Saturday, July 27, 2013

SKANDAL

Suraya meletakkan Chevy Aveo yang dipandunya ke petak parkir di bahagian hadapan banngunan pejabat tempat dia bekerja. Bergegas dia keluar, beg kerjanya dibiarkan dalam kereta hanya tas tangan yang dibawa. Laju dia berjalan menuju ke sebuah kereta Toyota Harrier berwarna putih gading gajah. Sempat dia menoleh kiri dan kanan sebelum melangkah naik kereta tersebut. Kantoi. Tingkahnya diperhati Hashim, Ketua Jabatan, ketua Suraya. Hashim tahu kereta yang dinaiki Suraya adalah milik Datuk Roestam, pemilik syarikat tempat mereka bekerja.

***
Suraya duduk menanti di lobi syarikat Megah Prima. Ini merupakan hari pertama dia bekerja. Semua individu yang lalu lalang di situ seperti tidak mempedulikannya. Mungkin semua orang pekerja efisyen. Dalam pada dia melihat setiap individu yang melintas laju dihadapannya, terdengar juga bisikan mengandungi perkataan 'pekerja baru'. Mungkin semua orang sudah sedia maklum akan menerima seorang kakitangan baru, tapi individu yang bertanggungjawab menjaga kaunter hadapan masih belum muncul.
"Ingatkan orang kerja gomen je lambat, rupanya swasta pun sama," rungut Suraya sendiri. Dia cuba mengekalkan ekpresi wajah yang berkaliber walaupun dalam hati dah mula ada rutukan bertalu-talu.

Seorang lelaki melalui hadapannya. Tinggi berbadan gempal, berkacamat bingkai alternatif. Kemas lengkap bersut dengan nyata wangian Hugo Boss Orange. Selang tiga langkah lelaki itu berundur dan berdiri tepat di hadapan Suraya.
"Farzana mana? Ni budak baru ni apasal biar duduk mencongok dekat depan ni? Bagi dia kerja sikit, we could use extra pair of hands today." Tegas arahan yang dikeluarkan.
Suara lelaki bersut itu nyata mengundang kekocohan antara staf. Seorang wanita berbaju batik kuning bertudung Fareeda polka dot biru terkocoh-kocoh keluar. "Maaf En. Hashim, saya terus ke dalam tadi. Urusakn tempat jamuan ringan untuk jemputan," pandangan dialihkan kepada Suraya. "Marilah dik, maaflah hari ni sibuk sikit."
"Penampilan ok ni. Farzana, suruh dia tag dengan Dilla, layan VIP. Datuk Roestam mesti suka," ucap Hashim sambil tersenyum.

Suraya tak tahu, yang mana satu lebih gatal. En. Hashim atau Datuk Roestam.

***
"Senyum manis-manis. Lepas tu kalau Datuk dengan Lembaga Penasihat tanya soalan, just berbual politely. Diorang memang selalu banyak tanya. Kadang-kadang buat lawak tak kelakar tapi sengih kan ajelah," terang Dilla panjang lebar.
Suraya masih lagi terkebil-kebil. "Su faham tak?" tanya Dilla.
"Maknanya layan macam layan tetamu la kan?" Suraya cuba meneka. Dia tak naklah kelihatan dungu tak tahu apa-apa macam tak boleh diharap.
"Good!" ucap Dilla sambil tersenyum manis. Nyata Dilla punya daya tarikan tersendiri. Patutlah dia diletakkan sebagai pelayan tetamu penting dalam majlis.
"Dilla, tadi errr En. Hashim ada sebut nama Datuk Roestam. Saya kena entertain dia ke?" soal Suraya.
"Oh..! Orait, U entertain Datuk Roestam."
"Yang mana satu eh?"
"Senang je, muka Adiputra kalau umur 50 tahun," balas Dilla sambil tersenyum. Klu Dilla subjektif. Terpaksalah Suraya mengingat rupa Adiputra, walaupun kerap kali dia tersilap dengan wajah Fahrin Ahmad.

