yang sememangnya salah. "I want to apologise sebab tak bagitahu U and buat U ternanti-nanti untuk teman I pergi meeting. Tapi nevermind, please be ready sebab lepas office hour ikut I pergi hi-tea. As previous and please put some make up and spray parfum nicely. See you later," Datuk Roestam letak telefon. Belum sempat Suraya bertindak, otaknya pun tak sempat nak hadam apa yang Datuk Roestam.
"Looking at your face like this, mesti yang ditunggu dah telefon kan? Senyumlah sikit," usik Hashim bila dia nampak Suraya berwajah kelat.

Hi-tea di Port Dickson dan settle lewat. Let your special someone know in advance if any.

Mesej Datuk Roestam membuatkan Suraya menganga.
"Hurm, kena kerja lebih masa ke? Next time, bring along extra pair of clothes. Pernah ada staf yang dulu balik keesokan paginya. Sekadar tips berguna," ujar Hashim sambil berlalu pergi.

***





Monday, August 19, 2013

Rindu Ombak

sobs... sobs... sobs...

Lina menoleh ke belakang. Dilihatnya Izzah tengah menangis.
"Aku rasa macam aku je Izzah yang dalam tv ni," ngongoi Izzah tak semena-mena bila diperhati Lina.
Setiap kali menonton Ombak Rindu, maka setiap kali itulah Izah menangis bagai nak rak. Terkesan sangat dia dengan watak wanita tak berdosa tapi diperlakukan bagai sampah di atas muka bumi bertuah kurniaan Ilahi.

"Eh beb, kau rasa ada ke Haris untuk kau kat luar sana tu? Rentikanlah berangan macam ni, " keluh Lina.
"Tapi kau tak paham perasaan Izzah tu Na haaa haaaa waaaa...." makin galak Izzah meratap. Gaya mati mak pun ada. Parah.

***
"Izzah, pagi ni saya punya meeting pukul berapa ya?" tanya Encik Haridz pada setiausahanya.
"Pukul 11.30 - 12.30 encik. Ada apa-apa lagi Encik Haridz?" jawab Izzah ala Maya Karin.
Haridz pandang Izzah tepat pada wajahnya. Ditenung cukup-cukup. Tangannya diangkat seolah mahu menyentuh wajah Izzah tapi sekadar diraup pada dagunya sendiri. "Kenapa eye bag awak pagi ni ketara sangat eh? Tudung pun senget sikit. Tak sihat ke?"

Izzah bagai dipanah arjuna. Jantungnya berhenti berdegup. In english it says 'heart skip a beat'. Sungguh.

***
"Lina, kenapa Encik Haridz bos aku tu dah kahwin ek?" soalan lamunan tengah malam Izzah kepada teman serumahnya.
"Sebab... Dia itulah hero Omba Rindu kau!" jawab Lina penuh patriotisme. Iya, Lina menyindir sebenarnya.
"Itulah, aku pun rasa macam tu," Izzah menjawab dalam angau.
"Woi!!!" Lina lempar bantal ke Izzah. "Aku perlilah tadi tu. Kau tahu tak?"
Izzah mengeluh sendiri. Digosok-gosok kepalanya yang sengal selepas dihinggap bantal berhalaju tinggi. "Takpelah Lina, aku anggap kata-kata kau tadi tu doa untuk aku."
"Adoilah... mampos," keluh Lina.
"Alhamdulillah..." balas Izzah selamba.

***
"Report tahunan tu dah siap?" pertanyaan Haridz mengejutkan Izzah.
"Oh Encik Haridz. Errr... dah siap. Ini dia," Izzah menyuakan laporan yang lengkap dijilid. Haridz menyambut tapi Izzah tak lepaskan. Ditenung wajah bosnya yang berkulit gelap, berambut keriting, berkumis nipis dan berdahi luas. Ditenungnya dalam-dalam. "Oh, maaf Encik Haridz. Ini dia."

Haridz tersenyum, dia semacam perasan yang Izzah ada menaruh hati padanya. "Hurm... Izzah, tegahari ni kita makan sama-sama. Ada benda saya nak discuss," gaya tak ubah macam Aaron Aziz.
Belum sempat Izzah menjawab pelawaan Haridz, masuk serang wanita manis berbaju kurung corak batik, "Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam. Eh, Milah..!" Haridz cuba cover gatal, tapi tak sempat.
"Abang ni, buat-buat terkejut pulak. Kan kita dah janji nak lunch sama-sama hari ni?" Puan Milah tersenyum manis, terus merangkul tangan suaminya.
"Takpelah Izzah ye, saya pergi dulu." Haridz memandang wajah Izzah terkulat-kulat.

Izzah terduduk. Sekali lagi jantungnya berdegup kencang. Tangan kanannya diletakkan di dada. Dia mencapai telefon dengan tangan yang satu lagi, terus mendail nombor telefon Lina.
"Ada apa Izzah?" sapa Lina tanpa salam.
"Ya Allah... Lina, aku rasa nak pitam weyh..!"
"Eh kenapa ni??" Lina cemas.
"Bos aku Encik Haridz..."
"Bos kau kenapa weyh??" Lina memintas.
"TAK SERUPA LANGSUNG DENGAN AARON AZIZ..! NAK MUNTAH AKU...!!"
"Kahkahkahkahkah...!!" Lina terus ketawa. Terus ketawa hingga 7 hari berikutnya.

Friday, August 16, 2013

Hikmah

Hidup Adi jadi pincang. Kepalanya pening. Tak pernah dia menyangka rasa cinta yang penuh dalam hatinya kini membakar jiawanya sendiri. Bulan Ramadhan, saat semua orang berkumpul berbaik-baik, saling memohon maaf dan melupakan dendam silam kini menjadi bulan bertitik hitam dalam hidupnya. Semalam, saat menjamah kurma untuk berbuka puasa hari ke 2, isterinya Zara meminta untuk dilepaskan daripada ikatan perkahwinan yang baru sahaja dibina. Kahwin belum separuh abad. Puteri kesayangan Adi belum pun pandai berjalan.

"Fikirlah baik-baik Zara. Mesti ada penyelesaian," luah Adi.
"Saya dah fikir masak-masak. Saya tak nak selamanya hidup kita macam ni. Takkan sampai bila-bila saya kena bantu abang. Saya kena susah payah kerja. Ini Aina belum sekolah lagi. Duit beli susu Aina pun abang berhutang dengan saya," keluh Zara. Dia tegar tidak memandang wajah suaminya. Hatinya tekad.
"Allah.... Zara, abang kerja juruteknik je. Iya, memang makan pakai kadang-kadang Zara kena bantu. Iya abang mengaku abang pinjam duit Zara, abang tak pulang pun lagi. Tapi Zara.... fikirlah, apa yang Zara nak setakat ni yang abang tak tunaikan...? Nak kenduri kahwin meriah, abang bagi belanja. Nak rumah sendiri, abang dah usahakan. Ni sekarang ni, kan kita dah duduk rumah sendiri. Lagi besar dari dulu kan? Nak beli kereta, pun abang tolong carikan. Padahal kalau nak ikutkan, tak perlu pun kereta lagi satu. Abang boleh rempit je pergi pejabat, Zara bawaklah kereta tu," bergenang airmata Adi. Dia mahu isterinya jelas dengan pengorbanannya. Dia mahu Zara tahu dia juga punya batas dalam menunaikan segala kemahuan isterinya.
"Itu kereta awak, bukan kereta saya. Lagipun, kalau beli barang-barang komputer dengan fotografi, awak tak pernah berkira pulak eh!" balas Zara keras.

Adi kelu. Dia tahu, walau macam mana sekalipun dia cuba menyedarkan isternya, untuk malam itu dia tetap akan gagal. Adi juga sedar, dia pernah tersilap dalam perkahwinannya. Hanya sekali. Hanya sekali dia mengadu tentang beban hidup yang ditanggung kepada Miza, bekas rakan sekolahnya dahulu. Itu pun secara tidak sengaja. Kebetulan mereka berjumpa ketika Miza melakukan lawatan kerja di tempat Adi bertugas. Sekadar perbualan ringkas, mereka bertukar nombor telefon. Satu hari ketika Zara membentak dek kerana Adi kesempitan wang, Adi bertindak keluar dari rumah dan menghubugi Miza. Niat Adi hanyalah mahu lebih memahami sikap wanita, manalah tahu kalau-kalau Miza mampu menolong. Setidak-tidaknya mendengar luahan Adi. Adi tersilap langkah. Miza keesokannya menghantar mesej teks bertanya khabar rumah tangga Adi sambil bergurau. Kata Miza; Di, kahwin dengan I jelah. Kitakan dah kenal lama :). Semenjak daripada itu, hubungan Adi dan Zara bertambah keruh. Miza juga turut dihambat Zara.

