Monday, March 18, 2013

KTM

Assalamualaikum. Perhatian kepada para penumpang tren Ekspres Senandung Malam, perjalanan daripada Tumpat ke Johor Bahru, tren akan mengalami kelewatan disebabkan masalah teknikal. Tren dijangka akan tiba jam 10 malam. Kami pihak KTM memohon maaf atas kelewatan ini. Terima kasih.

Pengumuman daripada Train Master stesen KTM pasir Mas membuatkan hati Zuli menjadi lebih panas. Ini merupakan kali pertama dia menaiki keretapi menuju ke Labis, Johor. Selalunya dia menaiki bas, namun kali ini atas pengaruh Nisaa yang kerap mengatakan menaiki keretapi daripada timur menuju ke selatan tanahair jauh lebih mudah dan selesa berbanding bas, dia terasa ingin mencuba. Nisaa dipertanggungjawabkan mencarikannya tiket. 
'Kau ingat, bagi aku yang selesa tau. Setakat bagi yang duduk, baik aku naik bas,' pesan akhir Zuli kpada Nisaa.
'Yelah, aku akan pastikan recommendation aku adalah yang terbaik..! Terima kasih keran memilih An-Nisaa Travel.' Nisaa memang kuat menyakat, kadangkala antara serius dan gurau macam tak ada beza.

Assalamualaikum. Tren Ekspres Senandung Malam akan tiba 5 minit lagi. Sila pastikan barangan tuan puan beraada bersama-sama. Diharapkan juga agar tuan puan berdiri pada platform yang telah ditetapkan bagi memudahkan urusan memasuki gerabak yang telah ditetapkan. Kerjasama tuan puan amat kami hargai dan terima kasih kerana memilih Keranda Tanah Melayu

'Aik..? Bergurau ke apa tren master ni..?' Zuli ragu-ragu dengan apa yang dia dengar. Namun apabila melihat brader gempal berjaket coklat yang duduk berdekatan dengannya membuat muka toya, maka dia sekadar menganggap apa yang didengarinya hanyalah khayalan. Lega. Tiket tren miliknya di belek sekali lagi. Koc: 3, Tempat duduk: 13 A.

***
Zuli duduk sambil melunjurkan kakinya di dalam ruang kecil bertilam yang ditutupi langsir. Dia sudah mula meregang-regangkan badan dan meenyelesakan diri. 
'Betol la macam Nisaa kata, selesa,' senyum Zuli sendirian.

SSRRREEETTTT...!!

'Oih..!! ape nih...??' terlompat Zuli apabila langsir ruangnya diselak pantas.
'Maaf, ini nombor 13 B kan..?' soal brader berjaket coklat. Iya, brader yang gempal yang duduk berdekatannya di stesen tadi.
'Bukan, ini 13 A,' jawab Zuli pantas.
Brader itu sekadar tersenyum. Manis, walaupun tidak cukup kacak dan mencairkan ibarat Adiputra.
'First time eh naik tren? ke first time beli tiket koc tilam?' soal brader tu kepada Zuli.
'Apehal pulak tilam-tilam ni...? Gila seks ke ape dia nih...?' Zuli bermonolog dalaman. Tiada jawapan yang terpacul daripada mulutnya.
'Adik, kalau A maknanya katil atas. Kalau B maknanya katil bawah. Adik dah salah bilik ni. Emmm..maksud saya tempat duduk,' terang brader itu jelas. Sejelas merahnya wajah Zuli yang baru tahu dia tersilap 'bilik'.

