Hujan renyai malam ni menemani Laila dan Farah yang menaiki motor dari stesen LRT Kampung Baru ke kolej kediaman mereka di pinggir Tasik Titiwangsa. Kolej yang suatu ketika dahulu pernah digemparkan dengan berita cubaan bunuh diri seorang sisiwi berpenyakit mental. Juga kolej yang sentiasa di bawah pengawasan merinyu kesihatan dek kerana wabak denggi yang tak pernah gagal menyerang penghuninya saban tahun.
Sedang khayal merempit bak pelesit kota, tudung Laila ditarik.
"Woi...! Jangan main tarik tudung..!" jerit Laila. Terganggu tumpuannya yang sedang cuba mencilok kereta sambil mengekalkan keseimbangan panduan tunggangan 2 roda.
Tak sampai 45 saat, Farah sekali lagi menarik tudung Laila. "Dah kau ni kenapa Farah?! Jatuh kang, tak pasal masuk HKL sebelah ni!"
Pelik Laila dengan perangai Farah malam ni. Sudahlah masa minta diambil daripada LRT tadi dia menelefon sambil menangis. Katanya Razif tak mahu jadi couple dia lagi. Dek kerana mengenangkan hati rakan yang sedang rawan, Laila gagahkan juga meredah sejuk. Ketika dijemputnya, Farah sekadar menunduk sambil tangan melekap ke hidung, kadangkala dikesat matanya. Saat helmet disua, Farah menyarung lantas terus menutup visor. Tak nampak pulak kalau ada kesan kena lempang sampai berbirat bibir atau lebam pipi cap 4 jari.
"Kau turun dulu. Aku nak parking dekat corridor," arah Laila ringkas. Turun sahaja Farah daripada motor, menonong dia ke kafe dengan helmet masih kemas di atas kepala.
"Hoi..!! Nak pergi mana?" soal Laila.
Farah sekadar melambaikan tangannya menunjuk ke arah kafe.
"Pelik betullah minah ni malam ni. Sebutir haram pun tak kelar daripada mulut." Laila memasang kunci pada tayar motornya. Tengkuknya dipegang kerana terasa sakit angkara Farah yang menarik tudungnya agak kuat semasa dalam perjalanan tadi.
Naik sahaja Laila ke biliknya di tingkat 4, lampu biliknya dihidupkan. "Dah berkelip-kelip pulak kau," leter Laila pada lampunya lantas mematikan lampu bilik dan sekadar menghidupkan lampu meja belajar.
Tiba-tiba pintu biliknya terbuka. Farah masuk, tangan kosong tanpa sebarang pembelian daripada kafe.
"Dah tak pandai bagi salam pulak dah. Kata tadi pergi kafe? Tak ada pape untuk aku ke?" sound Laila selamba.
Farah kekal diam membatu. Helmetnye di buka namun Farah kekal menunduk. Tudungnya ditanggalkan, lantas menampakkan wajahnya yang pucat. Tangan kelihatan sedikit menggeletar.
"Kau ni sejuk sangat ke?" Laila masih tak puas hati dengan Farah yang kekal membisu. Sakit pada tengkuknya semakin menjadi apabila dia naik marah. Bahunya diketuk-ketuk untuk sedikit kelegaan.
"Dahlah suruh aku ambik, time hujan, sejuk. Sekarang diam tak nak bercakap. Aku tanya tak nak jawab. Terima kasih pun tak ada. Celaka betul kan...?" hamput Laila tanpa berlapik. Suaranya juga kedengaran tegang.
Farah mengangkat mukanya memandang Laila. Farah tidak memandang pada matanya, tetapi pandangannya dilangutkan ke arah bahu Laila. Perlahan Farah mengangkat tangannya yang menggigil dan menudingkan jarinya.
"Bahu kau, ada monyet duduk. Sebab tu sakit."
***
"Celaka Laila. Yang datang sini pegi bawak teman tu apehal? Dah tahu nak ambik aku, lagi mintak teman dengan orang lain. Dah aku kena naik teksi. Macam haram..!" bebel Farah sambil menahan teksi di LRT Kg. Baru.
No comments:
Post a Comment