"Ibu dengan Ayah saya dah tahu. Awak tinggal bagitahu Mak dan Abah," pesan Zara sebelum berlalu meninggalkan Adi seorang diri termangu menghadap juadah berbuka.
"Awak....." bicara Adi sendiri. Tak tinggal sikit pun rasa sayang Zara pada dirinya. Buat pertama kalinya Adi merasa kurma yang manis bertukar kelat. Dia bangun meninggalkan meja makan, meninggalkan not RM20 dan mengambil kunci kereta. Dia mahu pulang ke kampung. Sebelum keluar dia menjenguk ke dalam kamar tidurnya, Zara leka mendodoi Aina. "Abang nak balik kampung. Esok abang balik sini semula. Ada duit atas meja untuk beli lauk berbuka esok. Jaga diri elok-eloklah." Adi kekal berdiri di muka pintu untuk beberapa ketika. Harapannya Zara datang padanya, salam dan cium tangannya. Paling tidak, toleh memandang wajahnya sambil tersenyum.
"Em yelah." Zara terus mendodoi Aina. Dia hanya sedar Adi telah keluar melalui bunyi deruman enjin kereta.

***
"Maafkan Along ye Mak, Abah. InsyaAllah ada masa Along balik lagi. Doakan rumahtangga Along ye mak." Airmata Adi tumpah saat Mak mengucup ubun-ubun kepalanya.

Dahulu sewaktu bujang, Mak yang akan bersusah payah menyediakan persiapan raya Adi. Hampir setiap hari Mak telefon Adi, mengejutkan bangun bersahur. Setiap kali waktu berbuka ditanya lauk yang dimakan, diingatkan untuk kekal berterawikh di surau terdekat. Mak mahu Adi sama-sama merebut ganjaran dan pengampunan bulan Ramadhan. Tapi sesudah Adi berkahwin, Mak dah tak telefon kejutkan dia bersahur. Mak serahkan bulat-bulat persiapan raya Adi kepada Zara. Mak tak tanya khabar Adi, tapi Mak akan telefon Zara. Hubungan Mak dan Zara ibarat anak beranak. Ada masa Adi juga naik cemburu. Mak seolah-olah tidak kisah kalau setiap kali hari raya, Syawal ke 3 barulah mereka sekeluarga tiba di rumah Mak dan Abah. Baru Adi sedar, setakat dia berkahwin belum pernah sekalipun dia bertakbir bersama-sama Mak dan Abah. Dia sibuk membantu keluarga Zara memasang pelita, berkejar ke kedai membeli kelengkapan memasak untuk lauk pagi raya, tak tidur malam merebus ketupat, berpenat lelah mengacau dodol.

"Ini, kirim ke Zara dan Aina. Selagi Adi tak buat apa-apa keputusan, Zara masih menantu Mak. Kalau berpisah sekalipun, Aina tetap cucu Mak." Mak menghulurkan mangkuk tingkat yang dalamnya ada nasi putih, ayam masak kicap, sayur kacang panjang dan suhun goreng dan ikan kembung goreng sambal.

"Along, sembahyang jangan tinggal. Susah macam mana pun, sembahyang kena jaga. Ingat Along, kalau kita tak ingat Allah, bila-bila masa je Allah boleh lupakan kita," pesan Abah ringkas tapi cukup menyentap rasa.

Adi pulang semula ke rumahnya. Sudah diluah kepincangan rumahtangganya. Sudah ditanya pendapat Abah dan Mak. Adi tahu hati orang tuanya terluka, tapi sikap mereka cukup terbuka. Abah kata, "Kalau Along dah tak mampu nak kawal sikap Zara, kalau Along sendiri dah asyik biarkan Zara buat sesuka hati dia, baiklah berpisah sebelum kamu berdua dimurka Allah." Mak cakap, "Mak kalau boleh tak mahu kamu berdua bercerai berai. Susah nak besarkan anak. Entahlah Along, ikutlah cakap Abah. Mak reda."

***
Zara termenung sendiri. Hatinya sedih. Bukan terhadap Adi, tapi terhadap tulusnya hati Mak kepada dia dan Aina. Lauk kiriman Mak yang dijamahnya waktu bersahur tadi membuatkan dia teringat pada Mak. Lama Zara tak telefon Mak. Kalau pun dia dan Adi bermasalah, Mak tak pernah memandang buruk pada dirinya.