Zuli segera menyarung semula jaket Roxy miliknya dan mengangkat barangannya ke 'bilik' atas, namun apabila tiba giliran mengangkat beg besarnya, dia gumam. Tidak pasti sama ada mahu turut diletakkan dalam ruang kecil itu atau ditinggalkan sahaja di bawah.
'Takpelah, yang ini tinggal je tepi tangga, saya tolong tengokkan,' tawar brader gempal jaket coklat.
'Terima kasih,' balas Zuli. Dia kekal tercegat di tepi tangga yang perlu dipanjatnya untuk ke tempat sebenar dia dalam tren itu. 
Tingkahlakunya dipandang pelik oleh brader gempal jaket coklat. 'Kenapa tak naik lagi...? Takkan nak simpan barang je atas tu..?' soalnya.
'Ehmmm... Errr Encik masuk lah dulu, saya errr naik kemudian..' balas Zuli. Wajah merah padamnya cuba ditahan daripada terus menerus menjadi panas.
'Laaaa malu ke...? ok ok, saya pandang ke lain,' balas brader berjaket coklat lantas berpaling ke arah bertentangan sambil membuka tali kasut butnya.

Pantas Zuli mendaki tangga besi bersuhu 16 darjah Celsius itu. Sejuk. Sesampainya dia di dalam ruang yang lebih kecil itu, dia cuba duduk. 'Binawe Nisaa, bergurau nampaknya dengan aku ye. Nak duduk tegak pun tak boleh, sempit macam keranda. Chaih..!'
'Sempit macam keranda kan...?' tanya brader jaket coklat, betul-betul selang 1 saat selepas Zuli menyumpah Nisaa dalam hati.
'Tapi takpelah, orang banyak amal macam adik, tak takut kan...?'ujar brader jaket coklat itu lagi.
'Kenapa pulak tiba-tiba cakap pasal amal ni..? Nama saya bukan Amal encik,' balas Zuli, yang perasan dirinya dipanggil Amal.
'Bukan, maksud saya awak tu orang banyak amalan. Tidaklah takut nak duduk dalam tempat serupa keranda tu...' balas brader jaket coklat.
'Mana ada, saya biasa je kot,' balas Zuli, sambil memegang tudung yang dipakainya... 'Hurm, tudung pun senteng bang' ujarnya dalam hati.
'Saya tahulah, nama saya kan Raqib. Menjaga amalan manusia,' balas Raqib.

***
Perjalanan sudah berlalu 3 jam. Zuli cuba melelapkan mata namun gagal. Entah kenapa ruangnya menjadi semakin sejuk. Alas cotton yang dibekalkan oleh KTM tidak mampu mengekang kesejukan yang menusuk. Jaket yang dipakainya ditarik rapat dan kemas melekap di tubuhnya. Tak boleh jadi, sejuk terlampau. Dia cuba mengubah posisi tidurnya. Ahhh sejuk semakin menyengat. 
'Stesen Merapoh selepas ni ya. Stesen Merapoh,' suara konduktor tren sayup-sayup kedengaran di hujung gerabak.
Zuli nekad, dia mesti melaporkan kepada petugas keretapi tu, ruangnya terlalu sejuk. Zuli menyarung tudungnya dan langsir ruangnya di buka.

Gelap

Kosong

Zuli menutup semula langsir. Laju. Rapat. Badannya berpeluh. Kata-kata Raqib terngiang-ngiang di telinganya. 
'Takkan ni keranda aku? Bila aku mati?' soal Zuli sendiri dalam nafas yang kencang. Seperti terbayang di depan mata apa yang telah dilakukan sepanjang hayatnya yang singkat. Orang kata, kalau hidup kita dimainkan ibarat filem depan mata maknanya maut bakal menjemput. Zuli menggelengkan kepalanya kuat. Tidak mahu mati lagi. 

Kepalanya ligat mencari akal untuk meminta bantuan. Tangannya laju digerakkan disegenap ruang, mancari telefon bimbitnya.
'Aduh..!' Zuli mengaduh kecil. Jari telunjuknya terasa pedih. Diperiksa dalam kegelapan, seperti ada selumbar kayu menusuk. 

Zuli melihat sekelilingnya. Nyatalah, dia di dalam keranda kayu. Hilang segala kemasan plastik berwarna krim dengan rel besi atas kepalanya untuk meletakkan barang. Tiada bantal mengalas kepalanya. Tubuhnya juga dirasakan pelik. Tangan kirinya tidak lagi memegang jari telunjuk tangan kanannya, masing-masing diletakkan di atas dadanya. Badannya dibaluti kain kafan, lengkap dengan wangian air mawar.

***
 Mak Esah melihat anaknya Zuli yang duduk di tepi jendela. Membisu seribu bahasa. Lama diperhatikan Zuli duduk berteleku memandang ke arah kebun sawit milik ayahnya. Mak Esah mendekati anak gadisnya. Bahu Zuli disentuh lembut, Zuli rebah. Pucat. Sejuk. Kini, Zuli tiada. Pasti dan tidak akan kembali.

Saturday, March 16, 2013

Apa masalah, aku pon taktau

Dah 3 hari, aku dok belek bog aku yang tersayang lagi satu-satunya di dalam dunia ni (selepas ijutisme dalam friendster ~homaigawd, ancient kott..!~)

Banyak plot cerita yang dapat, antaranya....
1. kisah persahabatan tiga gadis yag tercetus dalam kereta Linda Pijah dek kerana kegedikan terlampau (tapi aku memag melampau most of the time, puak pelampaukah aku?)
2. cerita Tipah dan Latip pasangan pengantin baharu yang dijodohkan keluarga, pon aku biarkan terperam aku tak tulis.
3. cerita hantu keretapi... huish kalau nak tulis boleh je tapi ending alahai... lemah melengkung ibarat plywood panas, panas, hujan, panas, hujan... takde body solid...!
4. projek mega(lahsangat) Rindu Semalam... sah lah projek ni takde dah yang rindu nak baca.. dah nye, sampai ade satu hari tu aku pon berhempas pulas nak ingat nama watak. boleh gitu...? haish...

Bukan senang rupanya nak maintain blog. FB aku pon... haiiii malas weyh nak update...! Bila bukak ada post bikin semak, ade pot rase mcm bodoh sangat... Sekarang ni post yang jujur tidak bias adalah pst pasal gambar bayi-bayi kecil lagi comel anak rakan-rakan seusia... Haaa itu seronok nak layan... Bukan aku tak layan politik, tapi mostly MOSTLY tak membina, saling membuka aib, meruntuhkan maruah dan membenakkan akal...

Eh, sebenarnye aku ni marahkan siapa eh...? Hangin tak pepasal dalam blog... hurm... Pergi jauhlah makhuk api, kita tak suka awak..! Kita tak mahu awak dekat tahu..! Pergi..!! syoh syoh....!!

Erkkk... Lek luh, aku tak gila lagi weyh...!

Thursday, March 14, 2013

Bagaimana harus aku luahkan...

Celik mataku, aku menuju kamu
pulang dari kerja, aku dahulukanmu...
Ada ketika di pejabat,
kuluangkan masa khusus padamu
Apabila di lapangan,
aku mencari-cari mu walaupun
payah namun tetap akan bertemu...

Bila aku bersiar,
kau sedia menantiku...
Terkadang kau tersorok,
mengejutkan diriku...

Lenaku pasti terjaga saat aku perlukan mu,
lantas aku terus kepada mu tanpa lengah...

Iya memang,
ada ketika aku terpaksa luang masa
untukmu...
Namun hakikatnya,
tanpamu aku pincang...

Ingatkah suatu ketika dahulu,
saat aku berkhemah di hutan
dan kau tiada berdekatanku...?
Sumpah..!!
aku tidak mahu lagi kau jauh dari ku...
Aku mahu kau sentiasa ada saat aku perlukan mu,
di setiap pagi dan petangku... 

Rakan-rakan turut memuji,
kesetiaan aku terhadap mu...
Sehinggakan ada yang marah,
jika seharian suntuk
tidak ku luang masa buat mu...
kerana
























KENTUT KU PASTI BERBAU...

Thursday, March 7, 2013

Cinta Sebenarnya...

Ngauman enjin kereta Vios kedengaran di halaman rumah. Hanya seketika, enjin dimatikan dan pemandunya keluar. Berjalan perlahan dengan derapan sepatu Ferragamo memecah sunyi pekat malam. Kunci rumah dibuka.
'Assalamualaikum... Sayang..? Tak tidur lagi...?' Sapa Khalid kepada isterinya, Lisa.
'Kenapa abang tak bagitahu nak balik lewat... Sayang tunggu lama dah,' balas Lisa manja.
Tangan Khalid disambut mesra. Kelakuan Lisa tidak pernah berubah, sedari mula mereka berumahtangga. Walaupun pada awalnya Lisa seperti tidak mesra dan agak pemalu namun semakin lama perkahwinan mereka semakin normal seperti pasangan lain. Cuma mereka belum bertuah dikurniakan cahayamata lagi.
'Mengantuk dah ni, sayang tidurlah. Abang nak mandi dulu. Ada lagi kerja nak kena siapkan,' Khalid menghantar isterinya ke bilik tidur sebelum dia membersihkan badan dan seterusnya memerapkan diri di dalam ruang bacaan rumahnya.

Saat Lisa terjaga pagi itu, didapati Khalid tiada di sebelahnya. 'Sahlah, tertidur depan lappy ni.'
Perlahan dia menuju ke ruang bacaan, lantas mendapati suaminya tertidur di atas kerusi, sambil di sisi kira dan kanan terdapat fail-fail kes yang mungkin sedang dikaji untuk perbicaraan. Suaminya dikejut lembut, 'Abang, bangunlah... masuk bilik kalau nak sambung tidur.'
'Uhm... pukul berapa dah ni...? Subuh dah...?' tanya Khalid, masih memejamkan mata.
'Dah. Abang bangunlah sembahyang, saya uzur,' balas Lisa, terus berlalu ke bilik mandi dan seterusnya bersiap untuk ke pejabat. 
Sebelum keluar rumah, Lisa telah menyiapkan bancuhan minuman oat perisa coklat dan lempeng pisang untuk sarapan. Begitulah rutin Lisa, alas perut pagi buat suaminya akan disediakan. Terpulanglah kepada Khalid samada mahu makan atau membiarkan sahaja di meja kerana kesuntukan masa ke pejabat. Jarang mereka bersarapan bersama, jika ada pun hanya pada cuti hujung minggu.
'Abang, sarapan ada atas meja ye. Lisa keluar dulu, tak nak terlambat.' pesan Lisa kepada Khalid yang masih di dalam bilik mandi. 
Lisa lebih selesa ke pejabat menaiki LRT, sesuatu yang kurang dipersetujui oleh Khalid pada awalnya. Khalid boleh menghantar isterinya ke pejabat, kerana dia sedia maklum Lisa bukanlah pemandu yang cekap. Tambahan pula, tempat kerja Lisa di tengah-tengah bandaraya. Namun, akibat daripada beberapa kelewatan yang pernah terjadi kepada meraka berdua maka Lisa menawarkan diri untuk menaiki LRT ke pejabat. Penyelesaian terbaik untuk mereka berdua.

Meet me @Coffee Bean, as usual :-* 
Lisa menghantar SMS ringkas saat turun daripada rumah.

***
'Abang....! Abang ni nak kemana lagi..?? Balik lewat malam, lepas tu pagi buta lagi dah keluar. Cuba la luangkan masa sikit dekat rumah ni dengan anak..! Ini semua saya yang kena settlekan...! Dah la anak bangun tengah malam saya yang bagi susu, awak balik tahunya tidur mati. Saya tak bolehlah macam ni..!' lantang suara Fila memarahi sikap suaminya, Kamarul.
'Abang kena kerja kan...? nak tanggung awak, Haikal lagi. Sudahlah, cepat sikit siap, saya hantar awak ke rumah Kak Nah. Pergi kerja awal sikit ye hari ni...?' pujuk Kamarul. Nyata matanya lebam dek kurang tidur. Dia bukan tidak sedar anaknya Haikal yang berumur 5 bulan itu merengek setiap malam kelaparan, cuma dia memang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk terus tidur dan bertenang. 
'Saya pun kerja juga tau...! Awak jangan ingat awak sorang je yang penat..! Ni, Haikal ni bukan saya sorang je punya tanggungjawab, awak tu BAPAK DIA...!' Kemarahan Fila masih meluap-luap.
'Hafila, sudahlah..! Awak penat, saya pun penat... Cepatlah siap..' pujuk Kamarul, masih bersabar.
Merungut Fila apabila terpaksa bersiap lebih awal. Haikal dirangkul ayahnya, dipeluk dan dicium tanda sayang. 'Maafkan ayah ye sayang, ayah kena usaha kuat... Mama tak marah Haikal, dia marah ayah je,' bisik Kamarul lembut ke telinga anaknya.

Demi mengambil hati isterinya, kelengkapan Haikal dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kereta Viva biru pepsi miliknya. Kamarul menunggu isterinya di luar rumah, sambil mendukung Haikal yang sudah mula merengek, mahukan ibunya. 'Fila, cepatlah... Haikal ni dah tak selesa ni...! Abang pun nak kena cepat.'
Fila muncul daripada biliknya dengan muncung yang masih panjang sedepa, cuma kini bergincu. 'Pegang anak sekejap pun mengeluh! Itulah, lain kali abaikan lagi Haikal ni. Abaikan..! Biar awak tahu rasanya anak tak kenal bapak..!' Menonong Fila berjalan meninggalkan Kamarul di belakangnya. 

Sebelum memasuki kereta, telefon bimbit Kamarul di poketnya bergegar. Ada SMS masuk. 'Aduh...! Coffee Bean lagi... Pokai aku macam ni...' Kamarul berkata kepada dirinya sendiri sebelum memasuki kereta.

***
The Coffee Bean & Tea Leaf Plaza Low Yat pagi itu hingar dengan pergaduhan rumahtangga. Orang ramai yang lalu lalang memerhati curi-curi, takut dilempar gelas kopi pasangan yang bertelagah. Pelanggan sedia ada membayar cepat dan berlalu pergi, tidak mahu dikaitkan dengan insiden memalukan sebegitu. Pengurus dan kakitangan kedai pula gagal meleraikan perbalahan yang marak ibarat api membakar daun kering. 

Nampaknya pasangan yang berpacaran itu telah ketahuan oleh suami si perempuan yang datang kononya ingin membuat kejutan mahu bersarapan pagi bersama isterinya. Berdasarkan daripada yang didengari dek rintihan si suami malang, rakan sepejabatnya kerap terserempak degan si isteri yang membeli kopi di situ setiap pagi sebelum ke pejabat. Namun tanpa disangka-sangka, rupa-rupanya si isteri berpacaran dengan seorang lelaki lain yang lebih rendah status dan tiada kelebihan harta mahupun rupa. Mengalir airmata si suami malang sambil mengulang-ulang ayat 'Why u did this to me? why?' Namun perempuan si isteri itu tetap diam membatu. Tiada kata-kata maaf terucap daripada bibirnya, yang kedengaran hanyalah 'It's over long time ago, lets go somewhere else and talk.' Lelaki si kekasih gelap pula sekadar melihat dan kadangkala cuba melindungi wanita milik orang yang juga kekasihnya. Asal sahaja cuba menenangkan situasi, leher kemejanya dicekak kemas dan diajukan penumbuk oleh si suami malang.




'Jom la Marul, kita minum tempat lain. Takkan nak bincang sini, lagipun anak dengan isteri kau ada sekali,' Nabil mengajak Kamarul mengubah lokasi perbincangan projek usahasama rekabentuk dalaman pengubahsuaian Kondominuim Hillview.
Kamarul sekadar menurut, sambil digenggam erat tangan isterinya Hafila. Pandangan Fila masih lagi kepada pergaduhan pasangan di Coffee Bean itu. Tingkahlaku Fila terhenti apabila Kamarul mencuit dagunya dan mereka saling bertentang mata.
'Awak marahlah saya, sebanyak mana yang awak suka andai itu untuk kebaikan kita. Kalau awak tak marah, mungkin hidup kita tak berubah. Awak marah sebab awak sayang kan...?' tutur Kamarul lembut, sambil mengelap airmata yang gugur di pipi isterinya, Hafila.

Tuesday, March 5, 2013

KAH..!!!

Aku suka tanya perkara-perkara dunia kasi kau kembang.
Aku pam habis-habis sampai takat genting nak meletup.
Aku lepaskan ke udara, kasi kau terbang.

Jangan ingat aku suka sangat puji tu sebab aku suka, aku cuma menghalau secara terhormat.

~berdekah ketawa sendiri~

Monday, March 4, 2013

Warkah Maaf Buat Zalika

Kata janji yang pernah terpatri
Yang memandu tiap tindakan
Hanya berteraskan kecintaan kepada insan
Bukan kepada tuhan
Nyata mengundang dosa maha dahsyat
Maaf kerana dosa itu

Nafsu di atas ubun
Dibakar iblis di dalam jiwa
Menyerap ke segenap tubuh rasa kuasa
Mengagungkan cinta dunia
Mewujudkan angkuh dan bongkak
Menyebabkan malapetaka atas kita berdua
Maaf sekali lagi atas malapetaka itu

Tersadung dan tersedar
Kita cuba kembali ke jalan yang benar
Kau gagahi
Aku menjauh menyendiri dengan rasa benci
Ada dendam aku sembunyi
Kemusnahan kau aku idamkan
Tapi tuhan melindungi
Hanya aku yang terbakar terseksa sendiri

Kenapa hati suci itu hanya ada padamu?
Apa lebihnya kau sampai aku tinggal tak bersisa?
Kali ini kebenaran aku terdedah
Maaf,
Aku tetap akan membencimu.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Saturday, March 2, 2013

Alif, anak Pak Mad Shauki.

Alif = Bengis
Pak Mad Shauki = Penyabar


Begitulah dua watak yang amat berbeza, walau daripada keturunan yang sama. Alif akan mudah melenting dan marah walau atas perkara yang kecil. Walaupun hanya sekadar mahu membeli gula-gula hacks perasa limau mandarin, tetapi yang ada hanyalah perasa asli. Perkara itu pun boleh mencetuskan kemarahan Alif. Apatah lagi apabila ia melibatkan tingkahlaku sosial rakannya atau orang di sekeliling.
'Sabar Alif,' itulah pesan Pak Mad Shauki setiap kali didapati Alif naik berang.


Beruntungnya Alif adalah pada bapanya yang sentiasa menyabarkannya. Pak Mad Shauki (Pak MS), noja masjid, memang cukup penyabar orangnya. Kadangkala dek kerana tindakbalas amarah Alif, orang ramai mencari Pak MS mengadu hal. Turunlah orang tua tu, pergi mencari anaknya, dipeluk erat dan dibisikkan ke telinganya, 'Sabar Alif.'

Amarah Alif adalah satu-satunya masalah yang merungsingkan hati Pak MS. Iyalah, usianya semakin lanjut, siapa yang boleh diharap untuk menenangkan jiwa api anak kesayangannya itu andai dia dijemput Ilahi. Puas Pak MS memikirkan caranya, sehinggalah suatu hari ia mendapat akal bagaimana mahu mengajar Alif mengawal marah dan seterusnya mengetahui buruknya sifat amarah itu.

Pada suatu petang yang dingin, Pak MS memulakan projek membina dinding batu di belakang rumahnya. Alif tidak dibenarkan membantu sehinggalah dinding itu siap. Sesudah terdirinya dinding itu, Pak MS mengecat pula dengan warna biru air laut, warna kegemaran Alif. Alif kerap bertanya tujuan ayahnya membina dinding itu. Namun Pak MS hanya tersenyum seraya berkata , 'Ini adalah pelajaran buat kamu, percayalah nak.'


Dinding batu 12x6 kaki yang tersergam elok ditatap oleh dua beranak itu. Pak MS memandang kearah anaknya. Dihulurkan kepada anaknya seberkas paku 6 inci panjang dan sebuah tukul besi. Alif yang menerima dalam kehairanan bertanya, 'Untuk apa ni ayah?'
'Alif, ayah mahu Alif janji 1 perkara dengan ayah. Boleh?'
'Cakaplah ayah, Alif cuba.'
'Ayah tahu Alif susah nak kawal marah. Ayah faham keadaan Alif. Selepas ni, sekiranya Alif berasa marah datanglah ke dinding ini. Pakulah dinding ini dengan paku dan tukul yang ayah bekalkan. Ingat, Alif paku sampailah rasa marah Alif itu mulai reda,' pesan Pak MS panjang lebar.
'Alif cuba ayah. Alif cuba,' jawab Alif sambil dipasangkan niat untuk mematuhi pesan ayahnya.



Hari silih berganti, bulan bertukar ganti, tahun bertambah lagi.
Sewaktu awal kewujudan dinding batu itu, setiap hari sekurang-kurangnya sekali Alif akan memaku dinding batu itu. Ada juga kadangkala dipakunya berkali-kali dalam sehari. Namun semakin lama tampak perubahan dalam diri Alif. Sikapnya lebih disenangi rakan-rakan, dia lebih banyak bertenang dalam urusan seharian. Kini, dia tidak lagi memaku dinding itu sekerap dahulu. Sehinggalah Pak MS menyedari sudah hampir setahun Alif membiarkan dinding itu berdiri sendiri dengan tusukan paku yang telah dibenamkan.



Suatu hari, Pak MS berdiri bersebelahan dinding batu itu sambil menanti Alif pulang. Apabila melihat ayahnya tercegat berdiri, Alif terus menuju kearahnya.
'Alif, hari ni tolong ayah cabut paku-paku ni ye..?' pinta Pak MS.
'Kenapa nak cabut pula ayah?' tanya Alif.
'Kita cabut dulu, nanti ayah cerita.'



Kedua-dua beranak itu mencabut paku yang terbenam satu persatu. Cukup payah dan memenatkan namun mereka tetap meneruskan usaha yang telah dimulakan. Usaha mereka membuahkan hasil. Selonggok paku berjaya dikumpulkan dan keadaan dinding itu jelas berlubang dan sumpik hampir di seluruh permukaan. Permukaan licin dan rata yang bercat biru air laut hampir hilang seluruhnya. Perbezaan rupa dinding itu ditegur oleh Alif, 'Lainnya ayah rupa dinding ni. Jadi buruk.'
Pak MS memeluk bahu Alif dan menjawab 'Alif, beginilah rupa hati orang-orang yang menerima kesan daripada kemarahan kita. Rupa hati mereka tidak akan sama seperti sebelumnya anakku. Susah kan kita nak buang semua paku tadi?'
'Susah sangat ayah,' jawab Alif ringkas.
'Alif, setiap kali kita marah, ibaratnya sebatang paku kita tusukkan ke dalam hati mereka. Untuk mengeluarkannya kembali memerlukan usaha keras, namun hasilnya? Tetap kita tak mendapat yang serupa seperti sebelumnya,' terang Pak MS tersenyum.


~diolah daripada pembacaan terdahulu bersumber daripada laman maya Facebook. Cerita ini bukan saya yang punya, maka kongsikanlah~





Friday, March 1, 2013

AKHIR AKHIR

Tangan kau hulur minta bersambut
Kau minta aku yang sambut
Kau minta aku yang sambut

Buat sekian kali aku di dalam dilema
Kau itu dilema
Dilema aku
Dilema kisah hitam itu

Aku diarah supaya jangan
Akal berselingkuh sembunyi pandangan
Hati menatap dengan sayu
Apakah aku bakal tertewas lagi..?

Sudahlah pergilah
Kita bukan kita yang dulu..!
Aku tidak semakin baik
Tapi biarlah hanya aku dan bukan dirimu

Cukuplah
Jangan goda lagi...!

'Hey, kali ini kali terakhir yang terakhir..'

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Selipar Pak Rasid

Semalam, Rumah Seri Kenangan menerima seorang lagi penghuni baru, Pak Rasid. Dia bakal menghuni perkampungan warga tua itu mungkin sehingga akhir hayatnya atau sehingga ada yang mengaku dan disahkan waris untuk membawanya pulang. Waris, kalau diikutkan daripada rekod, Pak Rasid dikutip daripada tepi jambatan Pok Nik Lah. Setelah 5 hari dikenalpasti berkeliaran dan aduan dikemukakan oleh pihak JKK Kg Padang Tembak. Bila diselidik oleh pihak JKM, ahli keluarga Pak Rasid gagal dikenalpasti. Malah Pak Rasid sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang jitu tentang keluarganya. Apabila ditanya, dia hanya menjawab 'Ada, saya ada keluarga. Nanti dia datang jumpa. Cucu pun ada.'

Kerana keadaan Pak Rasid yang dianggap tidak stabil mental, dia dirujuk kepada Terapis Carakerja di situ. Cik Najah, terapis yang baru 3 bulan bertugas mengambil tanggungjawab mengendalikan kes Pak Rasid. Hari pertama Pak Rasid menjalani terapi, dia datang tanpa selipar.
'Pak Rasid... Mana seliparnya ni..? Kotor dah kaki tu berjalan daripada asrama ke sini...' tegur Najah beradab.
'Semalam selipar ada, tapi dipinjam dekat nak masuk tido. Esok dia pulangkanlah tu...' balas Pak Rasid bersahaja. Seolahnya selipar yang dibekalkan itu adalah untuk dikongsi dan tak kisah kalau berjalan kaki ayam.
'Siapa yang pinjam...?' tanya Najah.
'Cucu saya,' balas Pak Rasid ringkas.
Najah sekadar menggeleng, nyatalah Pak Rasid bermasalah dan perlukan bantuannya.


Pada keesokan harinya, ketika Najah sedang melakukan lawatan ke asrama penghuni perempuan, dia terserempak dengan Pak Rasid yang sedang duduk bersendirian di kerusi rehat di bawah pokok. Kaki Pak Rasid kelihatan bergerak mengikut irama lagu, dan kali ini berselipar.
'Haaaa... Kan bagus Pak Rasid berselipar macam tu. Bersih sikit kakinya,' tegur Najah. Dalam hati dia sedikit gembira kerana terapi yang dijalankan mungkin telah memberikan sedikit kewarasan buat Pak Rasid.
'Najah, cucu saya dah pulangkan dah selipar ni semalam,' balas Pak Rasid senyum simpul kepada Najah.
Nampaknya sangkaan Najah meleset, nyata Pak Rasid masih dalam khayalannya.



***
'Najah, malam ni tolong ganti akak jadi warden. Akak ada kecemasan la, anak tak sihat,' rayu kak Fairuza, warden yang ditugaskan menjaga Rumah Seri Kenangan. Kebetulan, malam itu adalah giliran dia sebagai petugas.
'Ok je.' Najah tidak menolak malah gembira menggalas tanggungjawab berkenaan.


Pada jam 11.30 malam, Najah melakukan rondaan. Apabila dia berjalan berdekatan dengan asrama yang dihuni Pak Rasid, dia mendengar bunyi orang bercakap-cakap.
'Janganlah bawak lari selipar tu, esok atok nak pakai...'
Setelah diamati, Najah yakin itu adalah suara Pak Rasid. Dia mendekati blok itu, sambil mencari tubuh insan tua tersebut.


Pak Rasid berdiri di hujung kaki lima blok asramanya sambil melaung,
'Jah, tolong Jah... Jangan bagi dia amek selipar pakcik. Esok pakcik ada terapi, kena pakai selipar.'
Najah yang dihujung bertentangan berdiri kaget. Selipar tanpa kaki itu berlari-lari anak menuju ke arahnya. 


Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Lama tak menulis. Biasalah, ini namanya kehangatan tinja telah menurun dan mejadi sejuk lantas keras melekat di simen (boleh gitu? hahahaha).