Ngauman enjin kereta Vios kedengaran di halaman rumah. Hanya seketika, enjin dimatikan dan pemandunya keluar. Berjalan perlahan dengan derapan sepatu Ferragamo memecah sunyi pekat malam. Kunci rumah dibuka.
'Assalamualaikum... Sayang..? Tak tidur lagi...?' Sapa Khalid kepada isterinya, Lisa.
'Kenapa abang tak bagitahu nak balik lewat... Sayang tunggu lama dah,' balas Lisa manja.
Tangan Khalid disambut mesra. Kelakuan Lisa tidak pernah berubah, sedari mula mereka berumahtangga. Walaupun pada awalnya Lisa seperti tidak mesra dan agak pemalu namun semakin lama perkahwinan mereka semakin normal seperti pasangan lain. Cuma mereka belum bertuah dikurniakan cahayamata lagi.
'Mengantuk dah ni, sayang tidurlah. Abang nak mandi dulu. Ada lagi kerja nak kena siapkan,' Khalid menghantar isterinya ke bilik tidur sebelum dia membersihkan badan dan seterusnya memerapkan diri di dalam ruang bacaan rumahnya.
Saat Lisa terjaga pagi itu, didapati Khalid tiada di sebelahnya. 'Sahlah, tertidur depan lappy ni.'
Perlahan dia menuju ke ruang bacaan, lantas mendapati suaminya tertidur di atas kerusi, sambil di sisi kira dan kanan terdapat fail-fail kes yang mungkin sedang dikaji untuk perbicaraan. Suaminya dikejut lembut, 'Abang, bangunlah... masuk bilik kalau nak sambung tidur.'
'Uhm... pukul berapa dah ni...? Subuh dah...?' tanya Khalid, masih memejamkan mata.
'Dah. Abang bangunlah sembahyang, saya uzur,' balas Lisa, terus berlalu ke bilik mandi dan seterusnya bersiap untuk ke pejabat.
Sebelum keluar rumah, Lisa telah menyiapkan bancuhan minuman oat perisa coklat dan lempeng pisang untuk sarapan. Begitulah rutin Lisa, alas perut pagi buat suaminya akan disediakan. Terpulanglah kepada Khalid samada mahu makan atau membiarkan sahaja di meja kerana kesuntukan masa ke pejabat. Jarang mereka bersarapan bersama, jika ada pun hanya pada cuti hujung minggu.
'Abang, sarapan ada atas meja ye. Lisa keluar dulu, tak nak terlambat.' pesan Lisa kepada Khalid yang masih di dalam bilik mandi.
Lisa lebih selesa ke pejabat menaiki LRT, sesuatu yang kurang dipersetujui oleh Khalid pada awalnya. Khalid boleh menghantar isterinya ke pejabat, kerana dia sedia maklum Lisa bukanlah pemandu yang cekap. Tambahan pula, tempat kerja Lisa di tengah-tengah bandaraya. Namun, akibat daripada beberapa kelewatan yang pernah terjadi kepada meraka berdua maka Lisa menawarkan diri untuk menaiki LRT ke pejabat. Penyelesaian terbaik untuk mereka berdua.
Meet me @Coffee Bean, as usual :-*
Lisa menghantar SMS ringkas saat turun daripada rumah.
***
'Abang....! Abang ni nak kemana lagi..?? Balik lewat malam, lepas tu pagi buta lagi dah keluar. Cuba la luangkan masa sikit dekat rumah ni dengan anak..! Ini semua saya yang kena settlekan...! Dah la anak bangun tengah malam saya yang bagi susu, awak balik tahunya tidur mati. Saya tak bolehlah macam ni..!' lantang suara Fila memarahi sikap suaminya, Kamarul.
'Abang kena kerja kan...? nak tanggung awak, Haikal lagi. Sudahlah, cepat sikit siap, saya hantar awak ke rumah Kak Nah. Pergi kerja awal sikit ye hari ni...?' pujuk Kamarul. Nyata matanya lebam dek kurang tidur. Dia bukan tidak sedar anaknya Haikal yang berumur 5 bulan itu merengek setiap malam kelaparan, cuma dia memang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk terus tidur dan bertenang.
'Saya pun kerja juga tau...! Awak jangan ingat awak sorang je yang penat..! Ni, Haikal ni bukan saya sorang je punya tanggungjawab, awak tu BAPAK DIA...!' Kemarahan Fila masih meluap-luap.
'Hafila, sudahlah..! Awak penat, saya pun penat... Cepatlah siap..' pujuk Kamarul, masih bersabar.
Merungut Fila apabila terpaksa bersiap lebih awal. Haikal dirangkul ayahnya, dipeluk dan dicium tanda sayang. 'Maafkan ayah ye sayang, ayah kena usaha kuat... Mama tak marah Haikal, dia marah ayah je,' bisik Kamarul lembut ke telinga anaknya.
Demi mengambil hati isterinya, kelengkapan Haikal dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kereta Viva biru pepsi miliknya. Kamarul menunggu isterinya di luar rumah, sambil mendukung Haikal yang sudah mula merengek, mahukan ibunya. 'Fila, cepatlah... Haikal ni dah tak selesa ni...! Abang pun nak kena cepat.'
Fila muncul daripada biliknya dengan muncung yang masih panjang sedepa, cuma kini bergincu. 'Pegang anak sekejap pun mengeluh! Itulah, lain kali abaikan lagi Haikal ni. Abaikan..! Biar awak tahu rasanya anak tak kenal bapak..!' Menonong Fila berjalan meninggalkan Kamarul di belakangnya.
Sebelum memasuki kereta, telefon bimbit Kamarul di poketnya bergegar. Ada SMS masuk. 'Aduh...! Coffee Bean lagi... Pokai aku macam ni...' Kamarul berkata kepada dirinya sendiri sebelum memasuki kereta.
***
The Coffee Bean & Tea Leaf Plaza Low Yat pagi itu hingar dengan pergaduhan rumahtangga. Orang ramai yang lalu lalang memerhati curi-curi, takut dilempar gelas kopi pasangan yang bertelagah. Pelanggan sedia ada membayar cepat dan berlalu pergi, tidak mahu dikaitkan dengan insiden memalukan sebegitu. Pengurus dan kakitangan kedai pula gagal meleraikan perbalahan yang marak ibarat api membakar daun kering.
Nampaknya pasangan yang berpacaran itu telah ketahuan oleh suami si perempuan yang datang kononya ingin membuat kejutan mahu bersarapan pagi bersama isterinya. Berdasarkan daripada yang didengari dek rintihan si suami malang, rakan sepejabatnya kerap terserempak degan si isteri yang membeli kopi di situ setiap pagi sebelum ke pejabat. Namun tanpa disangka-sangka, rupa-rupanya si isteri berpacaran dengan seorang lelaki lain yang lebih rendah status dan tiada kelebihan harta mahupun rupa. Mengalir airmata si suami malang sambil mengulang-ulang ayat 'Why u did this to me? why?' Namun perempuan si isteri itu tetap diam membatu. Tiada kata-kata maaf terucap daripada bibirnya, yang kedengaran hanyalah 'It's over long time ago, lets go somewhere else and talk.' Lelaki si kekasih gelap pula sekadar melihat dan kadangkala cuba melindungi wanita milik orang yang juga kekasihnya. Asal sahaja cuba menenangkan situasi, leher kemejanya dicekak kemas dan diajukan penumbuk oleh si suami malang.
'Jom la Marul, kita minum tempat lain. Takkan nak bincang sini, lagipun anak dengan isteri kau ada sekali,' Nabil mengajak Kamarul mengubah lokasi perbincangan projek usahasama rekabentuk dalaman pengubahsuaian Kondominuim Hillview.
Kamarul sekadar menurut, sambil digenggam erat tangan isterinya Hafila. Pandangan Fila masih lagi kepada pergaduhan pasangan di Coffee Bean itu. Tingkahlaku Fila terhenti apabila Kamarul mencuit dagunya dan mereka saling bertentang mata.
'Awak marahlah saya, sebanyak mana yang awak suka andai itu untuk kebaikan kita. Kalau awak tak marah, mungkin hidup kita tak berubah. Awak marah sebab awak sayang kan...?' tutur Kamarul lembut, sambil mengelap airmata yang gugur di pipi isterinya, Hafila.
1 comment:
konon isteri baik, tapi ad jantan lain. hehe..
Post a Comment