"Assalamualaikum Mak," sapa Zara saat telefon Mak dihujung talian berangkat.
"Walaikumsalam Zara. Zara dan Aina sihat?" Nada suara Mak ceria seperti biasa, tak berubah. Zara jadi tertanya sendiri sama ada Adi sudah beritahu atau belum tentang pergolakan mereka.
"Alhamdulillah sihat. Mak, terima kasih kirim lauk semalam. Boleh buat sahur."
"Baguslah. Nanti kalau Zara ada masa lapang baliklah rumah Mak. Boleh kita buka puasa dan sahur sama-sama. Dapat Mak dan Abah jumpa Aina sekali." Ucapan Mak yang tidak sekalipun menyebut nama Adi membuatkan Zara pasti bahawa ibu mertuanya sudah mengetahui perkara sebenar. Hati Zara semakin sedih. Tulusnya kasih sayang Mak.

"Mak, maafkan Zara ye mak," ucap Zara sedu sedan. Airmatanya mengalir laju tak mampu ditahan. Dia menangis kerana lemahnya dia dalam mempertahankan perkahwinanannya. Dia menangis kerana malu kepada wanita yang lebih tua tetapi lebih gagah mengharung susah payah hidup. Dia menangis kerana takut akan kehilangan kasih sayang ibu bukan yang menyusukannya tetapi menerimanya lebih daripada anak sendiri.

"Zara, Mak pun ada anak perempuan. Mak pun sedih kalau anak perempuan mak suaminya berhutang dengan dia. Mak pun marah kalau anak perempuan mak hidup susah bila dah kahwin. Mak pun tak senang kalau anak perempuan mak ditumpang suami. Mak harap Zara ketepikan emosi, fikirlah dengan rasional. Mungkin Adi perlukan teguran daripada Zara. Mungkin Zara perlukan bimbingan daripada Adi. Tapi mungkin kedua-dua perkara itu tak berlaku. Allah nak uji kita semua Zara. Berdoalah minta kita dilindungi daripada hasutan syaitan." Kata-kata Mak menyentuh hati Zara. Dia sedar dia dan Adi semakin hari semakin menjauh. Mereka menjadi kurang prihatin. Kewujudan mereka bukan lagi untuk mendampingi apatah lagi melengkapi.

"Mak, maafkan Zara ye mak. Zara.... Zara dah cuba tapi Zara rasa dah tak mampu lagi mak."
"Mak tak pernah simpan salah Zara. Zara kalau berpisah dengan Adi, Mak tetap sayang Zara dan Aina. Kita tetap keluarga," balas Mak ringkas. Zara hilang kata-kata. Mengucapkan salam juga dalam sedu.

***
"Assalamualaikum mak...!" ceria suara Yati menelefon Mak. Hanya 100 km sahaja lagi dia akan tiba ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
"Walaikumsalam." Suara lelaki yang menyahut. Yati pandang skrin telefon bimbitnya, khuatir tersalah mendail. Maklumlah telefon berskrin sentuh, kadangkala nak didail orang lain tapi jari tersilap sentuh.
"Siapa ni eh?" tanya Yati.
"Along lah ni. Mak tengah solat dhuha. Kau jauh lagi ke nak sampai?" balas Adi.
"Eh Along....? Tak pernah pun sambut raya dekat kampung, apa mimpi kau Long?" balas Yati separa menyindir. Setiap kali aidilfitri semenjak Adi berkahwin, dia lah anak jantan di rumah. Mengarak Mak ke pasar, mengangkut Abah membeli daging dan mengemas rumah dan dapur dengan Dik Wa.
"Tahun ni aku sambut dekat sini. Ngah, kau sampai sini nanti anyam ketupat, aku dah beli daun. Dah, bawak kereta tu elok-elok. Nanti Along sampaikan salam kau pada Mak. Kau dah dekat mana tu?" tanya Adi sekali lagi.
"Lagi 2 marhalah sampailah aku. Kirim salam semua, bye..!"
Yati pelik sendiri. Tak pernah dalam hidup Along akan begitu lembut hati untuk balik sambut raya di rumah. Setiap kali raya, mesti ada saja alasan yang Along berikan. Alasan seperti biasalah, menolong mertua sebab dia satu-satunya menantu lelaki. Macamlah Kak Zara tak ada adik beradik lelaki yang dah besar.

Cuma 1 jam, Yati selamat tiba di perkarangan rumah Mak dan Abah. Yang kelihatan cuma kereta Dik Wa dan Kancil 850 kesayangan Abah. "Kata sambut raya dekat kampung. Lesap dah kereta tu, balik kampung Kak Zara lah tu. Tahniah Yati, sekali lagi jadi anak jantan raya tahun ni," keluh Yati sendiri.
"Makkk...!! Kak Ngah dah sampai...!!" laung Dik Wa. 
Melihatkan wajah Dik Wa, Mak dan Abah membuat Yati berhenti memikirkan tentang Along nya. Dia kalis dengan sikap Adi. Kalau masa mula-mula sambut raya dulu memanglah sakit hati, tapi sekarang dia tak kisah. Malah dia sendiri yakin akan berasa kekok kalau Along ada sambut raya sama-sama.
"Syukur Angah dah sampai. Lengkaplah ahli keluarga kita tahun ni," ucapan gembira Mak.
"Kak Ngah, Along dah siap kemas rumah tau...! Daging semua dia dah potong untuk masak rendang. Sampaikan sayur untuk lodeh Mak pun dia dah siapkan. Senang lenanglah kita tahun ni Ngahh...!" sampuk Dik Wa.
"Senang lenang sangat la kan. Dah ketupat tu aku jugak kena anyam. Along dah gerak ke rumah Kak Zara ke? Tak nampak pun kereta dia," tanya Yati.
"Eh, Along pergi kedai lah. Cari ais krim soda dengan susu cair. Petang ni kita buka puasa dengan sirap bandung special...!" balas Dik Wa penuh teruja. 
"Kak Zara dengan Aina mana? Ikut Along pergi kedai jugak ke?" tanya Yati lagi.
Kali ini semua orang sekadar tersenyum, diam menyembunyikan sesuatu.

***
"Along, kalau aku jadi Kak Zara, aku pun tinggalkan kau Long," luah Yati selamba sambil menganyam ketupat. Tak sedikit pun dia rasa bersalah melemparkan kata-kata mengguris hati abangnya.
"Angah...!" tegur Abah keras.
"Kak Ngah, kita tak tahu cerita sebenar. Jangan la hukum macam tu sekali," sampuk Dik Wa.
Mak sekadar memandang ke arah Along. Along diam membatu, menyiapkan air bandung istimewanya sebagai juadah berbuka petang itu.
"Wa, cuba kau fikir. Kau nak ke laki kau nanti tumpang kau bila dah kahwin? Kau mampu ke kalau laki yang ada tak boleh nak di buat sandaran?" luah Yati tanpa tapis. "Kau kena baiki diri kau Long kalau kau nak betulkan hal ni. Aku secara peribadi memang setuju dengan Kak Zara. Tindakan dia betul. Kau pun selalu ikut je apa yang Kak Zara nak. Aku tahu kalau Kak Zara kata 'balik kampung saya' kau pun 'yelah, kita balik kampung awak'. Sekarang kau sedar dah kan? Tatang sangat Kak Zara sampai Mak dengan Abah makan hati dengan perangai kau. Mungkin apa yang berlaku bukan doa Mak tapi Allah nak tunjuk apa yang dah kau terlepas dalam hidup."

Mak kesat air mata dengan hujung lengan baju. Diam tak bercakap. Abah buat-buat tak dengar, sekadar merenung surat khabar. Dik Wa senyap terpaku. Adi menyiapkan minuman yang dibancuhnya dan berjalan menuju ke meja makan. Terus Adi melangkah mengambil kunci keretanya, bergerak ke luar rumah.
"Nak ke mana Along? Balik KL semula?" tanya Abah.
"Taklah, nak pergi calarkan kereta Angah. Cakap dia betul, tapi sakit hati dibuatnya," balas Adi ringkas.
"Woiihhh..!!!" kelam kabut Yati berlari cuba menyelamatkan keretanya.
Adi tersengih, terus berlari dikejar Yati. Mak dan Abah tersenyum sendiri. Dik Wa tergelak. Perangai anak-anak kalau berkumpul tak pernah berubah. 

Mungkin Adi gagal kali ini, tapi Mak dan Abah kembali gembira. Mungkin Yati terlalu berterus terang, tapi jujur dirinya adalah sifat mulia. Mungkin Zara tak mampu bertahan, tapi pasti dia akan lebih menghargai erti kasih sayang di kemudian hari. Kehidupan, semuanya penuh dengan hikmah. Cuma kita yang berpejam mata tidak mahu memandangnya.