5 minit lagi dan semua tetamu akan sampai. Hashim sudah bersedia di hadapan lobi. Sekejap-sekejap dia melihat jam tangannya. Sambil menunggu, Dilla bercerita dengan Suraya. Ahli Lembaga Penasihat syarikat dan pemiliknya tak pernah lambat dalam majlis. Sebab itulah kalau ada yang belum settle sebelum majlis bermula memang semua orang akan panas punggung. Ditambah pula kesemua yang utama tu cerewet. Kalau melayan nak yang cantik, pandai bergaul, boleh ajak bergurau. Kalau majlis nak sempurna, teratur dan tertib. Suraya juga dapat tahu Hashim antara orang kesayangan Datuk Roestam sebab dia teliti bila bekerja. Kalau mengendalikan majlis, memang teratur dan dijamin puas hati. Selalu dapat pujian. Suraya dikira bertuah sebab freshie tapi terus dapat masuk bawah Hashim. Selalunya orang daripada jabatan lain yang akan dipindah masuk.
"Mesti U ada kelebihan tambahan, sebab tu En. Hashim letak bawah dia kan? Selalu handle program ke sebelum ni?" soal Dilla.
"Eh, biasa je la Dilla. Kalau ada pun, 3 bulan je pengalaman buat event management." jawab Suraya.
Dilla mengangguk dan tetamu yang dinanti pun tiba.

***
"Sorry Datuk, I'm late," ucap Suraya sambil membetulkan duduknya. Tas tangannya diletakkan di sisi kiri, tersepit antara dia dan pintu. Datuk Roestam duduk selesa tersenget condong ke arah Suraya.
"Pakai tali pinggag keledar tu, nanti kena saman. Malu saya," ucap Datuk Roestam sambil menepuk tangan Suraya yang diletak atas riba. Datuk Roestam bukan tepuk, lebih kepada meleser tangannya pada lengan kanan Suraya. Dengan jantung yang berdegup kencang, muka yang tak semena terasa merah padam, Suraya memasang tali pinggang keledar. Kelu. Dia cuba menganggap yang Datuk tidaklah seteruk tu, mungkin itu adalah gesture biasa beliau.

Datuk Roestam mengajak Suraya secara peribadi untuk memaninya pagi itu. Katanya ada perjumpaan dengan rakan perniagaan, jadi dia perlukan Suraya untuk mencatit butiran prbincangan. Sengaja dia katakan yang setiusahanya bercuti dan perjumpaan itu short notice.
"Suami awak tak marah ke awak kena ikut saya ni?" tanya Datuk Roestam selamba.
"Eh, saya bujang lagi." jawab Suraya. Sejurus keluar sahaja ayat tu, Suraya menyesal. Kenapalah dia tak tipu saja majikan dia.
"Oh bujang lagi. Jangan sorok laki tau. Walaupun saya majikan, kalau awak ada suami saya kena hormat," jawapan penuh kejantanan. "Teman saya minum dulu eh."
"Datin tak sediakan sarapan ke?" soal Suraya. Dia menyesal untuk kali kedua. Kenapalah mulut dia laju sangat bertanya pasal rumahtangga orang. Majikan dia pulak tu.
"Di rumah saya dah minum susu dengan roti 2 keping untuk sarapan. Ini kan minum pagi," balas Datuk Roestam tenang.

Sepanjang aktviti Datuk Roestam yang ditemani Suraya, masih belum ada lagi cubaan menyentuh, tersentuh, meleser atau terleser. Tapi gerak geri dan tingkahlaku Datuk Roestam kerap membuat Suraya tersentak. Sedang elok dia berbincang, badannya akan condong ke arah Suraya. Bila kopinya habis, mukanya mendekati Suraya dan dengan nada berbisik minta ditambahkan kopi. Selesai berbincang, apabila semua bangun meninggalkan meja dan bersalaman, Datuk Roestam berbual kecil sambil menjeling ke arah Suraya. Ketika hendak menaiki kereta, Datuk Roestam membukakan pintu kereta untuk Suraya. Lekas Suraya masuk dan memasang tali pinggang keledar dengan harapan tak ada lagi insiden seperti sebelumnya. Datuk Roestam memasuki kereta, enjin kereta dihidupkan dan dia mencari-cari sesuatu pada poket bajunya. "Nampak pen saya tak? Tertinggal dekat meja tadi ke eh?"
"Tadi Datuk tak bawak pen." balas Suraya. Dalam hati dia berdoa agar cepatlah dia dihantar pulang ke pejabat.
"Oh tak bawak eh. Nevermind," Datuk Roestam terus menjalarkan badannya ke arah Suraya sambil tangannya cuba mencapai laci dashboard. Kepalanya nyaris bersandar pada abdomen Suraya. Kali ini memang berderau darah jadinya. Suraya menahan nafas, Datuk Roestam masih menyelak-nyelak barangan dalam laci tersebut mencari pen yang entah wujud atau tidak. Suraya nekad, kali ni kalau bersandar kepala majikannya pada dia memang dia akan jerit. Peduliklah kena buang kerja atau tak, dia dah rasa seperti dicabul.
"Here it is," ucap Datuk Roestam. Dia berpaling melihat Suraya yang berpeluh. "Eh I tak hidupkan aircond lagi ke?"
Suraya sedar Datuk Roestam dah tukar kata ganti nama antara mereka.

***

Saturday, July 13, 2013

Melankolik Ramadhan

Beginilah hidup perantauan kala tiba bulan Ramadhan. Masa inilah nak teringat-ingat juadah berbuka hasil airtangan mak. Saat inilah nak terbayang-bayang sapa bayu saat dibonceng baha di atas motor honda c70 nya. Bermotor buruk ke pasar Ramadhan. Taklah setiap hari, tapi ada jugalah masanya abah melayan kehendak anak-anak berpuasa.

Beginilah perantauan, yang seronok tu bila dekat dengan keluarga. Lebih seronok bila dekat dengan mak. Terdengar-dengar sayup-sayup suara mengejut bangun sahur. Biarlah suara Mawi dan Akhil Hayy yang kejut pun, tak semerdu panggilan mak. Biarlah kuat nyanyian nasyid dalam penggera telefon, tak sekeras suara abah yang mengejut takut lewat tak bersahur.

Beginilah perantauan. Cemburunya pada rakan-rakan yang duduk dengan keluarga. Lebih nyata dengki apabila adik beradik balik beramai kita tertinggal sendiri. Konon jauh, tak punya masa, tak cukup kudrat, tak ada belanja nak balik. Tunggu hari raya. Tunggu cuti katanya. 

Beginikah sepatutnya perantau? Hanya mengenang kasih sayang bila tiba bulan puasa? Hanya terbayang, terngiang, terasa bila saat lapar dan dahaga?

Beginikah perantau? Saat duduk dekat bersama degil sungguh keras kepala. Diingin suara yang lain bukan suara mak abahnya? Nah bila sudah jauh, baru tahu kenal rindu?

Beginikah perlunya sang perantau? Cemburu pada yang lain punya masa diluang bersama? Beralasan bagai atas diri yang tidak mampu? Sedangkan dahulu yang pilih jalan ini siapa?

Perantau, perantau....
Kini sepatutnya kau matang. Dalam beribu hari berjauhan, janganlah untuk ketika ini kau mengenang. Kenanglah setiap detik.
Sudahlah bersedih. Berdoalah agar mak dan abah mu sihat dilindung Allah. Gembiralah wujud rindu dalam hati. Bersyukurlah kejauhan membuah sayang yang semakin tidak bertepi.
Berazamlah dalam hati. Harus punya kerjaya sendiri. Tidak sekarang, tapi mesti suatu masa nanti. agar masa sendiri, demi suatu kasih sayang yang baru kini kau sedari.

Untuk mak dan abah, biarlah jauh di mata asalkan kita dekat di hati

Saturday, July 6, 2013

Dia Mak Aku

"Kinah, kau apesal tak kahwin lagik?" Soalan Sal bukan main 'mak nam' betul.
"Tak nak lagi. Kau kahwin je la dulu," jawab Kinah, malas nak layan Sal yang terkenal dengan ke'jemah'annnya bila bercakap.
"Eleh, kau tu kerja kuat sangat. Masa orang lain belum datang pejabat, kau dah masuk pejabat. Bila orang lain dah balik, kau masih memerap lagi tunggu pejabat. Apa kau ni ada ambik gaji sambilan jadi guard ke?" Soal Sal lagi tidak puas hati.
"Alah, biarlah Sal, aku suka kerja macam ni. Tak dapat duit lebih pun sekurang-kurangnya aku dapat elak sesak dekat luar nu." Semua orang tahu, itu sekadar alasan Kinah. Dia pergi dan balik kerja bukannya  naik kereta pun, bas dengan lrt Rapid KL tu juga yang dia hadap setiap hari.
"Bohong aku la tu. Eh Kinah, ada orang cakap la dekat aku kan, kau selalu tiap-tiap petang balik dengan makcik cleaner bangunan sebelah. Ye eh?" muka Sal nampak beria mengorek cerita dalam kain Kinah.
"Haah, tiap-tiap petang tunggu bas sama-sama, kadang-kadang aku belikan dia air dengan kuih, kitorang makan sama-sama. Nak join ke? Petang ni kita balik sama-sama eh," Kinah membalas sambil tersengih.
"Eh, takpelah. Aku ni kalau tunggu tengah panas tak boleh sikit, senang nak pitam hehehe. Aku pergi dulu lah ye. Terima kasihlah pelawa." Sal lekas-lekas meninggalkan Kinah. Sempat lagi dia mengomel sebelum tiba ke cubicle nya, "Ada ke nak ajak aku, hish tak kelas langsunglah!"

***
Dari jauh kelihatan Mak Teh menunggu bas sendirian. Sekejap-sekejap dia perhatikan karipap pusar dalam bungkusan yang dijinjingnya. Dibelek-belek dan dihidu aromanya. Sambil dibelek, Mak Teh perhati kiri dan kanan, melangut kejauhan seperti menanti kehadiran seseorang. Tiba-tiba wajahnya meredup, tersenyum. Dia berdiri.

Kinah berjalan cepat-cepat. Selalunya dia yang akan menunggu di pondok bas itu sendiri, tapi kali ini ada orang lain sudah menantinya. Langkahnya dipercepatkan. Bukannya dia sengaja untuk terlewat hari ni, tetapi ada tugasan yang perlu diselesaikan segera. Tidak mahu berkejar-kejar esok pagi, maka dia membuat keputusan untuk menyelesaikannya petang itu juga. Tak sangka pula akan mengambil lebih masa.
"Maaf mak, Kinah lambat hari ni," ucap Kinah tersenyum sebelum mengucup tangan Mak Teh.
"Tak apelah, kebetulan mak pun awal sikit hari ni. Jom, kita balik," ucap Mak Teh sambil menghulurkan bungkusan karipap pusar kepada Kinah.
"Lah Mak, sori... Hari ni Kinah lupa beli air, soriiii..."
"Ala takpelah Nah, nanti kita beli je la dekat kedai depan tu," balas Mak Teh lembut seraya memulakan perjalanan mereka.

Bahagia. Pulang kerja berjalan bersama, berkongsi sedikit makanan sambil dihiasi cerita. Gembira. Tiada yag cukup menggembirakan Mak Teh melihat Kinah sibuk bercerita. Tiada yang lebih menyeronokkan Kinah apabila mak setia memberi perhatian pada cecehnya setiap hari.

"Mak, tadikan Sal yag kepochi tu tanya pasal kita, hahahaha..." ucap Kinah sambil ketawa besar.
"Lah yang ketawa ni kenapa? Kelakar sangat ke?" balas Mak Teh kehairanan.
"Tak la, dia tu menyibuk sangat. Nak tau sangat apa yang Kinah buat. Tak sangka kan mak, orang biasa macam kita ni, marhaen kecil tiada apa pun dapat perhatian kan?" lagak Kinah bagai mendeklamasi sajak pula.
"Marehan tu apekebendenya Nah?" soal Mak Teh.
"Marhaen lah mak, bukan Marehan. Marehan tu nama makcik mana Kinah pun tak tau. Marhean ni, errr... macam..."
"Mambang tanah?" sampuk Mak Teh. Mak Teh memang feveret cerita P. Ramlee, nak-nak lagi cerita Pendekar Bujang Lapok.
"Eh apedaaaa mambang tanah," balas Kinah menyambung lawak Mak Teh.

Mereka berdekah ketawa bersama. Waktu balik kerja, waktu yang sama-sama mereka nantikan.

***
Sal masih memandu, belum lagi berniat mahu pulang ke rumah. Hendak singgah McDonald's, tapi kalau makan seorang diri nampak sangat loser. Tengok wayang? Lagilah memalukan tengok sorang-sorang. Baik layan Youtube dalam iPad.

Sedang dia memandu sendirian tanpa arah tuju, telefonnya berdering. Terpapar AYAH memanggil. Telefonnya diangkat. Dia sekadar menggangguk 2-3 kali. Langsung tak senyum, semakin berkerut kening ada lah. Selesai perbualan, telefonnya dicampak ke tempat duduk penumpang semacam ada perasaan meluat apabila berbual dengan ayahnya yang kini tinggal bersama-sama isteri dan anak-anak barunya.

Sal memandang jam pada dashbaord keretanya, pukul 7.30 malam. Kalau tak kerana dia belum sembahyang maghrib, tak hingin juga dia balik rumah. Lebih baik dia meronda sejam dua lagi. Sal mencapai kembali telefonnya, direktori MAMA dicari dan didail. "Hello mama..."

***
Kinah melipat telekung miliknya dan Mak Teh. Mak Teh sudah ke dapur menjerang air untuk minum malam sebelum mereka berdua masuk tidur. Sudah menjadi tabiat mereka berdua untuk minum teh o atau milo panas bersulamkan biskut cap Ping Pong yang legend itu. Selalunya, Mak Teh akan tidur dahulu sebelum Kinah, maklumlah dia bekerja berat. Seharian jika bukan waktu rehat tidak akan ada masa untuknya duduk. Kinah pula akan mengemas rumah apa yang patut sebelum masuk tidur. Walaupun Kinah punya waktu mula pejabat yang lebih lewat berbanding Mak Teh, tapi dia lebih senang jika pergi kerja bersama-sama. Biarlah lebih awal berejam berbanding orang lain tapi dia cukup gembira.

Kinah turun ke dapur, melihat apa yang dibancuh untuk malam ini. "Sedapnye mak bau kopi. Jarang sangat mak bancuh kopi. Mak nak kena stay up ke ape?" tegur Kinah sambil ketawa kecil. Mak Teh sekadar tersenyum. Dua set cawan berpiring diletakkan rapi di atas meja. Seteko kopi O panas berasap dietakkan bersama. Mak Teh menuang sedikit minumannya ke dalam piring, dan dihirup perlahan. Kinah yang seakan buaya tidak berliadah meneguk laju kopi O tersebut. Seteguk, 2 teguk, 3 teguk, selesai. "Amboi, takkan sedap sampai macam tu sekali. Padahal kopi bontot kuali je ni," sampuk Mak Teh melihatkan telatah. Kinah.

Mendengarkan perkataan kopi bontot kuali itu nyaris membuat Kinah tersembur. Mujur ditahan kemas dan ditelannya juga. Serentak dengan itu juga telefon Kinah berdering dipanggil Sal. Kali ini andai mulutnya penuh kopi, pasti tdak akan tersembur kerana terkejut.

"Assalamualaikum Kinah. Eh rumah kau dekat mana?" soal Sal selamba.
"Ampang. Apahal?" jawab Kinah ringkas.
"Haaa betullah. Aku sesat dekat Ampang dah ni. Bagitau rumah kau dekat mana. Aku nak tumpang jamban. Sakit perut dowh."
"Apartment Bandar Baru Ampang."
"Kasik la nombor rumah sekali. aku nak tumpang jamban pun kedekut gila minah ni," bentak Sal.
"Blok C, tingkat 3, nombor 4."

Tanpa terima kasih, talian diputuskan. Kinah merenung telefonnya semacam tak percaya yang Sal baru sahaja menghubungi dirinya untuk menumpang jamban. Apa jamban rumah Sal rosak ka?

***
Mak Teh perhati kelaku Sal daripada mula dia tiba 2 jam yang lalu. Semua benda kecil dalam rumah itu dibeleknya. Apabila dia sedar ringkahnya diprhati, dia sekadar tersengih, macam tak ada apa-apa. Daripada sekadar nak tumpang jamban, tak semena-mena tertumpah kopi atas bajunya sendiri, maka dia tumpang mandi. Siap cuci rambut bernyanyi-nyanyi dalam bilik air. "Sal tidolah sini malam ni," pelawa Mak Teh yang melihatkan Sal macam tak nak balik rumah. "Oh, boleh jugak. Saya pun mengantuk dah ni, huaarrgghhh..." jawab Sal sambil pura-pura menguap. Ditambah sedikit aksi menggeliat supaya nampak lebih mantap lakonannya. "Kinah bagilah Sal tido bilik Kinah ye nak. Kinah nanti tido bilik mak." Mendengarkan arahan Mak Teh, Kinah bingkas bangun menuju ke biliknya sambil di ekori Sal.

"Kau tido mana?" tanya Sal.
"Kau sibuk apahal?" balas Kinah begang.
"Saja tanya. Kalau tido dekat luar tu, jangan pasang tv kuat-kuat. Aku tak boleh tido kalau bunyi bising," ucap Sal tanpa perasaan.
"Aku tido dengan mak lah." Kinah tak kuasa melayan perangai Sal yang entah hape-hape.

Melihatkan Sal sudah selesa menyelimut dirinya, Kinah pun keluar daripa bilik lalau mematikan lampu.
"Selamat malam," ucap Kinah.
"Kinah, Mak Teh tu bukan mak kau kan? Tapi kenapa korang..." soalan Sal mati dalam gelap. Nada suaranya perlahan, seperti dalam kesedihan.
"Dia mak aku," ringkas jawapan Kinah. Sal ditinggalkan tidur bersendirian.

"Kenapa mama tak pernah ada untuk aku...." ucap Sal sendiri dalam airmata.

Tuesday, July 2, 2013

Si Degil dan Cikgunya

Tulisan kali ini adalah merupakan suatu rakaman peribadi menurut sudut pandangan penulis terhadap hubungan dia dan  cikgunya Allahyarhamah Datin Ruhani Hj Ibrahim, yang telah dijemput kembali ke rahmatullah pada petang 1 Julai 2013 bersamaan 22 Syaban 1434H. Al-fatihah.

"It's because I can see you are independent enough."

Macam tu je Datin cakap. Noktah. Heiiii...!! Marah betul aku! Memang cukup marahlah kali ni. Sebelum ni kitorang dah sebok tak mau dah pergi praktikal dekat luar Lembah Kelang, tapi tup tup bila keluar je senarai tempat praktikal, nah..! Aku kena Hospital Pulau Pinang. Puaka betul! Yang lebih membangkitkan amarah amukan syaitonirrojim ialah dalam kumpulan ada 3 orang. Aku sorang je pulak tu perempuan. Boleh pulak jabatan buat keputusan untuk hantar budak lelaki 2 orang supaya boleh berkepit kemana-mana berbelanja di pasar Chowrasta, berjimba mengambil gambar depan Fort Cornwallis dan berjalan berpimpin tangan di sepanjang pantai Batu Feringhi menikmati matahari terbenam dan aku bersendirian menjadi lone ranger dengan beg galas baju sekadar apa adanya, melilau sendiri mengisi sepi sehingga kaki letih berjalan dan lelah berdiri. Ini memang sudah terbaik. Vah vah!

Aku memang dah panas. Bara bara bere bere jek dalam hati. Lebih panas pulak bila ditambah dengan rungutan budak kelas yang lain, dok sibuk sebab tak dapat dalam kawasan KL. Iya, aku tahu ramai antara korang kan KLites, memang nak dekat KL kan. Aku kalau dapat dekat KL suka jugak sebab duit travel, sewa rumah semua memang dah tentu jimat. Tapi ini pembahagian kumpulan ini sungguh......tidak adil!

Aku bukanlah yang paling kuat nak protes secara vokal, aku lebih suka buat hal sendiri. Contoh, aku tak berapa suka kelas Datin, aku cuma perlu tidur dalam bilik atau pergi membuang masa dekat KLCC. Tak perlu nak daring sangat tunjuk marah, dia kan cikgu. Aku masih waras lagi ok, kalau kita marahkan cikgu ilmu yang kita dapat tak berkat. Hidup boleh susah dunia akhirat. Jangan main-main. Bukanlah kelas Datin tak ada input langsung, cuma aku ni yang tak boleh nak fikir dengan lebih terbuka, kreatif dan abstrak. End up with aku rasa aku gain nothing. Padahal orang lain cemerlang je, siap jumpa lepas kelas. Aku? tahan bas RapidKL pergi Ampang Park makan McD.

Lagi satu perkara yang membuatkan aku rasa sekali memonteng, haruslah aku ponteng lagi is she's being persistent towards me. Very persistent. Setiap kali aku tak datang kelas mesti dapat salam mesra penuh kasih sayang. Mesti dia tanya Jannah "Ijut mana?". Dan setiap kali Jannah balik asrama atau jumpa aku on the next class dia akan cakap "Datin tanya apasal kau tak datang kelas." Dah nama pun degil, keras kepala, hati batu, lagi ditanya lagilah aku buat pekak ponteng tak terbendung. Kalau kebetulan aku datang, rilek je Datin sapa aku penuh kasih sayang, "Dah lama I tak nampak you Ijut. You selalu miss my class." Well, aku sempoi je jawab, "Ah, ermm... Sori Datin, dah banyak kali tak datang." Indeed aku degil tapi aku tak kurang hajar. Datin memang tak terjejaslah dengan perangai aku. Aku pulak yang jadi pelik sendiri, agaknya dia ni tak tahu yang aku tak suka kelas dia.

Kembali semula ke kekecohan sebab masalah praktikal. Maka penyelaras klinikal pun bikinlah satu mesyuarat mahu kasik chan lah semua orang luahkan isi hati. Kira nak selaras semula la kononnya, kasik pujuk hati-hati muda remaja yang agak tak kenang budi waktu itu. Tapi orang muda, memanglah jiwa macam tu kan. Blame it on the hormones, heh. Bila da pusing satu meja bulat, dah terhambur bengkak jiwa masing-masing, maka tibalah giliran aku. Intipati aku senang, hantarlah ke mana pun sebab aku tak kisah. Cuma apakah tidak terfikir barang sedikit yang aku ini seorang gadis? Biarpun tidak memakai kasut tumit tinggi, berseluar jeans ke kelas setiap hari dengan muka bedak talkum Johnson's Baby yang kadangkala terlupa mencalit lipstick setiap pagi menidakkan aku dengan jantina perempuan?

Dan ketika itulah, dengan penuh tenang. Mata kami tertancap tetap antara satu sama lain. Datin berkata,
"It's because I can see you are INDEPENDENT enough."

She sees me back then, when I've just realized it recently.

***
Februari lepas, Allah beri kesempatan untuk aku jumpa Datin. Jujur, aku bukanlah her favourite and I know I would never be one. Dia uzur, duduk di halaman rumah menunggu. Tunggu atas janji mahu sarapan sama-sama pagi tu. Aku turun dari teksi, yang sememangnya sudah terlewat terus disapa dengan gurauan, "I dah sunburn tunggu you Ijut," sambil ketawa kecil. Dia tetap sama, tetap tidak terjejas dengan sikap aku. Banyak yang dibualkan, yang dia impikan dan lebih banyak yang dia rancangkan untuk buat.

Allah sebaik-baik perancang. Allah sudah beri tempoh pinjaman yang cukup untuk aku dan rakan-rakan merasai semangat, mempelajari ilmu, membawa panduan, membina kehidupan atas usaha yang Datin curahkan.

Semoga Allah meletakkan beliau dikalangan orang yang dikasihi, diterangi dan diluaskan pusaranya seterang dan seluasnya ilmu yang diberi kepada kami. Daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali