Wednesday, September 25, 2013

Bersama Ke Syurga

"Pegang elok-elok Zah," pesan Haji Abdul Karim pada isteri tercintanya Hajah Zahrah.
"Bismillah..." Mak Zah memanjat motor Honda Wave biru milik suaminya. Satu-satunya kenderaan mereka berdua andai mahu kemana-mana sekitar pekan Parit Sulong.
Pak Karim dan Mak Zah, pasangan merpati dua sejoli pekan itu. Kemana sahaja pasti berdua. Kalau nampak seorang saja tanpa teman, pasti ditanya mana pasangannya. Suatu pandangan yang kurang biasa andai belangkas ini bersendirian. Mereka orang terhormat di kampung. Pak Karim guru mengaji juga turut menoreh getah tanah sendiri. Mak Zah pula tukang jahit tradisi. Anak-anak mereka semuanya hidup berjaya di tempat orang. Ada yang berniaga juta-juta, ada yang menjadi doktor pakar dan ada juga yang merintis jejak cendekiawan. Pendek kata, semua anak mereka menjadi.

"Tangan aku ni kebas lagi la Zah," adu Pak Karim kepada isterinya, sejurus mereka tiba ke pasar.
Mak Zah menyambut tangan suaminya. Dipicit-picit dengan niat tidak selesa suaminya dapat dikurangkan. Pak Karim sekadar menadah.
"Mak Zah..!! Tangan boyfren nya tu kenapa?" Tanya Yati, pengusaha santan segera.
Sambil tersenyum Mak Zah menjawab, "Kebas Ti, balik dari noreh pagi tadi lagi."
"Alah Pak Karim, nak manja-manja balik rumah lah..!" Sampuk Kosnon, penjual ikan dan sayur. "Itulah Pak Karim, anak-anaknya semua menjadi, berentilah noreh. Duduk rumah aje. Mintak Viva sebijik, boleh jalan-jalan," sambung Kosnon lagi sambil tersenyum manis.
"Alah, wes orak payah lah Non. Aku kalau mandu nanti dimarah orang, lambat!" balas Pak Karim sambil ketawa.

***
"Aku ingat ayah kau kebas tangannya biasa-biasa aje. Ayah kau tak pernah sakit Ki," kata Mak Zah kepada anak sulungnya, Zaki.

***
"Zah, oooo Zah. Bangun. Subuh yok," Pak Karim mengejut isterinya. Sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
Mak Zah bangun, menggosok matanya terus bertanya "Abang tak boleh tidur ye?"
"Tidur juga tapi dah terbangun sebelum jamnya bunyik. Cepatlah, hari ni kita sembahyang sama. Aku malas nak ke masjid," balas Pak Karim sambil membentangkan sejadah untuk mereka berdua.

Usai bersolat Mak Zah menyiapkan bekalan kopi untuk Pak Karim. Pak Karim duduk mencangkung di hadapan pintu, sambil menikmati rokok daunnya. Asap dihela dan dihembus berganti-ganti. Matanya memerhati di kejauhan. Bosan duduk saja, dia mengambil penyapu lidi terus menyapu membersihkan ruang hadapan pintu.

Mak Zah muncul dengan sebiji termos di tangan, berisi kopi panas. "Sudahlah disapunya, nanti saya buatlah. Pergi noreh tu elok-elok, kalau agak penat balik je," pesan Mak Zah lembut.
Pak Karim menghulurkan tangannya, selepas tangannya dikucup dia mengucup dahi isterinya. "Zah, aku ni... Aku ni agaknya kalau kau takde tak bahagia macam ni. Terima kasih ye Zah," Pak Karim menguntum senyum. Senyum yang cukup manis, semanis pertama kali mereka bertentang mata.

***
"Ayah kau tu kalau sayangnya tak bertunjuk. Tapi usaha dia menjaga aku, membesarkan kau, cukup untuk aku tahu sayangnya dia. Awal-awal nikah ayah kau janji, hidup mudah cuma tak mewah, apa yang penting redha Allah. Sampi sekarang Na, ayah kau pegang janji dia," cerita Mak Zah kepada Rohana, anak keduanya.

