Alif = Bengis
Pak Mad Shauki = Penyabar
Begitulah dua watak yang amat berbeza, walau daripada keturunan yang sama. Alif akan mudah melenting dan marah walau atas perkara yang kecil. Walaupun hanya sekadar mahu membeli gula-gula hacks perasa limau mandarin, tetapi yang ada hanyalah perasa asli. Perkara itu pun boleh mencetuskan kemarahan Alif. Apatah lagi apabila ia melibatkan tingkahlaku sosial rakannya atau orang di sekeliling.
'Sabar Alif,' itulah pesan Pak Mad Shauki setiap kali didapati Alif naik berang.
Beruntungnya Alif adalah pada bapanya yang sentiasa menyabarkannya. Pak Mad Shauki (Pak MS), noja masjid, memang cukup penyabar orangnya. Kadangkala dek kerana tindakbalas amarah Alif, orang ramai mencari Pak MS mengadu hal. Turunlah orang tua tu, pergi mencari anaknya, dipeluk erat dan dibisikkan ke telinganya, 'Sabar Alif.'
Amarah Alif adalah satu-satunya masalah yang merungsingkan hati Pak MS. Iyalah, usianya semakin lanjut, siapa yang boleh diharap untuk menenangkan jiwa api anak kesayangannya itu andai dia dijemput Ilahi. Puas Pak MS memikirkan caranya, sehinggalah suatu hari ia mendapat akal bagaimana mahu mengajar Alif mengawal marah dan seterusnya mengetahui buruknya sifat amarah itu.
Pada suatu petang yang dingin, Pak MS memulakan projek membina dinding batu di belakang rumahnya. Alif tidak dibenarkan membantu sehinggalah dinding itu siap. Sesudah terdirinya dinding itu, Pak MS mengecat pula dengan warna biru air laut, warna kegemaran Alif. Alif kerap bertanya tujuan ayahnya membina dinding itu. Namun Pak MS hanya tersenyum seraya berkata , 'Ini adalah pelajaran buat kamu, percayalah nak.'
Dinding batu 12x6 kaki yang tersergam elok ditatap oleh dua beranak itu. Pak MS memandang kearah anaknya. Dihulurkan kepada anaknya seberkas paku 6 inci panjang dan sebuah tukul besi. Alif yang menerima dalam kehairanan bertanya, 'Untuk apa ni ayah?'
'Alif, ayah mahu Alif janji 1 perkara dengan ayah. Boleh?'
'Cakaplah ayah, Alif cuba.'
'Ayah tahu Alif susah nak kawal marah. Ayah faham keadaan Alif. Selepas ni, sekiranya Alif berasa marah datanglah ke dinding ini. Pakulah dinding ini dengan paku dan tukul yang ayah bekalkan. Ingat, Alif paku sampailah rasa marah Alif itu mulai reda,' pesan Pak MS panjang lebar.
'Alif cuba ayah. Alif cuba,' jawab Alif sambil dipasangkan niat untuk mematuhi pesan ayahnya.
Hari silih berganti, bulan bertukar ganti, tahun bertambah lagi.
Sewaktu awal kewujudan dinding batu itu, setiap hari sekurang-kurangnya sekali Alif akan memaku dinding batu itu. Ada juga kadangkala dipakunya berkali-kali dalam sehari. Namun semakin lama tampak perubahan dalam diri Alif. Sikapnya lebih disenangi rakan-rakan, dia lebih banyak bertenang dalam urusan seharian. Kini, dia tidak lagi memaku dinding itu sekerap dahulu. Sehinggalah Pak MS menyedari sudah hampir setahun Alif membiarkan dinding itu berdiri sendiri dengan tusukan paku yang telah dibenamkan.
Suatu hari, Pak MS berdiri bersebelahan dinding batu itu sambil menanti Alif pulang. Apabila melihat ayahnya tercegat berdiri, Alif terus menuju kearahnya.
'Alif, hari ni tolong ayah cabut paku-paku ni ye..?' pinta Pak MS.
'Kenapa nak cabut pula ayah?' tanya Alif.
'Kita cabut dulu, nanti ayah cerita.'
Kedua-dua beranak itu mencabut paku yang terbenam satu persatu. Cukup payah dan memenatkan namun mereka tetap meneruskan usaha yang telah dimulakan. Usaha mereka membuahkan hasil. Selonggok paku berjaya dikumpulkan dan keadaan dinding itu jelas berlubang dan sumpik hampir di seluruh permukaan. Permukaan licin dan rata yang bercat biru air laut hampir hilang seluruhnya. Perbezaan rupa dinding itu ditegur oleh Alif, 'Lainnya ayah rupa dinding ni. Jadi buruk.'
Pak MS memeluk bahu Alif dan menjawab 'Alif, beginilah rupa hati orang-orang yang menerima kesan daripada kemarahan kita. Rupa hati mereka tidak akan sama seperti sebelumnya anakku. Susah kan kita nak buang semua paku tadi?'
'Susah sangat ayah,' jawab Alif ringkas.
'Alif, setiap kali kita marah, ibaratnya sebatang paku kita tusukkan ke dalam hati mereka. Untuk mengeluarkannya kembali memerlukan usaha keras, namun hasilnya? Tetap kita tak mendapat yang serupa seperti sebelumnya,' terang Pak MS tersenyum.
~diolah daripada pembacaan terdahulu bersumber daripada laman maya Facebook. Cerita ini bukan saya yang punya, maka kongsikanlah~
No comments:
Post a Comment