***
Banyak barang yang dibeli di pasar. Ayam seekor, daging 2 kilo, ikan beberapa jenis dan aneka sayuran.

Mak Zah hanya memerhati kehairanan apabila suaminya beria-ria mahu membeli itu dan ini. "Abang, nanti tak habis, siapa nak makan semua ni?"
Pak Karim sekadar memandang wajah isterinya yang turu sama dimakan usia. Sambil tersenyum dia berkata, "Tak apelah nak beli, ada rezeki lebih. Nanti balik rumah ditelefon Zaki dengan adik-adiknya ajak balik. Kita buat makan-makan."
"Loh, tapi anak-anak kalau tak di bagitahu ye tak sempat nak balik. Nanti membazir beli banyak-banyak," rungut Mak Zah.
"Insya Allah Jumaat malam Sabtu nanti semua sampai di rumah," jawab Pak Karim ringkas, terus berpaling dan berjalan ke arah gerai buah, niatnya mahu membeli rambutan 3 kilo.
Mendengarkan jawapan suaminya, Mak Zah jadi khuatir. Tak pernah suaminya begitu yakin mahu mengajak anak-anak balik tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Tambah pelik apabila pada setiap kalinya, Mak Zah yang akan menyuruh anak-anak pulang ke kampung, bukan Pak Karim.

Tiba di rumah, Pak Karim lekas-lekas membersihkan ayam. Daging dipotong 3 cara berbeza, "Zah yang ini aku potong untuk kau masak kari, Zaki suka. Yang ini kau buat goreng sate untuk Rohana, aku dah potong nipis sikit. Yang ketul-ketul ni nanti buat daging bakar untuk Hadi."
"Yang anak-anak di potongkan, yang saya suka tak ada?" gurau Mak Zah.
Pak Karim sekadar tersenyum. Terus dia bangun membasuh tangan. Selesai membersihkan tangan, Pak Karim mendekati isterinya yang sedang menyiang ikan. Bahu isterinya di pegang lembut, "Zah, aku harap anak-anak yang kita didik mampu jaga kau kalau aku dah tak ada. Mampu buat kita jumpa semula dalam syurga."
"Abang, kenapa cakapnya macam orang dah nak pergi?" tanya Mak Zah berseloroh, matanya berkaca.
Pak Karim mengucup dahi isterinya dan berlalu pergi.

***
"Mak dah redha Hadi kalau Allah nak jemput ayah kau. Dia dah buat yang terbaik. Memang mak akan rindu, tapi mak tahu ayah kau akan tunggu mak nanti," ujar Mak Zah sebak. Anak bongsunya Hadi turut menangis.

***
Hati Mak Zah yang dihambat risau membuatkan dia menelefon anak keduanya, Rohana.
"Assalamualaikum."
"Walaikumsalam...! Kabare mak? Maaf mak ye, tak sempat nak telefon dua tiga hari ni," lekas Rohana meminta maaf. Dia rasa bersalah apabila ibunya yang menelefonnya terlebih dahulu.
"Waras. Na mak nak mintak tolong boleh Na?" pinta Mak Zah.
"Apa dia mak?"
"Esok petang balik kampung Na. Abah kau.... Mak risau jadinya," nyata gusar dalam suara Mak Zah.
"Kenapa kok mak? Abah opo orak sihat?"
"Bukan Na. Pe'el nye pelik. Dia beli lauk dekat pasar banyak Na. Katanya nak anak-anaknya balik hujung minggu ni. Kau balik Na, mak risau."

Rohana berdiam diri seketika. Kalau ikutkan jadualnya memang dia tidak punya kesempatan. Ditambah pula jadual suaminya yang turut sama padat.
"Mak, nanti Na bagitahu Abang Salman dulu ye. Mak nak Na telefon Abang Zaki dengan Hadi tak?"
"Abang-abang kau biarlah mak telefon. Kalau boleh balik ye Na. Cakaplah baik-baik dengan Salman," nada Mak Zah penuh harap.
"Insya'Allah mak. Jangan risau ye mak. Abah ok je tu, agaknya rindu anak-anak," Rohana cuba menenangkan.
"Iyalah, mak harap pun macam tu. Takut nanti kita yang rindu dia dulu."
"Mak... kok cakapnya macam tu. Ajal maut kan kerja Allah."
"Yelah yelah. Dah lah, mak nak telefon Zaki dengan Hadi. Kirim semuanya nanti. Ajak Salman balik ye. Assalamualaikum," Mak Zah memutuskan talian.

Buku panduan telefon diselak, didail nombor telefon anak sulungnya, Zaki.
"Assalamualaikum mak," suara Zaki menyambut.
"Walaikumsalam. Ki dekat pejabat ke sekarang?" tanya ibunya.
"Taklah mak, tengah mandu ni. Ada opo mak nelepon iki?" Zaki bertanya tujuan ibunya menelefon di waktu yang luar daripada kebiasaan.
"Ki, balik kampung hujung minggu ni boleh?" pinta Mak Zah.
"Iso..! Memang nak balik pun. Mak kok tau-tau aje," Zaki menjawab penuh gembira.

Mak Zah tersenyum mendengar jawapan anak sulungnya. Tanpa dia sedar, Pak Karim sudah berdiri di belakangnya.
"Sopo nelepon?" Pak Karim berbisik pada isterinya.
"Saya nelepon si Zaki."
"Bagi, aku nak ngobrol," pinta Pak Karim, mahu berbual dengan anak sulungnya.

"Assalamualaikum Ki," jelas suara Pak Karim teruja.
"Walaikumsalam abah, kabare?"
"Waras. Ki, kau balik hujung minggu ni. Tolong jaga mak," pesan Pak Karim ringkas.
"Abah nak ke mana?" tanya Zaki kehairanan.
"Alah, kalau abah tak ada pun kau kena jaga mak juga nanti. Ni sambung cakap dengan mak, aku nak ke mesjid," Pak Karim terus memberikan gagang kepada isterinya.

Mak Zah menyambut, perbualan antara dia dan Zaki diteruskan.
"Mak, abah orak sihat yo?" tanya Zaki. Kali ini suaranya punya rasa bimbang yang sama dengan ibunya.
"Balik je lah Ki, nanti bawak keretanya elok-elok," Mak Zah menjawab dalam sebak.
"Iyo mak. Nanti Ki balik. Apa-apa nanti telefon ye mak," pesan Zaki sebelum menamatkan perbualan.

Risau yang bersarang dalam hati Zaki membuatkan dia haluannya terus pulang ke rumah. Dia tekad, balik sahaja isterinya daripada mengajar dan anak-anaknya pulang dari sekolah, mereka sekeluarga akan terus menuju ke Parit Sulong.

***
Pak Karim membuka matanya. Keadaan di sekelilingnya sangat berbeza. Dia tidak berada di rumah. Pakaiannya juga bukan seperti selalu. Dilihat di sebelah kananya ada Zaki, sedang mengaji. Duduk dihujung kakinya adalah Hadi, sedang memicit-micit kaki Pak Karim.
"Abah..."
Kedengaran lembut suara anak perempuan tunggalnya. Iras dengan cara Zahrah memanggilnya.

"Allah...."
"Abah...."
Kini suara Zaki yang kedengaran. Dalam balam penglihatan Pak Karim, dilihat Zaki mengesat mata yang berair.

"Allah..."
Mendekati sisinya kini Hadi. Diam tidak bercakap, hanya memegang erat dan mengucup tangannya.

"Allah..."
Pak Karim melihat wajah isterinya, Zahrah. Berdiri di sebalik tirai yang melingkungi dia dan anak-anaknya. Wajah isterinya cantik, muda tak ubah seperti ketika kali pertama bersua muka. Zahrah tersenyum, menghulurkan tangan kanannya kepada Abdul Karim, suaminya.

Zaki merangkul kedua-dua adiknya. Meraka bertiga sama-sama mengesak.
"Sabar Na, Hadi. Ni semua kehendak Allah. Jangan nangis dik. Kita tak mahu mak dengan abah kita terseksa kan?" suara Zaki tenang. Seluruh kudratnya dikeluarkan agar dia kekal tabah.

Innalillahi wa innailaihi raaji'uun

No comments: